suria

Apabila Populariti Menjadi Sesuatu Yang Merosakkan

Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

AHLI politik perlu popular sepanjang masa kerana dia mendapat “legitimasi” menerusi pemilihannya sebagai presiden sebuah parti yang memiliki jumlah kerusi terbanyak di parlimen.

Sudah tentu, ada beberapa cara lain untuk menjadi presiden – seorang bekas presiden Umno misalnya telah memegang kuasa selama 22 tahun dan selama itu pertandingan untuk kerusi presiden hanya berlaku sekali sahaja.

Beliau telah berjaya meyakinkan ahli-ahli Majlis Tertinggi partinya bahawa pertandingan untuk jawatan-jawatan tertinggi akan memusnahkan parti.

Bagi pihak yang merasakan demokrasi sukar untuk ditangani, mereka boleh memilih jalan pujukan. Saya yakin Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjaya untuk terus memegang kerusi presiden Umno tanpa dicabar mahu kekal sebagai perdana menteri untuk beberapa penggal lagi secara demokratik, iaitu dengan cara menjayakan beberapa pembaharuan yang sedang difikirkannya untuk Umno dan juga negara.

Beberapa langkah yang perlu diambil oleh beliau untuk negara ini adalah langkah tidak popular, namun satu kerugian jika beliau membatalkan niat itu semata-mata untuk mengekalkan popularitinya di kalangan parti dan pengundi.

Daya kepimpinan diperlukan untuk menangani sejumlah isu penting.

Hakikat ini tidak seharusnya dilupakan di tengah persaingan untuk meningkatkan populariti menjelang Perhimpunan Agung Umno akhir tahun ini.

Kedudukan kewangan negara tidak begitu baik walaupun pelabur Marc Faber mengatakan bahawa Malaysia adalah tempat yang cukup baik untuk melakukan pelaburan.

Telah bertahun-tahun kita berada dalam defisit. Hutang isi rumah di negara ini amat tinggi walaupun Gabenor Bank Negara memilih untuk menyifatkannya sebagai “tidak membimbangkan.”

Kita terlalu bergantung pada Petronas untuk menampung belanjawan negara. Keadaan ini sebenarnya membimbangkan. Memang, Amerika Syarikat juga sedang berdepan dengan defisit yang besar, tetapi tidak bermakna kita patut mencontohi negara itu: kita tiada senjata untuk dijual.

Kita mesti cuba untuk mengimbangi belanjawan dan perkara ini hanya boleh kita lakukan jika pendapatan kita lebih besar.

Pengaliran masuk wang asing telah merosot secara mendadak, manakala Perbendaharaan Amerika Syarikat telah mengisyaratkan bahawa mereka tidak lagi akan mengamalkan “dasar pengembangan”.

Kita perlu mampu untuk merasa yakin bahawa jika ada satu lagi krisiskewangan seperti yang terjadi di tahun 1998, kita bersedia untuk menghadapinya.

Saya percaya masa telah tiba untuk kerajaan memperkenalkan GST – mungkin secara berperingkat – kerana amat perlu untuk kita mengembangkan punca pendapatan daripada cukai.

Dalam hal ini, ada baiknya diadakan dialog dengan pihak pembangkang.

Kesejahteraan negara ini perlu diutamakan. Tiada faedah untuk kita menuding jari terhadap dasar-dasar yang diamalkan di masa lalu sebagai punca bagi permasalahan yang kita hadapi sekarang.

Sistem percukaian yang baru sudah tentu tidak popular, namun kita perlu meningkatkan pendapatan negara agar usaha pembangunan tidak terencat.

Pembangkang perlu memainkan peranan dengan tidak mengkritik setiap satu usaha pembangunan yang dilancarkan oleh kerajaan BN.

Walaupun suasana ekonomi di negara lain lembab, Bank Dunia meramalkan negara ini akan mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5%.

Ini menunjukkan bahawa ada tindakan yang betul telah diambil oleh kerajaan.

Satu lagi perkara yang mesti dilakukan untuk menjadi sebuah ekonomi yang berdaya saing dalam dunia baru ini ialah membantu industri kecil dan sederhana, atau IKS.

Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat besar akan terus memainkan peranan mereka dengan melakukan pelaburan jangkamasa panjang, namun perniagaan-perniagaan kecil adalah jentera pertumbuhan ekonomi yang sebenar. Apakah rancangan induk kita untuk mereka?

Kementerian mana yang akan mendorong mereka sebagai penggerak ekonomi yang penting? Saya percaya para penasihat ekonomi di Putrajaya tidak akan menganggap IKS kurang “menggiurkan” berbanding urusniaga yang mampu mereka laksanakan di luar negara.

Tiada negara di rantau ini – termasuk Singapura, Korea Selatan dan Taiwan – yang mampu mencapai kejayaan jika tidak kerana sokongan industri kecil mereka. Kita perlu mengambil teladan daripada mereka.

Idea asal yang dikemukakan oleh perdana menteri, iaitu untuk mengurangkan dasar tindakan “afirmatif” dan mengamalkan ekonomi terbuka, tidak harus dipinggirkan.

Kita tidak perlu menyebut atau melakukan apa-apa sebelum November tahun ini, tetapi selepas pemilihan parti, peluang ekonomi perlu dibuka untuk semua pihak yang mampu meningkatkan pengeluaran dan merangsang penghasilan yang optima.

Semua bidang perlu dibangunkan secukupnya, tidak kira bidang pengeluaran, komoditi atau pelancongan.

Setiap seorang warga Malaysia perlu menyahut seruan untuk membawa perubahan positif dan membina bagi negara ini.

Kita mahu menjadi seperti Korea Selatan dan Jepun. Kita mesti menjadi lebih kaya dan berkuasa daripada Singapura pada pelbagai segi. Apabila seruan seperti ini disahut oleh warga Malaysia, mereka perlu disambut dengan penuh semangat dan diberikan semua bantuan yang mereka perlukan.

Semakin kurang kita bercakap tentang isu-isu yang memecah-belahkan – apatahlagi tentang Melayu dan bukan-Melayu – semakin baik. Semakin kita bersatu, semakin kita menjadi produktif dan makmur.

Akhir kata, saya harap Putrajaya akan menghentikan projek-projek mega sehinggalah kajian dibuat terhadap kesesuaian prasarana sedia ada untuk menampung projek-projek besar sedemikian.

Saya masih ingat bagaimana Petronas telah mengumumkan bahawa mereka terpaksa menunda projek pembinaan kilang minyak dan gas raksasa di Pengerang yang bernilai RM60 bilion kerana kekurangan air di kawasan itu.

Setahu saya, ada beberapa lagi projek prasarana penting yang kita perlukan di selatan Johor.

Di Sabah dan Sarawak, beberapa pengumuman tentang projek raksasa juga telah dibuat. Langkah ini boleh difahami melihat pada pilihanraya yang baru berlalu, tetapi saya percaya projek-projek berkenaan boleh ditunda untuk dilaksanakan ketika kewangan negara berada dalam keadaan yang lebih baik.

Langkah menunda projek-projek itu juga tidak akan popular, tetapi ia perlu dilakukan. Sewaktu Perdana Menteri Norway Jens Stoltenburg membelanjakan 4% daripada pendapatan minyak negara itu untuk mengimbangi belanjawan mereka, kerusi perdana menteri terlepas daripada genggaman beliau.

Kita telah pun menggunakan 45% wang Petronas untuk membayar gaji dan menampung perbelanjaan – ada had bagi jumlah wang yang boleh diberikan oleh Petronas sekiranya ia hendak memelihara daya majunya.

Negara ini perlu diuruskan secara berhemah. Pembaziran seperti yang dilakukan di masa lalu perlu dihentikan. Malangnya, pendekatan ini tidak akan popular. Namun Perdana Menteri sekarang perlu menanganinya walaupun ia bakal menjejaskan populariti beliau sendiri.

>Pandangan yang diungkapkan di dalam artikel ini adalah sepenuhnya milik penulis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain