suria

Mengukuhkan Hubungan Kekeluargaan Menerusi Seni Silam

Prof Dr Azlan Ghanie (kanan) mengajar pelajarnya teknik bersilat yang betul. Sementara Dr Mustafa Bakri pula mengajar anak lelakinya.
Prof Dr Azlan Ghanie (kanan) mengajar pelajarnya teknik bersilat yang betul. Sementara Dr Mustafa Bakri pula mengajar anak lelakinya.
Prof Dr Azlan Ghanie (kanan) mengajar pelajarnya teknik bersilat yang betul. Sementara Dr Mustafa Bakri pula mengajar anak lelakinya.

AHLI epidemiologi Dr Mustafa Bakri mula tertarik pada silat ketika menonton filem Melayu tahun 1960an, Anak Buluh Betong dan Dharma Kesuma.

“Saya tertarik melihat bagaimana silat merangsang semangat kepahlawanan dan keadilan. Setelah diperkenalkan kepada beberapa jenis silat, seperti silat lintau dan panji alam ketika berada di sekolah menengah, saya menyedari bahawa gerak seni pertahanan diri dalam filem sebenarnya telah digubah, tidak kira filem Melayu, Eropah, Hollywood atau Jepun.

“Silat mengajar kita seni teras bagi seni pertahanan diri, bukan gerakan-gerakan luar biasa seperti yang dilihat di panggung wayang. Dalam pertempuran sebenar, senarionya berlainan sama sekali. Dalam soal ini, silat adalah salah satu seni pertahanan diri yang terbaik dan paling praktikal,” jelas Dr Mustafa, 57.

Doktor kelahiran Perak yang kini bekerja di jabatan kesihatan Seremban ini mempelajari Silat Melayu Keris Lok 9 yang dianggapnya sebagai salah satu teknik seni pertahanan diri yang paling praktikal.

“Tidak banyak aliran silat yang menggalakkan murid (termasuk murid baru) menggunakan keris dalam pertempuran bersenjata dan pertempuran tangan kosong. Pengamal silat boleh menggunakan gerakan-gerakan mudah yang berkesan untuk membalas serangan lawan.

“Bagi saya, Silat Melayu Keris Lok 9 adalah silat paling praktikal kerana ia menggabungkan kemahiran dan latih tubi. Latihan silat ini tidak melibatkan terlalu banyak latihan berlari, pumping, atau menumbuk, tidak seperti jenis silat lain yang saya lihat. Ia menggabungkan seni pertahanan diri dan senaman, kerana itu ia cukup sesuai bagi saya,” ujar beliau.

Silat Melayu Keris Lok 9 adalah sejenis silat tua dalam kumpulan Silat Melayu. Ia dikatakan berasal dari zaman Kesultanan Melaka dan digunakan oleh para pahlawan Melayu untuk menentang Portugis.

Bentuk moden bagi silat ini dikembangkan oleh Prof Dr Azlan Ghanie yang mempelajarinya daripada ayahnya, Abdul Ghanie Abu Bakar, yang mewarisi silat ini daripada datuk beliau, Abang Salleh Datu Patinggi Borhassan.

Dr Mustafa mula belajar silat sejak tahun 2007 di bawah bimbingan Azlan. Beliau yang cukup meminati silat telah mengajak isterinya, Noraishah Mohamed, dan anak-anak lelaki beliau, Muhammad Syahridwan, 13, dan Muhammad Syahriezlan, 11, untuk mengikuti kelas Azlan.

“Memandangkan isteri dan anak-anak saya tidak banyak melakukan kegiatan fizikal, latihan silat membantu mereka kekal aktif,” beritahu Dr Mustafa, ayah kepada enam orang anak.

Noraishah, seorang suri rumah, tertarik untuk menyertai latihan silat kerana ia ringkas dan praktikal. “Kami belajar petua-petua mempertahankan diri untuk kaum wanita, sama ada untuk tempat awam atau untuk kegunaan di rumah. Ini berguna kerana saya seorang suri rumah dan pada kebanyakan masa berseorangan di rumah,” kata Noraishah yang telah dua tahun menjadi pengamal silat.

Minat Muhammad Syahridwan pula mula tercetus setelah melihat ayahnya begitu bersemangat mempelajari silat.

“Ibu-bapa saya peminat silat, jadi kami turut tertarik. Saya suka mengikuti latihan silat kerana ia meningkatkan keyakinan diri dan disiplin. Ia juga baik sebagai senaman,” ujar pelajar sekolah menengah ini. Dr Mustafa bekerja di Seremban tetapi selalu pulang untuk bersama keluarganya di Rawang di hujung minggu. Setiap hari Sabtu keluarga ini ke Setapak, Kuala Lumpur, untuk menjalani latihan silat.

Pengamal-pengamal silat ini memulakan latihan mereka dengan membuat Senaman Melayu Tua, sejenis senaman kuno yang memberi tumpuan pada teknik pernafasan, regangan dan gerakan yang dapat menguatkan tubuh. Setelah selesai sesi pemanasan badan, mereka belajar jenis-jenis lok (lekukan pada bilah keris).

Ada lima lok (diberi nombor ganjil, iaitu satu, tiga, lima, tujuh dan sembilan) yang pelru dipelajari untuk menyelesaikan sukatan latihan asas. Lok adalah kunci bagi tempur tangan kosong dan bersenjata. Sukatan latihan yang asas ini biasanya disempurnakan dalam masa dua tahun.

Menurut Dr Mustafa, selain sebagai seni pertahanan diri, silat juga memberi penekanan pada adab dan adat. Nilai-nilai Melayu tradisional dipelihara sepanjang waktu latihan dan penuntut-penuntut silat diajar bagaimana menghormati orang tua dan sesama mereka. Penuntut juga dilatih untuk berdepan dengan bahaya (dengan atau tanpa senjata) bersesuaian dengan usia dan jantina mereka.

“Pengamal silat diajar untuk menghormati lawan dan peralatan latihan. Sebelum setiap sesi, kami perlu menundukkan kepala, bersalaman dengan pasangan kami dan mencium senjata kami sebagai tanda hormat. Seni pertahanan diri tradisional ini mengajar kita untuk menghindari dan juga melindungi diri daripada bahaya. Penggunaan keris dalam latihan telah membantu meningkatkan keyakinan diri anak-anak saya,” beritahu Dr Mustafa sambil menjelaskan bahawa pisau plastik dan kayu juga digunakan dalam latihan tempur.

Secara tradisi, keris bukan saja dianggap sebagai senjata, maka adab dalam menggunakan keris adalah amat penting. Keris adalah simbol budaya silam Melayu dan ia perlu dihormati, manakala orang yang memiliki keris pula memikul tanggungjawab yang berat. Sukatan pelajaran Silat Melayu Keris Lok 9 mewajibkan pelajar untuk mempelajari adat resam dan tradisi yang berkaitan dengan keris.

Silat juga memberi faedah kepada para pengamalnya kerana ia melatih mereka untuk mengatur pernafasan. “Beberapa penuntut silat yang mempunyai penyakit lelah dan nafas singkat kini mengetahui teknik pernafasan yang betul. Antara perkara asas paling penting dalam silat ialah mempelajari cara memperbaiki pernafasan,” jelas Azlan yang mengenakan yuran sebanyak RM50 sebulan bagi setiap penuntut yang mengikuti kelas beliau.

Azlan juga telah mengembangkan Senaman Tua –satu senaman tradisional berasaskan gerakan-gerakan dalam Silat Melayu Keris Lok 9. Beliau mula mengamalkan senaman ini setelah mengalami serangan angin ahmar pada usia 32 tahun yang telah melumpuhkan sebahagian tubuh beliau.

“Saya telah menjalani bermacam-macam rawatan, daripada yang moden sampai yang tradisional, tapi tiada perubahan. Lalu saya mula mengamalkan beberapa teknik Senaman Tua (yang saya telah pelajari daripada ayah saya) dan kesihatan saya semakin pulih,” cerita Azlan yang juga merupakan pengasas dan penyunting majalah Seni Beladiri, sebuah majalah bulanan khusus untuk seni pertahanan diri Malaysia.

Dr Mustafa berharap lebih banyak anak muda akan mempelajari silat, memandangkan ia adalah seni pertahanan diri yang telah diwariskan oleh para pahlawan zaman silam. “Sedih kerana sesetengah orang merasakan silat telah ketinggalan zaman dan tidak lagi perlu dipelajari. Saya harap lebih banyak orang akan mula mempelajari silat, kerana ia adalah bentuk seni pertahanan diri yang mantap dan memberi penekanan pada semangat berpasukan dan peningkatan keyakinan diri.”

> Untuk maklumat lanjut tentang Silat Melayu Keris Lok 9, sila lawati senibeladiri.com.my.

Artikel Sebelum

Artikel Lain