suria

Antara Yang Benar Dan Yang Perkasa

Shad Saleem Faruqi
Shad Saleem Faruqi
Shad Saleem Faruqi

UCAPAN tahniah mesti disampaikan kepada pemenang Hadiah Nobel dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama kerana bertindak menghindari perang walaupun beliau menerima desakan hebat daripada Jabatan Pertahanan negaranya, beberapa anggota kongres dan para pelobi Israel-Yahudi.

Beliau telah bersetuju untuk memberi peluang agar kompromi yang sedang diusahakan oleh pihak Rusia dapat dicapai.

Menurut kompromi tersebut, Syria akan menyerahkan semua senjata kimianya kepada pengawas antarabangsa dan negara itu akan menandatangani Perjanjian Senjata Kimia.

Syria telah bersetuju untuk akur pada kedua-dua tuntutan berkenaan.

Walaupun saranan pihak Rusia itu mengandungi kecacatan, ia berhak untuk diberi peluang.

Saranan itu tidak mewajibkan para pemberontak yang mendapat dukungan AS menyerahkan senjata kimia mereka yang, menurut siasatan Carla del Ponte yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), telah mereka gunakan setidak-tidaknya pada Mac lalu.

Saranan Rusia juga tidak menegah AS, EU dan Israel daripada terus meningkatkan keupayaan senjata para pemberontak.

Jelasnya, para penyokong serangan kimia pada bulan lalu itu memainkan peranan memastikan pelucutan senjata Syria.

Juga menggusarkan ialah apabila AS belum sepenuhnya menjauhkan diri daripada memulakan perang.

Ia terus berhujah dengan mengatakan bahawa keselamatan negara itu memerlukannya melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Syria.

Soal sama ada langkah melancarkan peperangan tanpa diprovokasi adalah sesuatu yang sah menurut undang-undang antarabangsa tidak dipedulikan oleh para penggubal dasar AS.

Menurut Piagam PBB, penggunaan kekerasan hanya dibenarkan dalam dua keadaan.

Pertama, untuk mempertahankan diri, seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 51.

Kedua, setelah mendapat kebenaran yang jelas daripada Majlis Keselamatan demi mengekalkan keamanan dan keselamatan menurut Bab VII.

Dakwaan para penyokong AS bahawa “campurtangan kemanusiaan” adalah dibenarkan menurut “undang-undang adat antarabangsa” dan duluan dalam kes Kosovo sebenarnya tidak mempunyai asas perundangan yang mantap.

Pertama, undang-undang adat antarabangsa dijelaskan dalam Perkara 38(1)(b) Statut Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebagai “bukti tentang amalan umum yang telah diterima sebagai undang-undang.”

Nikhil Shah menjelaskan kepada kita bahawa kebanyakan negara, khususnya negara dunia ketiga, membantah doktrin campurtangan kemanusiaan, seperti yang boleh dilihat pada Perisytiharan Menteri-menteri Luar 132 buah negara dalam Kumpulan 77.

Kedua, PBB telah beberapa kali enggan menerima doktrin ini. Sebagai contoh, campurtangan India dalam perang saudara di Pakistan Timur (kini Bangladesh) telah ditolak oleh Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB.

Campurtangan ketenteraan Vietnam di Kemboja untuk mengakhiri kezaliman Pol Pot juga tidak dipersetujui.

Sewaktu perang Kosovo, Rusia dan China telah mengecam campurtangan kemanusiaan NATO.

Ketiga, ICJ telah memutuskan dalam kes Nicaragua vs AS bahawa undang-undang adat melarang campurtangan ketenteraan secara paksa dalam hal-ehwal dalam negeri negara lain.

Keempat, Majlis Keselamatan telah pun diberikan kuasa menurut Bab VII untuk menggunakan kekerasan, jika perlu, untuk menegakkan tujuan-tujuan asasi PBB.

Kelima, jika Majlis Keselamatan gagal mencapai kata putus, tindakan kolektif boleh dibentuk menerusi Resolusi Penyatuan untuk Keamanan dalam Perhimpunan Agung.

Keenam, PBB boleh menubuhkan mahkamah istimewa antarabangsa seperti dalam kes Yugoslavia, Rwanda dan Sierra Leone. Jika Majlis Keselamatan gagal menghasilkan kata putus, Mahkamah Jenayah Antarabangsa boleh mengambil-alih bidang kuasanya.

Ketujuh, doktrin campurtangan antarabangsa adalah perkakas yang boleh digunakan oleh negara yang kuat terhadap negara yang lemah untuk menjalankan agenda politiknya yang tersendiri.

Kita semua tahu tentang perubahan rejim serta penaklukan AS ke atas Iraq berdasarkan dakwaan yang direka-reka.

Kelapan, doktrin tersebut telah digunakan secara terpilih dan atas semangat ketaksuban perkauman dan keagamaan. Pembunuhan beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan di Palestin tidak dianggap oleh Setiausaha Negara AS, John Kerry sebagai “perbuatan cabul,” sedangkan tuduhan yang belum terbukti terhadap Assad dalam soal penggunaan senjata kimia (yang beliau sabitkan penggunaannya dengan pemberontak-pemberontak yang disokong oleh AS-EU) dilihat sebagai alasan yang memadai untuk membenarkan campurtangan tanpa kebenaran PBB!

Kesembilan, sesetengah negara Barat yang berpura-pura serba tahu tentang campurtangan kemanusiaan sebenarnya adalah negara yang paling banyak mencabul semangat kemanusiaan dalam sejarah.

Sebagai contoh, AS telah mengebom 26 buah negara sejak Perang Dunia Kedua – Afghanistan dari tahun 1998 hingga kini; Iraq dari tahun 1991 hingga kini.

Jangan kita tersalah anggap: “Bom dan peluru berpandu tidak mengenal siapa yang bersalah dan siapa yang tidak.”

AS memiliki rekod buruk dalam penggunaan bom atom, uranium susut, fosforus putih, bom gugusan, antraks dan agen jingga.

Pusat-pusat penyeksaan tahanannya di Guantanamo, Abu Ghraib, Bagram dan di beberapa tempat lain cukup diketahui.

Ia mengamalkan demokrasi di bumi AS, sedangkan di luar negara itu ia mengamalkan 'keganasan'.

Jika ia mula mengebom Syria nanti, keadaan akan menjadi lebih buruk daripada yang terhasil akibat penggunaan gas beracun oleh tentera Assad.

AS tidak berhak untuk mengoyak Piagam PBB dan melancarkan perang haram hanya kerana Assad (kononnya) mencabul undang-undang antarabangsa!

Rakan-rakan AS berhak untuk bertanya: “Apakah negara yang dulunya agung ini belum menimba pengajaran daripada sekian banyak pembohongan dan peristiwa ngeri di Iraq? Jika AS melancarkan perang haram di Syria, apakah benderanya cukup besar untuk menutup aib berikutan pembunuhan manusia yang tidak berdosa?”

Ahli-ahli politik dan panglima-panglima tentera Amerika juga perlu ingat bahawa jika mereka terlibat dalam jenayah perang, mereka tertakluk di bawah Prinsip Keempat Nuremberg: “The fact that a person acted pursuant to an order of his Government or of a superior does not relieve him from responsibility under international law, provided a moral choice was in fact possible to him. (Seseorang yang bertindak menurut arahan Kerajaan atau pihak atasannya tidak terlepas daripada pertanggungjawaban menurut undang-undang antarabangsa, selagi ia mampu membuat pilihan).”

Kesimpulannya, apabila sesebuah negara mengambil langkah sendiri untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan yang tidak disukainya menerusi penggunaan senjata dan tanpa kebenaran PBB, bererti ia melakukan pelanggaran terang-terangan dan terlibat dalam jenayah antarabangsa.

Saya berharap pemenang Hadiah Nobel di Washington itu akan mengerah kekuatan jiwanya untuk menolak perang yang akan membawa kepada pembunuhan yang dahsyat.

> Shad Saleem Faruqi adalah Profesor Emeritus Undang-undang di UiTM. Semua pandangan yang diungkapkan di sini adalah pandangan peribadi beliau.

Artikel Berikut

Artikel Lain