suria

Kecacatan Tidak Halang Pelajar OKU Raih Kejayaan

Nik Nor Ermiza Rozana Mustaffa yang hanya tingginya 100 sentimeter, menunjukkan gambar beliau sewaktu menerima Anugerah Khas Abdullah Ibnu Umm Maktum daripada Canselor Universiti Islam Antarabangsa, Sultan Haji Ahmad Shah di Majlis Konvokesyen ke 25 universiti itu pada tahun 2010. -fotoBERNAMA

BESUT: Walaupun pernah dinafikan peluang untuk belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di peringkat awal kerana kecacatan fizikal namun ia bukanlah penghalang buat seorang insan kurang upaya (OKU) untuk mencapai impian.

Dengan kegigihan dan keazaman yang kental, Nik Nor Ermiza Rozana Mustaffa, 32, akhirnya menggenggam segulung ijazah undang-undang dan syariah dalam tempoh enam tahun apabila diberikan peluang kedua belajar di UIAM dari tahun 2005 hingga 2010.

Anak sulung daripada enam adik beradik ini yang menghidap penyakit kerapuhan tulang sejak dilahirkan dapat membuktikan kecacatan bukan satu penghalang.

Ketika mengimbau liku-liku yang dilalui semasa ditemui di rumah ibu bapanya di Kampung Gong Pak Mentosa, Tembila, dekat sini, beliau berkata semasa mula-mula melapor diri pada 4 Julai, beliau agak terkejut apabila diberitahu yang pihak universiti belum bersedia untuk menerima beliau memandangkan kecacatannya yang boleh mengganggu pengajian kelak.

Menurutnya ketika itu, UIAM tidak dapat memberi jaminan beliau meneruskan pengajian setelah melihat keadaan fizikal dan ketinggiannya yang hanya 94 sentimeter ketika itu, serta tiada kemudahan untuk belajar bagi orang sepertinya sebelum pulang dengan hampa.

Bagaimanapun, beliau agak terkejut apabila didatangi sekumpulan pegawai diketuai Pengarah Pejabat Perhubungan Awam UIAM, Shamsul Azhar Mohd Yusof seminggu kemudian di rumahnya bagi membawa berita gembira yang beliau dibenarkan belajar.

"Saya amat berterima kasih kepada Rektor UIAM ketika itu Profesor Datuk Dr Mohd Kamal Hassan yang membuat keputusan hingga membolehkan saya menyambung pengajian dan dapat duduk selesa di bilik yang diubahsuai untuk orang seperti saya," kata anak kepada seorang petani Mustaffa Ibrahim, 55, dan Raja Rosnawati Raja Mamat, 50.

Nik Nor Ermiza Rozana berkata apa yang penting ialah tidak mudah jemu selain sering dibantu para pensyarah termasuk rakan-rakan di UIAM terutamanya untuk bergerak dengan kereta sorongnya.

Dengan kegigihannya, beliau menerima anugerah khas Abdullah Ibnu Umm Maktum pada Majlis Konvokesyen ke-25 kerana kejayaannya dalam pengajiannya.

Namun begitu sejak menamatkan pengajiannya di UIAM pada tahun 2010, Nik Nor Ermiza Rozana masih menganggur dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan berharap diterima bekerja supaya dapat membantu ibu bapanya yang banyak berjasa dan berkorban untuk kejayaannya sejak di bangku sekolah rendah.

Katanya beliau terpaksa menolak tawaran kerja dari Celcom dan Telekom Malaysia sebagai operator di Kuala Lumpur kerana ingin bekerja di Terengganu.

Namun begitu, beliau masih berharap ada pihak yang sanggup menerimanya untuk bekerja di Terengganu bagi memudahkannya berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dan berharap dapat bekerja sebagai Pegawai Syariah dengan kerajaan negeri Terengganu selepas menjalani temu duga bulan lalu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Antara Yang Benar Dan Yang Perkasa

Artikel Berikut

Artikel Lain