Sharqia Lebih Aman Selepas Krisis Di Mesir

Diterbitkan: Jumaat, 30 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Morsi digulingkan dalam satu rampasan kuasa oleh tentera Mesir pada Julai lalu.
Morsi digulingkan dalam satu rampasan kuasa oleh tentera Mesir pada Julai lalu.

ZAGAZIG: Berada di salah sebuah bandar di negeri kelahiran bekas presiden Mesir Mohamed Morsi yang digulingkan pihak tentera Mesir awal Julai lepas, mungkin menggusarkan hati pelancong, apatah lagi apabila krisis di negara ini masih tidak berkesudahan.

Bagaimanapun, bagaikan 'Angan-angan mengikat tubuh' (Bersusah hati kerana memikirkan perkara yang bukan-bukan), tempat itu sebenarnya tidak seteruk seperti yang disangka, malah mungkin lebih tenang daripada beberapa kawasan lain kerana ia tidak dikategorikan sebagai kawasan 'panas'.

Sharqia, sebuah negeri di Timur Mesir kira-kira 90km dari Kaherah ini sebenarnya juga merupakan tempat Morsi menyampaikan kuliahnya semasa menjadi pensyarah jurusan kejuruteraan di Universiti Zagazig, iaitu ibu negeri Sharqia di sini dan pada masa sama menjadi anggota Parlimen bebas kawasan berkenaan (Zagazig) semasa era pemerintahan bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak.

Apa yang lebih menarik, anggota keluarga Morsi dan saudara maranya, ramai daripada mereka dipercayai masih menetap di beberapa kawasan di negeri berkenaan termasuk Zagazig, selain pengikutnya di sana yang ramai.

Bernama yang mengikuti delegasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke negara bergolak itu bagi membincangkan isu pelajar Malaysia di beberapa universiti utama negara itu berkesempatan melawat Universiti Zagazig dan kawasan sekitarnya yang juga lokasi bagi kira-kira 700 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian dalam jurusan perubatan dan farmasi di sini.

Seorang pelajar perubatan tahun ketiga Abd Hakim Mohd Suhimin, 23, ketika ditemui berkata, bandar dengan kira-kira 320,000 populasi itu sebenarnya lebih tenang berbanding kawasan-kawasan lain, walaupun tidak menafikan masih ada perhimpunan yang diadakan kumpulan Tajarrud (penyokong Morsi) dan Tamarrud (penyokong tentera).

"Namun tiada demonstrasi besar-besaran di sini, cuma ada sedikit perhimpunan dan ini telah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Mesir. Keadaan ini tak menjadi masalah kepada kami, Insya-Allah," katanya.

Beliau yang baru pulang ke Mesir minggu lepas selepas cuti Aidilfitri berkata situasi Mesir pada kali ini juga tidak seteruk pada 2011, sewaktu insiden penggulingan Mubarak.

Turut bersetuju dengan pandangannya adalah seorang lagi pelajar tahun tiga jurusan perubatan, Marwan Muhammad, 22 tahun, yang berpendapat keadaan di tempat dan universiti berkenaan masih terkawal dan yakin akan bertambah baik pada masa depan.

"Pada pandangan saya untuk jangka masa pendek terutama di Zagazig ini, saya tengok tak ada masalah bagi pelajar kita belajar dan melakukan aktiviti harian, cuma untuk jangka masa panjang saya tidak pasti, ini mungkin perlu ada tindakan lanjut dari pihak kerajaan sendiri (untuk mengambil tindakan awal sekiranya perlu), tetapi Insya-Allah di sini selamat," katanya.

Turut mengesahkan situasi terkawal di Zagazig ialah Muhammad Zakhiruddin A Bakar, 24 tahun, juga pelajar tahun tiga jurusan perubatan yang bagaimanapun tidak menafikan keadaan di Mesir secara keseluruhan masih lagi tidak menentu dan tidak dapat dijangka.

Justeru, beliau menyambut baik langkah kerajaan berbincang dengan pihak universiti-universiti utama di Mesir bagi masa depan pelajar Malaysia di negara bergolak itu secara keseluruhan, termasuk yang paling utama menurutnya mengenai penundaan semester pelajaran.

"Bagi saya sendiri tarikh itu patut ditunda sebab masa berlaku rusuhan(14 Ogos) khasnya di Zagazig, pelajar hilang fokus dan mereka juga berharap tarikh dapat dilanjutkan dan bagi masa kepada pelajar untuk fokus mata pelajaran itu sendiri,"katanya.

Ketiga-tiga pelajar itu adalah sebahagian daripada sebilangan kecil pelajar di universiti berkenaan yang membuat keputusan untuk tidak mengikuti program evakuasi sukarela kerajaan Malaysia yang berakhir Khamis lepas atas sebab-sebab tersendiri.

Terdahulu, semasa perjumpaan delegasi KPM bersama naib presiden universiti terbabit, Prof Dr Ashraf M Elshihy, pihak universiti itu bersetuju memenuhi tiga permintaan asas KPM iaitu menunda semester pelajaran sehingga minggu keempat September, menunda tarikh peperiksaan ulangan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak dan mengadakan peperiksaan ulangan di Malaysia bagi pelajar-pelajar Malaysia sekiranya perlu.

Selain Universiti Zagazig, enam lagi universiti iaitu Kaherah, Al-Azhar, Ain Shams, Mansoura, Iskandariah, dan Tanta turut bersetuju dengan tiga permintaan KPM dengan Universiti Kaherah bersetuju mengadakan peperiksaan ulangan bagi pelajar Malaysia di Universiti Putra Malaysia, Serdang, September ini.

Delegasi KPM dibarisi Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Setiausaha Kedua kementerian Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail, mantan Duta Malaysia ke Mesir Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, wakil Universiti Al-Azhar Kampus Malaysia Datuk Yahya Abd Jalil, Pegawai Kanan Kementerian Pendidikan, Sektor Pengajian Tinggi (Bahagian Pendidikan Malaysia) Ibrahim Ali, selain pegawai Kedutaan Malaysia di Mesir.

Delegasi itu tiba di Kaherah Isnin lepas dan menamatkan lawatan kerja itu pada Khamis selepas melawat tujuh buah universiti iaitu Kaherah, Al-Azhar, Ain Shams, Mansoura, Iskandariah, Zagazig dan Tanta.

Pada 3 Julai, Panglima Angkatan Tentera Mesir, Jeneral Abdul Fatah Al-Sisi, menyingkirkan presiden Mohamed Morsi dan menggantung Perlembagaan Mesir selepas protes rakyat sekian lama, menggesa diadakan pilihan raya presiden dan Majlis Shura yang baharu. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan