FIKIRAN MERDEKA: Kabinet Bayangan: Tanggungjawab Siapa?

Diterbitkan: Khamis, 1 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PERDANA Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak telah bercakap mengenai kepentingan persefahaman nasional sejak dari malam pengiraan undi lagi. Belum sempat habis undi PRU13 dikira, beliau telah mula menyebut mengenai pentingnya diusahakan persefahaman nasional tersebut.

Sejak itu, pelbagai pihak telah memberi sumbangan idea untuk menjayakan usaha mewujudkan persefahaman nasional. Tetapi negara kita masih lagi berpecah dari segi politik.

Hakikatnya lebih ramai pengundi yang telah memilih Pakatan Rakyat. Dari segi statistiknya Barisan Nasional telah kalah. Tetapi, seperti yang disuarakan oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan, walaupun BN telah kalah dari segi angka, tetapi BN tetap menang kerana takdir.

Mungkin saya boleh lanjutkan apa yang Datuk Rahman sebutkan bahawa takdir telah menentukan bahawa sistem yang kita amalkan buat masa ini tidak memihak kepada pemenang undi terbanyak.

Saya sebenarnya tidaklah merasakan bahawa perpecahan politik yang kita alami sekarang buruk semuanya. Kita mengamalkan sistem parlimen Westminster yang terbina atas paksi perbezaan antara kerajaan dan pembangkang. Maka perpecahan politik adalah satu keperluan asas dalam sistem parlimen kita.

Kerana itulah saya bimbang apabila ada pihak yang mahu diwujudkan kerajaan perpaduan. Kita tidak mengalami darurat atau peperangan sekarang maka kerajaan perpaduan bukanlah satu keperluan. Malahan apa yang perlu ialah pembinaan perpecahan yang sihat dalam politik dan parlimen kita.

Adalah menakutkan juga apabila sesetengan pihak menyeru diwujudkan kerajaan perpaduan Melayu. Ini adalah seruan untuk mundur ke belakang. Malaysia ialah sebuah negara pelbagai kaum dan agama. Sebarang usaha menidakkan kepelbagaian dalam negara kita akan hanya membawa kepada kemusnahan.

Bagaimanapun, masih ada kelompongan yang ketara yang menghalang wujudnya perpecahan sihat dalam politik kita, iaitu kita masih tidak memiliki sebuah kabinet bayangan yang berkesan.

Kabinet bayangan adalah satu keperluan untuk memastikan kerajaan sentiasa disemak imbang. Malangnya BN dan PR terus menerus gagal mewujudkan kabinet bayangan baik di parlimen persekutuan mahupun di dewan-dewan undangan negeri. Baik BN mahupun PR, tidak ada satu pihak pun yang serius mahu memastikan kabinet bayangan boleh dibentuk.

Jika kita lihat di Britain, parti pembangkang menerima pembiayaan daripada dana negara untuk menjalankan tanggungjawab mereka di parlimen. Pembiayaan ini dipanggil “Dana Short”, sempena mengambil nama Edward Short, ketua parlimen semasa zaman Harold Wilson yang mencadangkan dimulakan dana ini pada tahun 1974.

Menurut skim Dana Short, parti pembangkang dalam parlimen menerima peruntukan berikut:

- Perbelanjaan umum sebanyak £16,000 setahun untuk setiap kerusi parlimen yang dimenangi, dan £32.00 untuk setiap 200 undi yang diperoleh dalam pilihan raya;

- Jumlah tertentu untuk membiayai kos perjalanan dan pengangkutan

- Elaun khas £757,000 untuk membayar kos operasi pejabat Ketua Pembangkang

Dan sebagai tambahan kepada gaji biasa ahli parlimen, terdapat juga peruntukan untuk para pemimpin parti pembangkang. Ketua Pembangkang menerima £63,098, Ketua Whip Pembangkang menerima £33,002, manakala Pembantu Ketua Whip Pembangkang menerima £19,239 setahun.

Maksudnya, untuk tahun kewangan ini sahaja, parti pembangkang iaitu Parti Buruh menerima peruntukan sebanyak £6.5 juta setahun untuk membiayai kos mereka.

Parti-parti pembangkang yang lebih kecil juga menerima manfaat daripada Dana Short. Parti Democratic Unionist misalnya menerima sebanyak £161,883, Parti Hijau menerima £64,292, Parti Plaid Cymru menerima £77,763, Parti SDLP menerima £68,677, dan Scottish National Party pula menerima £182,386 setahun.

Dewan Kedua dalam parlimen Britain, iaitu House of Lords, juga mempunyai skim yang sama seperti Dana Short, dikenali sebagai Dana Cranborne. Dana ini juga bertujuan membantu pembangkang dalam dewan kedua itu.

Amalan ini turut turun ke peringkat kerajaan yang lebih rendah. Contohnya terdapat juga peruntukan khas yang diberi kepada pembangkang dalam pihak berkuasa tempatan.

Contohnya di salah sebuah PBT di kota London, ketua pembangkang menerima peruntukan tambahan sebanyak £14,000 setahun dan barisan kabinet bayangan juga menerima pelbagai kemudahan lain.

Sebelum kita pergi lebih jauh, perlu diperjelaskan bahawa semua dana dan peruntukan ini diberikan bukan untuk mengajak pembangkang menyokong agenda kerajaan. Ia bukan umpan untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan atau menyekat perpecahan.

Tetapi semua dana ini diberikan semata-mata untuk membolehkan parti-parti pembangkang menjalankan tugas mereka, iaitu membangkang apa yang mahu dibuat oleh kerajaan. Dana negara diberikan untuk membolehkan bangkangan dibuat dengan lebih kuat dan efektif.

Dalam konteks kita di Malaysia, jika kerajaan benar-benar mahukan satu persefahaman nasional, maka antara langkah awal yang boleh diambil ialah dengan memberikan pengiktirafan yang sewajibnya kepada barisan pembangkang. Pengiktirafan ini perlu di sekalikan dengan peruntukan kewangan dan sumber yang secukupnya.

Tindakan ini akan membuktikan bahawa kerajaan menghormati pilihan rakyat.

Barisan pemimpin yang beriltizam dengan prinsip-prinsip demokrasi seharusnya faham peri pentingnya semak dan imbang. Maka jika kerajaan benar-benar menghormati peranan institusi parlimen, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan wujudnya mekanisme semak imbang yang berkesan melalui pembentukan sebuah kabinet bayangan.

Oleh itu, apabila Belanjawan 2014 dibentangkan nanti, perlu diwujudkan satu dana khas untuk membolehkan pembangkang berfungsi dengan lebih efektif dan berkesan.

*** Wan Saiful Wan Jan ialah ketua eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (www.ideas.org.my)

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan