Songkok AKIM Warisan Dari India

Diterbitkan: Rabu, 31 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Sejak dikomersialkan perniagaan songkok Melayu di Jalan Muhibbah, Satok, dekat sini tahun lepas, Kalsum Bee Mohd Yusuf, 48, dan sejak itu tidak lagi menoleh ke belakang.

Dengan bantuan suami, Abang Abdul Razak Abang Amin Bujang, 43, Kalsum Bee menukar perniagaan kecil-kecilan yang berusia 60 tahun itu kepada sebuah 'empayar' perniagaan songkok berjenama AKIM di Sarawak.

Dan lebih manis kemahiran yang diwarisi daripada datuknya itu sudah mampu memecah monopoli perniagaan yang sebelum ini dikuasai oleh syarikat-syarikat dari Semenanjung.

Menurut Kalsum Bee, terdapat beberapa jenis songkok yang dihasilkan di perusahaannya itu dan tidak menolak kualiti songkoknya terjamin berdasarkan jahitan yang kemas serta kualiti bahan yang digunakan menjadi faktor permintaan produk itu terus meningkat.

"Saya membuat sedikit pengubahan terhadap songkok Sarawak yang biasanya melengkung di bahagian atas itu menjadi rata dan ia adalah sesuatu yang jarang dilakukan oleh pengusaha tempatan di negeri ini," katanya.

Mengikut anggaran Kalsum Bee, sejak menukar mesin jahit yang lebih moden, beliau mampu menyiapkan sebiji songkok dalam tempoh hanya 30 minit dan dalam sehari beliau mampu menyiapkan 50 biji berbanding hanya 20 biji songkok sehari sebelum ini.

PERNIAGAAN TURUN TEMURUN

Bercerita mengenai sejarah di sebalik perusahaan ini, Kalsum Bee berkata, kemahiran membuat dan berniaga aksesori kepala lelaki itu sebenarnya diwarisi daripada arwah datuknya.

"AKIM adalah singkatan nama datuk saya, Ali Kerigani Ibrahim dan tambahan perkataan Malaysia dihujungnya. Datuk saya dahulu seorang pedagang yang berasal dari Nagor, India dan berhijrah ke Sarikei, Sarawak," kata Kalsum sambil menambah bahawa kemahiran datuknya itu kini diturunkan untuk diwarisi kepada anak-anak dan cucunya pula.

Menurut Kalsum Bee, penglibatan awal beliau dalam perusahaan itu sebenarnya bermula sejak berumur lapan tahun dan ketika usia itu beliau sudah boleh menjahit bahagian tepi dan dalam songkok.

Hanya bila melangkah ke alam sekolah menengah barulah Kalsum Bee mahir menjahit hingga mampu menghasilkan satu unit songkok yang boleh dijual.

"Tetapi tidak mudah untuk datuk beri kepercayaan kepada saya menjahit, tambahan pula mesin jahit yang digunakan datuk dahulu dibawa khas dari Nagor, India ke Sarawak," katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata ini berkata, mesin jahit jenis pusing milik datuknya itu masih disimpan hingga hari ini di rumah bapa saudaranya di Sarikei.

PROSES MEMBUAT SONGKOK

Berpengalaman selama 36 tahun membuat songkok, Kalsum Bee cukup mahir mengenai selok-belok menghasilkan songkok bermula dari langkah pertama iaitu menempah pelan dan lapisan luar songkok dari Surabaya, Indonesia, menjahitnya dengan kain baldu sebelum ia dijual.

"Awal-awal dulu, saya melakukan sendiri bermula dari proses melukis pelan, merangka lapisan luar, membalut dengan kain baldu hinggalah menjahitnya, tetapi kini sedikit mudah kerana pelan dan lapisan luar songkok boleh ditempah siap dari Surabaya," katanya.

Bercerita mengenai kualiti produknya, Kalsum berkata songkok yang cantik bergantung kepada cara jahitan, konsep potongan kain dan bahan yang digunakan.

"Sebenarnya, membuat songkok memerlukan ketelitian dan masa pertukangan yang lama dan setiap kali saya menerima tempahan ini bermakna hasil kerja tangan saya mendapat kepercayaan daripada pelanggan.

"Selain menyiapkan kerja dalam tempoh yang diberikan, saya juga perlu memastikan setiap songkok yang dihasilkan menggunakan bahan yang berkualiti tinggi," katanya.

Songkok yang dihasilkan mempunyai beberapa variasi, antaranya jenis rata dan jenis gunung dengan saiz 4 inci, 4 1/2 inci, 5 inci serta 6 inci.

SONGKOK HARI RAYA

Setiap kali menjelang Aidilfitri, para lelaki pasti menggayakan songkok bersama baju Melayu dan semestinya tradisi itu membawa rezeki berganda kepada perusahaan songkok AKIM.

"Alhamdulillah setiap kali menjelang puasa, rezeki kami semakin bertambah, sebelum menyambut Ramadan lagi saya sudah menerima tempahan bukan sahaja daripada pelanggan perseorangan malah para pemborong dan penjual songkok.

"Untuk Aidilfitri tahun ini, saya sudah terima tempahan hampir 60 kodi atau 1,200 unit songkok daripada pemborong di seluruh Sarawak. Selain itu ada juga stok untuk jualan di pasar Ramadan yang sudah disiapkan," katanya.

Kalsum Bee berkata, dalam masa yang sama beliau bersedia menerima tempahan untuk menghasilkan songkok 'khas' yang berbeza lari daripada warna hitam, bagi pelanggan yang ingin kelihatan lebih bergaya dan sedondon dengan busana mereka pada hari lebaran.

"Walaupun tempahan banyak saya tetap jaga kualiti kerana bagi saya kepuasan pelanggan harus diutamakan," katanya.

IKRAR SI ANAK

Berkunjung ke kilang perusahaan songkok Kalsum Bee, kelibat anak perempuan Kalsum, Dayang Nur Maisarah, 15, pasti menarik perhatian.

Gadis remaja ini kelihatan cukup cekap menjahit bahagian tepi dan dalam songkok ketika membantu emaknya menyiapkan tempahan pelanggan selepas pulang dari sekolah.

Maisarah yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road di sini berkata, dia mulai belajar menjahit songkok daripada emaknya sejak setahun lepas.

"Saya dah cakap kat emak, nak sambung perusahaan ini kerana minat selain menyedari tidak ramai orang muda mampu menghasilkan songkok, emak beri galakkan dengan ajar saya jahit bahagian tepi songkok dahulu," katanya.

Menurut Maisarah, dia kini dalam proses mempelajari kaedah menjahit dan menghasilkan satu unit songkok menggunakan mesin jahit pula. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan