suria

Karipap Gergasi Kuarters KLIA Dapat Sambutan Ramai

NILAI: Kebiasaannya pengunjung ke Bazaar Ramadan akan mudah bertumpu kepada gerai yang menjual makanan atau sesuatu yang di luar kelaziman penjual lain untuk selera berbeza berbuka puasa.

Karipap ialah kuih tradisional Melayu biasa yang memang banyak dijual di bazaar Ramadan dan memang menjadi pilihan pembeli.

Untuk menarik pengunjung ke gerai karipapnya, pengusaha kantin Norhana Sulaiman, 43, mencari kelainan dengan membuat karipap bersaiz luar biasa yang dinamakannya 'karipap gergasi'.

"Tercetusnya idea membuat karipap gergasi ini apabila saya hendak buat kelainan untuk berniaga pada bulan puasa ini. Berniaga pelbagai jenis kuih muih itu memang dah biasa, tapi saya nak buat satu kelainan yang tidak pernah ada di negeri ini," katanya kepada Bernama.

Usaha beliau disokong oleh suaminya dan mereka membuat keputusan untuk tidak menyertai bazaar Ramadan berhampiran, tetapi membuka gerai di tepi jalan, di Kuarters Perumahan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dekat sini.

Karipap gergasi buatan Norhana menyediakan tiga pilihan inti iaitu inti daging, ayam dan sardin dan dijual dengan harga RM2.50 satu.

Norhana berniaga bersama suami dan seorang pembantu dan sambutan orang ramai terhadap karipap gergasinya adalah di luar dugaan mereka pada mulanya kerana setiap hari hampir 400 karipap habis dijual.

Katanya proses pembuatan karipap gergasi ini dimulai seawal pukul 7 pagi dan beliau mula berniaga pada pukul 3 petang.

"Untuk memastikan kerangupan karipap ini, saya akan menggorengnya separuh masak sebelum tiba di gerai kerana pelanggan mahukan karipap yang dibeli dalam keadaan panas.

"Selain inti sedia ada, saya juga berhasrat untuk menambah lagi perisa inti karipap seperti lada hitam, ikan bilis dan sebagainya kerana ingin mencuba sesuatu yang berbeza," kata ibu kepada empat orang anak itu.

Katanya resepi karipap istimewa beliau ini diturunkan daripada arwah ibu beliau dan disebabkan itu perniagaan karipapnya dinamakan "Karipap Kekasih Bonda'. - BERNAMA

Artikel Berikut

Mencari Telekung Idaman

Artikel Lain