Mencari Telekung Idaman

Diterbitkan: Selasa, 30 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bagaikan sudah menjadi satu tradisi wajib apabila menjelangnya Ramadan, kaum wanita begitu sibuk memikirkan dan membeli pelbagai kelengkapan sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ada sahaja yang terlintas di hati atau dalam senarai ingin dibeli bagi persiapan diri mahupun keluarga.

Baju rayalah, langsir, alas meja, aksesori perhiasan diri dan tidak terkecuali mereka juga biasanya tertarik untuk membeli telekung baharu.

Kalau semuanya hendak ditukar hinggakan baju raya pun berpasang-pasang takkanlah pakaian ibadat hanya guna yang lama sahaja, itu antara kata rakan-rakan penulis.

Berbentuk kain selubung putih untuk menutup tubuh dan mempunyai kain yang labuh, telekung adalah pemakaian yang menutup aurat ketika bersolat untuk kaum wanita khususnya di negara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Thailand.

BELI SETAHUN SEKALI

Biarpun telekung sentiasa ada di pasaran, namun tidak dinafikan juga terdapat kaum wanita yang lebih gemar menanti peluang membeli telekung semasa bulan mulia ini.

Selain ingin digunakan untuk kegunaan sendiri dalam menunaikan ibadah Tarawih, harga ditawarkan pada masa ini juga amat menarik perhatian sehingga tercetusnya 'pesta harga' di kebanyakan lokasi.

Teknik penjualan juga kreatif dan mencuit hati. Ada antara peniaga lelaki mengenakan pemakaian telekung sambil memanggil-manggil pelanggan dengan gaya tersendiri untuk menambat minat mereka.

Dan, ketika inilah juga kita boleh melihat pelbagai corak, jenis fabrik, sulaman serta fesyen terkini telekung yang mewarnai pasaran sehingga adakalanya menyukarkan seseorang itu membuat pilihan.

Melihat keadaan itu, tidak menghairankanlah apabila permintaan pembelian telekung pada bulan Ramadan memberangsangkan, meningkat sepertimana yang diperkatakan peniaga tudung dan telekung Nor Azirah Salleh kepada Bernama.

"Ada pelanggan menyatakan bahawa mereka beli telekung setahun sekali dan menjadikan Ramadan untuk tujuan itu. Kami juga menawarkan diskaun kepada pelanggan.

"Kalau sebelum Ramadan, harga telekung yang kami jual adalah antara RM60 sehingga RM55 tetapi kini anda boleh mendapatkannya hanya RM40," katanya yang menjual telekung buatan Indonesia.

Tambahnya, trend diskaun perlu dilakukan berikutan kebanjiran pasaran telekung ketika ini begitu sengit apabila terdapatnya ribuan penjualan pakaian ibadat ini sama ada di bazar, butik, pasar dan laman sosial.

SEBAGAI HADIAH

Istimewanya, pembelian telekung pada masa ini tidak sekadar terhad untuk tujuan ibadah Tarawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri semata-mata, malahan ramai antara kaum wanita dan lelaki menggunakan peluang ini membelinya sebagai hadiah.

Bagi tujuan itu, selalunya pelanggan dari Sabah, Sarawak dan Brunei, yang menetap dan bekerja di sini akan membeli telekung untuk diberi kepada ahli keluarga.

Bukannya beli sehelai atau dua tetapi ada antaranya lebih daripada itu kerana terpikat dengan corak, kerawang selain harganya yang berpatutan, kata Nor Azirah.

Ada juga tujuan pembelian untuk dijadikan hantaran perkahwinan atau persediaan serta dihadiahkan kepada mereka yang bakal menunaikan ibadah haji.

Bagi pengasas telekung tempatan Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, Padzilah Enda Sulaiman berkata, ada yang mengambil keberkatan pada bulan mulia ini dengan membeli telekung untuk tujuan bersedekah.

Kebiasaannya, telekung itu akan diwakafkan sama ada ke surau mahupun rumah anak yatim.

PILIHAN IDAMAN

Berkaitan pilihan, kalau sebelum ini tidak ramai kaum wanita yang menitikberatkan pemilihan telekung, tetapi situasi masa kini jauh berbeza. Dahulu, sekadar ada kain telekung untuk menunaikan ibadat solat sudah mencukupi.

Atau paling tidak pun, asalkan telekung itu cantik tanpa memikirkan sama ada ia selesa atau sebaliknya.

Ini kerana, terdapat telekung yang mana bahagian mukanya terlalu longgar sehingga memerlukan seseorang itu memakai kerongsang ataupun perlu dibaiki supaya mereka berasa selesa.

Dan, ada juga bahagian dagu terlalu kecil sehingga muka terasa bagaikan dicengkam.

Akan tetapi, aliran perubahan masa dan fesyen terkini dalam dunia pakaian ibadah itu telah membawa kepada kepelbagaian citarasa dalam diri masing-masing.

Ini termasuklah aspek yang menjadi keutamaan semasa pembelian iaitu selesa, tampak cantik dan tidak panas menjadi pilihan majoriti.

Manakala, jenis fabrik yang popular pula adalah berciri lembut, tidak panas seperti 100 peratus kapas.

MUDAH DAN MEMENUHI SYARIAT

Di samping itu, telekung yang mudah dipakai dan tidak memerlukan pemakaian anak tudung antara diminati ketika ini selain memenuhi syariat (hukum agama) seperti menutupi anak rambut dan dagu dengan sempurna.

"Dengan perkembangan ekonomi, pelanggan sudah mampu memiliki beberapa pasang telekung untuk kegunaan sendiri. Selama ini, pelanggan hanya memilih telekung berdasarkan sulaman dan jenis fabrik sahaja.

"Namun, kini Siti Khadijah telah menawarkan kepada pelanggan untuk memilih reka bentuk di bahagian muka yang selesa dan bersesuaian dengan bentuk muka," kata Padzilah yang membangunkan jenama telekung Siti Khadijah sejak 2009.

TREND WARNA-WARNI

Menariknya, koleksi telekung pun beraneka jenis.

Bukan lagi sekadar warna putih polos dan hiasan kerawang menjadi pilihan malahan telekung berwarna kini mula mendapat tempat.

Bagi penjual telekung separuh masa di laman sosial, Azzah, kebanyakan permintaan pelanggannya lebih tertumpu kepada telekung berwarna.

Beliau menjual telekung Yemen dan mendapatkannya menerusi anak ibu saudaranya yang belajar di sana.

"Ramai yang ambil telekung warna maroon, biru tua giege dan sebagainya. Rekaan telekung ini seperti jubah dan labuh menutupi kaki. Telekung ini juga ada bahagian untuk sarung lengan tangan," katanya.

Bagaimanapun, warna putih tetap mendominasi permintaan. Antaranya bagi memenuhi permintaan untuk menunaikan ibadah haji ke Makkah dan budaya masyarakat negara ini yang lebih gemar warna putih.

PERSAINGAN

Akan begitu, tinjauan mendapati kebanyakan telekung yang dijual adalah daripada negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam.

Agak sukar untuk melihat hasil telekung tempatan dan kalau ada pun hanya di butik-butik tertentu seperti Siti Khadijah.

Ini sekali gus mewujudkan persaingan kepada pembuat tempatan.

Kata Padzilah, keadaan ini berlaku disebabkan telekung tempatan tidak banyak di pasaran berikutan industri ini masih lagi baru di negara ini.

Selama ini, industri telekung hanya dibuat secara kecil-kecilan sekadar memenuhi tempahan rakan dan jiran-jiran.

Biarpun begitu, senario ini tidak menjejaskan permintaan telekung tempatan dan ini diakui sendiri oleh pengusaha telekung, Noor Azliza Abdul Wahab yang menjalankan perniagaannya di Kampung Pulau Kecil, Jitra, Kedah.

"Permintaan sentiasa ada dan perniagaan tidak terjejas. Biarpun mereka membeli dari negara luar, tetapi kebanyakan mereka akan datang berjumpa kami minta diperbaiki bahagian muka kerana longgar," katanya yang membangunkan telekung jenama Melati Tanjung Enterprise.

Walau apa sekalipun jenis, rekaan telekung masa kini, apa yang penting adalah nawaitu untuk berpakaian cantik dan indah itu adalah sebagai persediaan berdepan dengan kekasih yang Maha Agung iaitu Allah SWT.

Dan, ia bukanlah berpaksikan kepada sekadar menunjuk-nunjuk sehingga menimbulkan rasa riak dalam diri. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan