Jais, Badan Kerajaan Bersihkan Stok Pasir Disimpan Di Tanah Rizab Perkuburan

Diterbitkan: Rabu, 10 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Serbuan yang dilakukan Jais dan badan-badan kerajaan untuk membersihkan simpanan stok pasir di sepanjang Jalan Sungai Pusu, Gombak.
Serbuan yang dilakukan Jais dan badan-badan kerajaan untuk membersihkan simpanan stok pasir di sepanjang Jalan Sungai Pusu, Gombak.

SEBUAH tapak perlombongan dan tempat penyimpanan stok pasir di Gombak telah dibersihkan dan kawasan tersebut telah disita selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendapati ia beroperasi secara haram di tanah rizab perkuburan Melayu.

Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin berkata, pegawai-pegawai dari jabatan itu telah melawat tapak simpanan pasir yang terletak di sepanjang Jalan Sungai Pusu pada 4 Julai lalu untuk mengeluarkan notis pemindahan kepada pengendali yang telah mengabaikannya notis tersebut.

Pada pukul 10 pagi Isnin, lebih 50 kakitangan dari pelbagai jabatan, termasuk Jais, polis, Imigresen, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pejabat tanah negeri dan daerah telah pergi ke tapak ini untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Pengendali simpanan pasir berhujah dengan pegawai penguatkuasa Jais dengan berkata operasi perlombongan pasir itu sedang dijalankan secara sah dan telah mendapat kelulusan dan permit yang diperlukan.

Beliau menambah, syarikat itu telah mencapai persetujuan dengan jawatankuasa masjid berdekatan untuk menyimpan stok pasir di tanah rizab perkuburan Melayu.

Marzuki menjawab bahawa semua tanah, harta dan masjid berada di bawah bidang kuasa Jais, yang mempunyai kata putus mengenai perkara itu.

"Seorang ahli jawatankuasa masjid memberitahu saya bahawa mereka menerima RM4,000 sebulan sebagai bayaran sewa daripada pengendali simpanan pasir, yang mana RM3,000 digunakan untuk membayar penyelenggaraan tanah perkuburan manakala bakinya dijadikan dana masjid.

"Bagaimanapun, jika jawatankuasa masjid mahu mengumpul dana, mereka sepatutnya berunding dengan kami terlebih dahulu, terutamanya kerana ini melibatkan tanah rizab Melayu," kata Marzuki.

Dalam serbuan itu, pegawai-pegawai Jabatan Imigresen turut menahan lima warga asing kerana tidak mempunyai permit kerja.

Pegawai Daerah Gombak Datuk Nor Hisham Ahmad Dahalan berkata pengendali simpanan mungkin akan menghadapi pertuduhan, termasuk pengambilan pekerja asing tanpa dokumen yang sah serta kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara kerana mendirikan bangunan atau struktur di atas tanah rizab tanpa kebenaran.

Sebuah penggali dan penjana telah dirampas oleh pihak berkuasa manakala beberapa struktur kayu, yang dipercayai menjadi kuarters pekerja, telah dirobohkan dalam serbuan Isnin.

Difahamkan perkara itu pertama kali disedari apabila penduduk kawasan itu mengadu mengenai habuk dan pencemaran udara yang disebabkan oleh lori mengangkut pasir yang keluar masuk dari tapak ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan