suria

Perubatan Islam Perlu Dipromosikan Secara Meluas - Haron Din

KUALA LUMPUR: Perubatan Islam perlu dipromosi secara meluas untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap rawatan alternatif itu, kata Pengasas dan Penasihat Pusat Perubatan Darussyifa' Datuk Dr Haron Din.

Beliau berkata kekurangan pendedahan mengenai ilmu perubatan Islam menyebabkan ia kurang mendapat perhatian masyarakat meskipun mempunyai potensi besar sebagai alternatif untuk merawat pelbagai penyakit.

"Kebaikan perubatan Islam ini perlu diberi promosi lebih meluas dalam media cetak dan media elektronik selain menerusi seminar dan memperbanyakkan penubuhan klinik rawatan Islam," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Konsep dan Amalan Dalam Perubatan Islam' sempena seminar Pengubatan Islam di Masjid Negara di sini hari ini, Haron Din menyifatkan persaingan daripada rawatan moden turut menenggelamkan potensi perubatan Islam.

"Persepsi masyarakat, rawatan moden yang dikuasai barat itu lebih canggih dan berkemampuan mengubati sebarang penyakit manakala perubatan dan rawatan Islam kurang dipromosi kerana dunia rawatan pada hari ini, tidak dikuasai orang Islam. "Bila barat menguasainya, dalam konteks rawatan moden Allopathy maka mereka (masyarakat) mungkin kurang keyakinan atas kebolehan pengamal perubatan Islam mengatasi semua penyakit," katanya.

Haron Din berkata setakat ini Pusat Perubatan Darussyifa' mempunyai 40 buah pusat rawatan tanpa kursus (hanya untuk mengubati pesakit sahaja) di seluruh negara termasuk Brunei dan telah mentauliahkan seramai 6,000 pelajar ijazah rawatan Islam. Seminar sehari itu, anjuran Masjid Negara denga kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pusat Perubatan Darussyifa' itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai ilmu perubatan Islam berlandaskan al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad S.A.W. -BERNAMA

Artikel Lain