Berganding Bahu Bersihkan Sungai Tekala

Diterbitkan: Khamis, 13 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sebahagian para peserta yang mengambil bahagian menimbang sampah sarap ketika berganding bahu membersihkan Sungai Tekala. Foto BERNAMA
Sebahagian para peserta yang mengambil bahagian menimbang sampah sarap ketika berganding bahu membersihkan Sungai Tekala. Foto BERNAMA

KAJANG: Hutan Lipur Sungai Tekala, yang terletak di Semenyih, Selangor, menjadi antara lokasi yang sering menjadi tumpuan pengunjung terutama pada hujung minggu dan cuti sekolah.

Cuaca panas dan kering yang sedang dialami sekarang menambahkan lagi jumlah kehadiran orang ramai yang mencari lokasi sesuai untuk bersantai dan menyejukkan badan.

Berkunjung di sini, fikiran pastinya menjadi tenang apabila melihat kejernihan air sungai yang mengalir dengan suasana redup pokok dan tumbuh-tumbuhan yang memenuhi di kiri dan kanan sungai.

Keindahan alam ini perlu dipelihara untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

Namun masalah sampah yang dibuang merata tempat terutama di kawasan rekreasi tumpuan ramai sering menjadi isu hingga menimbulkan kurang selesa dan sakit mata memandang.

Semuanya berbalik kepada sikap dan kesedaran semua pihak untuk menjalankan tanggungjawab bagi memelihara kebersihan dan alam sekitar.

Mengambil inisiatif itu, seramai 30 mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menggelarkan diri mereka sebagai Eko-relawan UKM melakukan kerja sukarela membersihkan persekitaran Sg Tekala yang dibuka secara rasmi sejak 20 tahun lepas.

Pupuk cinta alam sekitar.

Mendapat kerjasama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM, Jabatan Perhutanan, Majlis Perbandaran Kajang dan Canon Opto(M) Sdn Bhd serta Canon Marketing berjaya mengumpul kira-kira 200 peserta untuk turut terlibat bagi memenuhi tanggangjawab sosial itu.

Hanya setengah jam diberikan untuk mengutip sampah-sampah yang terdapat di sekitar kawasan Sg Tekala dan hasilnya, sebanyak 315 kilogram sampah dapat dikumpul dalam masa singkat itu.

Ini jelas membuktikan, kesedaran orang ramai tentang kebersihan, penjagaan sungai serta alam sekitar masih lagi rendah, menurut Pensyarah Kanan LESTARI, Dr Rahmah Elfitri.

Beliau antara tenaga pengajar yang menggerakkan kumpulan sukarelawan Eko-relawan UKM, yang ditubuhkan hampir dua tahun lepas.

Antara matlamatnya ialah memberi pendedahan kepada pelajar akan kepentingan menjaga alam sekitar bagi melahirkan masyarakat yang cinta dan menghargai khazanah alam yang tidak ternilai harganya itu.

"Melalui aktiviti sebegini, mereka tahu pentingnya sungai kepada manusia serta sedikit sebanyak memberi kesedaran agar menghargai air, kerana jumlah air sungai di dunia lebih sedikit berbanding sumber air lain seperti laut.

"Mereka juga boleh melihat sendiri bagaimana aktiviti manusia menyebabkan pencemaran air, tidak kiralah melalui pembuangan sampah, sisa bahan lain dan seumpamanya," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sebagai projek ke-10 melibatkan aktiviti eko-relawan , ia juga bertujuan melatih mereka menjadi fasilatator alam sekitar untuk membolehkan mereka terlibat dan mengadakan program serta aktiviti alam sekitar untuk membantu memberi kesedaran kepada masyarakat.

Antara aktiviti yang disertai Eko-relawan sebelum ini ialah membersihkan pantai di Hotel Corus, Port Dickson, bengkel alam sekitar serta Kayuhan Amal dan Sihat.

"Kita mahu lahirkan barisan pelapis yang benar-benar cintakan alam sekitar. Ia bukan sekadar aktiviti mengutip sampah dan membersihkan sungai sahaja, sebaliknya mempunyai pelbagai modul lengkap yang diajar dan melatih mereka tentang eko sistem seperti hutan, sungai, udara, tenaga, tanah dan sisa.

"Dengan kesedaran yang ditanam dalam diri mereka, kemudian diturunkan kepada ahli keluarga, anak dan generasinya nanti. Dengan cara ini diharap dapat melahirkan generasi yang mempunyai kesedaran yang tinggi dalam penjagaan alam sekitar dan eko sistem," katanya.

Pengalaman pertama.

Pernah melihat sendiri kekotoran dan sampah yang dibuang merata-rata di sekitar Sg Tekala ketika mengunjungi pusat rekreasi itu tahun lepas, antara sebab Wan Mohd Amin Wan Salim, 23, terpanggil untuk terlibat dalam program membersihkan sungai berkenaan.

Menurut pelajar tahun akhir jurusan perakaunan itu, pengalaman kali pertama menyertai program alam sekitar bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang penjagaan alam sekitar tetapi menanam minatnya untuk terus serius terlibat dalam aktiviti kesukarelaan.

"Seperti pelajar lain, mungkin selama ini saya kurang ambil berat tentang alam sekitar dan sibuk dengan dunia sebagai pelajar.

"Melalui pendedahan aktiviti seperti ini memberi banyak ilmu dan manfaat bukan sahaja hubungan dengan alam tetapi juga manusia," katanya.

Selain aktiviti membersihkan sampah, diadakan merentas hutan yang diketui oleh Felo Utama LESTARI, Datuk Shaharudin Mohd Ismail yang membawa 40 peserta melawat tapak Hutan Lipur Sg Tekala. Ia bagi mengenal lebih dekat spesis pokok, khazanah hutan dan komponen berkaitan hutan seperti sungai dan tanah.

Acara lain yang turut diadakan pada program itu, pertandingan fotografi dan mengecat jambatan.

Tanggungjawab bersama.

Pengurus Kanan Canon, Muhamad Azlan Amran yang turut hadir pada program itu berkata, penjagaan sumber air perlu menjadi amalan yang harus disemai kepada setiap individu dan masyarakat bagi memastikan kelestarian kehidupan semua makhluk di bumi ini.

Adalah diharap aktiviti menjaga sungai dijadikan sebahagian tanggungjawab sosial setiap individu dan organisasi tidak kira kerajaan atau swasta untuk berganding bahu bersama-sama menjaga kepentingan sumber keperluan utama manusia dan kehidupan.

"Semua pihak perlu mengambil inisiatif dalam "Penjagaan Sungai Kita" dan tidak harus diletakkan kepada satu-satu pihak atau kerajaan sahaja.

"Program ini diadakan bagi memastikan generasi akan datang boleh menggunakan hutan rekreasi ini pada masa akan datang kerana sebarang elemen pencemaran akhirnya akan membawa kepada kemudaratan kehidupan dan kesihatan kita sendiri," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan