Penunggang Basikal Jelajah Dunia Singgah Nikmati Durian

Diterbitkan: Selasa, 4 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rakyat Taiwan, Chang Chiao- Chung, 28, yang berbasikal menjelajah dunia singgah di sebuah gerai buah durian di Sungai Pinang, Balik Pulau pada Selasa untuk merasai raja buah berkenaan. -Foto BERNAMA
Rakyat Taiwan, Chang Chiao- Chung, 28, yang berbasikal menjelajah dunia singgah di sebuah gerai buah durian di Sungai Pinang, Balik Pulau pada Selasa untuk merasai raja buah berkenaan. -Foto BERNAMA

GEORGE TOWN: Durian dari Balik Pulau terbukti terlalu sedap sehinggakan Chang Chiao-Chung, penunggang basikal dari Taiwan yang sedang menjelajah dunia, 'terpaksa' singgah untuk menikmati keenakan raja buah Malaysia itu.

Chang, 28, dari Kaohsiung, berkata aroma durian begitu menggoda untuk beliau mencubanya lebih-lebih lagi daripada jenis bermutu.

"Saya baru tiba di sini Jumaat lepas dan memasukkan durian dalam senarai buah yang mesti dicuba di Pulau Pinang.

"Saya sudah merasai buah durian beku di Thailand beberapa bulan lepas tetapi tidak sama dengan durian segar di sini dan saya sukakan warna durian yang kuning itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini Selasa.

Kata Chang, beliau begitu menggemari tekstur durian yang halus dan berkrim. "Malaysia menjadi persinggahan kelima saya selepas China, Vietnam, Laos dan Thailand. Selepas ini saya akan bekerja di Australia selama beberapa bulan untuk mencari sedikit wang saku sebelum meneruskan perjalanan ke New Zealand, negara Eropah, Amerika Syarikat dan Amerika Selatan sebelum pulang ke Taiwan," katanya.

Chang berkata rancangannya untuk berbasikal menjelajah dunia timbul setelah beliau berasa bosan dengan persekitaran tempat kerjanya selama enam tahun di sebuah syarikat komunikasi di Taipei, sebagai pegawai penyelenggara.

"Saya mahu menjelajah dan mempelajari perkara baharu dan itulah sebabnya saya berbasikal mengelilingi dunia. Saya dapati Malaysia sebuah negara yang unik dengan penduduk berbilang kaum dan budaya hidup aman serta harmoni," katanya, yang dilihat membeli beberapa biji durian.

Chang berkata beliau menggemari makanan di negara ini namun satu-satunya sajian yang akan dirinduinya apabila meninggalkan Malaysia Ahad ini ialah ladu beras pulut (bak chang).

Selain sinonim dengan Laksa Balik Pulau, kawasan ini turut terkenal dengan ladang durian termasuk daripada varieti Musang King atau 'Mau Shan Wang', Isi Merah atau 'Xiao Hong', Labu Air atau 'Hor Lor' dan Udang Merah atau 'Ang Heh', dengan harga sekilogram durian ini boleh mencecah sehingga RM50. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan