Keyakinan BN Di Perak, Debaran Buat '3N'

Diterbitkan: Sabtu, 4 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Zambry yakin BN mampu mempertahankan Perak.
Zambry yakin BN mampu mempertahankan Perak.

KEYAKINAN Barisan Nasional (BN) untuk sekali lagi menerajui pentadbiran di Perak sudah ramai yang tahu.

Jika ada yang bertanya dari mana terbitnya keyakinan menggunung itu, Datuk Seri Zambry Abd Kadir selaku menteri besar pasti memberi laluan kepada rakyatnya untuk menjawab soalan mudah itu.

Sebenarnya, jawapan terhadap persoalan itu terang-terangan berada dalam kad laporan kerajaan BN Perak di bawah naungan Zambry.

Andai pencapaian Zambry sepanjang lebih kurang empat tahun mentadbir Perak dizahirkan melalui gambar, maka akan terteralah gambar-gambar kompleks UTC di tengah-tengah bandaraya Ipoh, RTC di Simpang Pulai, Terminal AmanJaya dan pelbagai lagi gambar yang menterjemahkan kepesatan dan pembangunan ekonomi di Perak.

Dan, jika prestasi beliau dizahirkan melalui angka dan aksara, ia dapatdilihat melalui 55,000 tawaran pekerjaan, pinjaman mikrokredit RM10.3 juta untuk membasmi miskin tegar, perbelanjaan RM45 juta dari aspek pendidikan, penyediaan 9,930 ekar tanah untuk sekolah agama rakyat, SJKC dan sekolah mubaligh dan banyak lagi.

Terkini, Zambry mengumumkan bahawa sektor hartanah di Perak telah melonjak kepada 40 peratus.

"Selain Ipoh, kawasan lain yang menunjukkan perkembangan sektor hartanah yang baik ialah Tanjung Malim, Seri Iskandar dan Parit Buntar," katanya ketika berucap di Perhimpunan Aman Jaya, tidak sampai 48 jam sebelum berlangsungnya pilihan raya.

Jadi, tidak hairanlah rata-rata rakyat tidak lokek untuk memberikan Gred A, atau paling kurang pun Gred B atau C kepada menteri besar mereka yang akan mempertahankan kerusinya di Pangkor ini.

Namun Zambry yang juga pengerusi BN negeri tidak mudah mendabik dada.

Ke mana sahaja pergi, beliau sering mengaku di depan rakyatnya bahawa tidak ada kerajaan yang sempurna di dalam dunia, begitu juga kerajaan BN di Perak.

Akan tetapi, di sebalik kelemahan dan ketidaksempurnaan itu kerajaan BN akan berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat.

"Kita tahu kita mungkin ada kelemahan dan kita akan memperbaikinya dan buat yang lebih baik untuk rakyat.

"Sebab itu kita perlukan sokongan rakyat untuk kita meneruskan usaha-usaha yang telah kita rancang untuk masa depan rakyat,"katanya ketika ditemui di satu majlis baru-baru ini.

Barangkali atas faktor ini juga semakin ramai yang menerima corak kepimpinan Zambry.

Zambry, dilihat lebih tenang atau 'cool' berkempen walau hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi pintu-pintu pusat pengundian di seluruh negara akan dibuka.

Kalau tidak kerana prestasi dan 82 Aku Janji untuk rakyat Perak, mustahil Zambry yang amat murah dengan senyumannya itu, dilihat lebih manis melemparkan senyuman pada saat-saat kritikal ini.

3N Berdebar

Di saat Zambry, kepimpinan BN dan seluruh rakyat di Perak menghitung detik keputusan diumumkan pada malam Ahad, '3N' yang sangat sinonim dengan negeri Perak pasti mempunyai rasa dan cerita berbeza.

Dalam keadaan kebanyakan rakyat nekad untuk menolak oposisi dan keyakinan memuncak BN untuk menang, Nga Kor Ming, Ngeh Koo Ham dan Mohd Nizar sedang terhimpit di tengah-tengah dan tidak mungkin terlepas daripada debaran.

Nga merupakan setiausaha DAP negeri, Ngeh pula Pengerusi DAP negeri dan Nizar sebagai Pengerusi PR Perak dan timbalan pesuruhjaya PAS negeri.

Setelah berhempas pulas ke sana-sini berkempen, tidak keterlaluan dikatakan jantung ketiga-tiga mereka pada saat ini tak ubah seperti jantung pesakit di bilik pembedahan yang bakal menentukan kelangsungan hayat mereka dan nasib perjuangan politik pembangkang di Perak.

Melihat secara tersurat dan tersirat, sebenarnya kehadiran Nga, Ngeh dan Nizar boleh dipandang dari pelbagai sisi dan persepsi.

Atas faktor ini jugalah menyebabkan agak sukar untuk sesiapa sahaja membuat ramalan tentang untung-nasib mereka.

Ada ketikanya, kehadiran mereka lebih dilihat sekadar 'memeriahkan' suasana politik demokrasi yang sediakala harmoni di negeri ini.

Pun begitu, tidak kurang juga yang memandang mereka sebagai individu yang hanya singgah di lapangan politik negeri untuk membuat kacau dan mengganggu gugat keamanan dan kestabilan politiknya.

3N dikatakan 'memeriahkan suasana' apabila suara lantang mereka ini sedap didengar dan janji manis mereka membuat rakyat tidak tidur lena.

Tetapi, harus diingat suara-suara mereka ini jugalah yang kadang-kadangmembuat beberapa pemimpin BN tersentak.

Ini kerana, secara dasar, manifesto yang ditawarkan PR kepada rakyat Perak juga tidak kurang hebatnya walau manifesto atau Aku Janji BN Perak kepada rakyatnya disifatkan cukup baik.

Antara yang ditawarkan termasuklah komitmen membasmi keluarga miskin tegar dengan bantuan bulanan supaya pendapatan isi rumah mencapai sekurang-kurangnya RM760 sebulan, pemberian air percuma 20 meter padu bagi keluarga berpendapatan kurang RM1,000 sebulan dan wifi percuma di bandar dan pusat pengajian tinggi.

Manifesto ini bagaimanapun belum pasti mampu dilaksana jika mereka diberi mandat sekali pun, malah ada yang langsung tidak percaya dengannya.

Tapi sekurang-kurangnya ia mampu 'membuka mata' pimpinan BN yang mungkin masih lagi 'tidur' dan berasa selesa dengan kerusi empuk yang disandang mereka menjelang pilihan raya.

Namun, tidak menghairankan juga bila penyokong BN atau yang di atas pagar sana termakan dengan hujah-hujah mereka.

Isu rasuah, penyelewengan, kroni, perkauman yang entah benar atau tidak itulah yang sering diulang-ulang mereka sehingga rakyat akhirnya terpengaruh.

Pendek kata, sama ada hujah mereka itu fitnah, menghasut atau sebaliknya, yang pasti akan muncul juga undi simpati yang ditanda untuk mereka pada 5 Mei ini.

Melihat cara ketiga-tiga orang kuat pembangkang ini berkempen di seluruh bandar, pekan dan kampung, mereka sering mengimbas kembali pengalaman 11 bulan memerintah Perak.

Nizar yang pernah berada di kerusi menteri besar Perak sering merayu kepada rakyat Perak supaya memberikan peluang sekali lagi untuk PR memerintah.

"Berilah kami Pakatan Rakyat mandat pada kali ini. Kami akan melakukan yang terbaik berdasarkan pengalaman 11 bulan dulu," kata Nizar di majlis-majlis yang dihadirinya.

Pada satu tahap harus diakui Nga, Ngeh dan Nizar, amat berkerja keras untuk merampas kembali Perak daripada BN, sehingga ada yang kagum dan 'naik takut' melihat usaha-usaha mereka dalam menambat hati rakyat.

Dari segi penyokong juga kita tidak dapat menafikan kewujudan penyokong mereka yang agak ramai.

Seorang penduduk di Perak pernah berkata: BN perlu berjaga-jaga pada kali ini kerana ramai 'pengundi dendam' yang wujud dan mereka mampu mempengaruhi pengundi lain untuk mengundi Pakatan Rakyat. Mereka ini tidak puas hati apabila kerajaan Pakatan Rakyat tumbang dan akan membalas dendam melalui pengundian.

Kenyataan ini memang ada kebenarannya.

Dari segi rekod pentadbiran, biarkanlah sahaja jika pembangkang seringmendakwa rekod mereka bersih dan terbaik dalam tempoh pemerintahan mereka yang hanya tidak sampai satu tahun itu.

Dakwaan itu mungkin ada benarnya, tetapi harus diingat juga kontroversi dan konflik dalaman yang melanda PR, atau lebih khusus melanda 3N.

Ini juga akan membuatkan 3N berdebar kerana faktor ini turut bakal mempengaruhi jumlah undi.

Nga dan Ngeh yang bersaudara baru-baru ini dipalit kontroversi apabila penyokong-penyokong PR terutama DAP yang tidak puas hati dengan kerakusan mereka bertanding di dua kerusi.

Selain mempertahankan kerusi di Parlimen Taiping, Nga juga akan bertanding di DUN Kepayang manakala Ngeh mempertahankan kerusi Parlimen Beruas dan bertanding di DUN Sitiawan.

Tidak cukup dengan itu, rakyat tidak mungkin akan melupakan gelaran 'hitam metalik' yang diberikan Nga kepada menteri besar mereka pada 2011 walau beliau sudah meminta maaf.

Ngeh pula pernah membangkitkan kemarahan umat Islam di Malaysia kerana menghina Nabi Muhammad dan agama Islam.

Nizar, selain dituduh memberikan tanah sewenang-wenangnya semasa zaman pentadbirannya, juga dikatakan jarang-jarang sekali turun ke tempatnya di DUN Pasir Panjang kerana terlalu berpolitik.

Terkini, dalam tempoh berkempen, Nizar dan Nga menerima tamparan hebat apabila terdapat penduduk yang terang-terangan menunjukkan mereka tidak menyokong kepimpinan pembangkang.

Ini bererti, debaran 3N ini datang setelah mereka penant memerah keringat untuk menang serta kontoversi yang mana kedua-duanya boleh mempengaruhi jumlah undi.

Realiti

Realitinya, BN dilihat sudah berada di landasan yang betul dan hanya menunggu mandat rakyat sekali lagi untuk meneruskan khidmatnya.

Sementara pembangkang, masih lagi dilihat teragak-agak dan kurang pasti apabila berbicara tentang peluang di Perak.

Ketidakpastian ini menyebabkan mereka akan berterusan berkempen dengan apa cara sekali pun sehingga pukul 11.49 malam Sabtu.

Apa jua senarionya, kehadiran pembangkang dan 3N tidak harus dipandang remeh kerana mereka telah membuktikan bahawa kemenangan bukanlah mustahil untuk mereka.

BN nampaknya tidak boleh terlalu angkuh atau yakin sebaliknya perlukonsisten supaya tidak tergelincir dari landasannya sehingga bolehmenumbangkan kedudukannya sekarang.

Bagi pembangkang pula, degupan jantung yang kencang itu tentu tidak akan kembali normal sehinggalah keputusan yang semestinya adil diketahui.

Kesimpulannya, jika BN Perak yakin menang, pembangkang tidak pasti menang, seluruh rakyat Malaysia sememangnya mempunyai debaran yang hampir sama dengan 3N sementara menanti keputusan diumumkan.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan