suria

Pertikaian Pembangunan Kawasan Tidak Gugat Pengundi PAS di Maharani

Dr Mohamad Taslim
Dr Mohamad Taslim
Dr Mohamad Taslim

MUAR: Calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Dr Mohamad Taslim menyifatkan langkah pertikaikan projek pembangunan yang dilakukan sepanjang sepenggal menjadi wakil rakyat di kawasan itu sebagai serangan psikologi yang hendak menggugat kepercayaan rakyat terhadapnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kali ini.

Jelas beliau, perkara itu telah dijelaskan berulang kali bahawa soal pembangunan dan pengagihan dibawah bidang kuasa pihak yang memerintah kawasan tersebut.

“Ramai rakyat mempersoalkan perkara itu kerana mereka kurang faham. Jadi saya bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan perkara sebenar supaya tidak lagi berlaku salah faham.

“Pembangunan dan pengagihan peruntukkan adalah bidang kuasa pihak yang memerintah, jika Pakatan Rakyat (PR) diberikan mandat untuk memerintah, kita akan lakukan pembangunan sebaik mungkin,”katanya ketika ditemui mStar Online.

Pada Pilihan Raya 2008, Dr Mohamad menang dengan majoriti tipis 158 undi sahaja memperolehi 8,154 undi menewaskan penyandang kerusi itu yang juga Ketua Umno Bahagian Muar, Datuk Mohd Ismail Mohd Shah yang mendapat 7,996 undi.

Beliau yang akan bertanding buat kali keempat di kerusi yang sama berkata, meskipun tidak berpeluang menguruskan peruntukkan tersebut daripada kerajaan, tetapi tidak bermakna tugas membantu rakyat tidak dapat dilakukan.

“Kita tetap lakukan tugas mengikut kemampuan menggunakan dana hasil sumbangan orang ramai dan bersyukur ia dapat membantu rakyat.

“Memang ada kesannya bila pembangkang menang di Dun ini, jika dibandingkan lima tahun dulu kerja saya menjadi lebih mudah kerana banyak perkara asas diuruskan pegawai khas menteri besar yang dilantik dan rakyat mendapat manfaatnya,”katanya.

Dr Mohamad berkeyakinan pendekatan ‘sentuhan’ yang diamalkan pemimpin PR berjaya menambat hati pengundi.

“Saya menggunakan kemahiran sebagai doktor perubatan untuk memberikan perubatan percuma kepada rakyat yang kurang berkemampuan termasuk warga emas dan anak yatim.

“Kita juga mempunyai tabung khairat kematian yang dilancarkan tiga tahun lalu untuk memberikan sumbangan sebanyak RM 1,000 kepada keluarga ahli yang meninggal dunia bagi meringankan beban mereka,”katanya.

Selain itu beliau berkata, pada Hari Buruh setiap 1 Mei, PR akan berkunjung ke jabatan kerajaan untuk menemui kakitangan yang bertugas pada hari tersebut dan memberikan buah tangan sebagai tanda sokongan moral kepada mereka.

Katanya, walaupun ‘sentuhan’ itu kecil tetapi memberikan kesan yang mendalam kepada pengundi untuk terus kekal menyokong PR.

Dalam pada itu, beliau mengakui sokongan rakyat kepada PR semakin baik berbanding PRU-12.

Sebanyak 80 peratus kaum Cina menzahirkan sokongan kepada parti itu, manakala kepercayaan pengundi Melayu turut meningkat.

“Sekarang kita memberikan tumpuan yang lebih kepada pengundi yang berada di kawasan luar bandar dengan mengadakan kunjungan rumah ke rumah setiap hari,” katanya.

Tambah beliau lagi, jika PR mendapat mandat daripada rakyat, beliau merancang untuk menyelesaikan beberapa masalah pembangunan di kawasan berkenaan yang masih tidak lagi selesai.

Artikel Berikut

Artikel Lain