suria

Imej Malaysia di PBB Melonjak

NEW YORK: Tahun 2012 membawa sinar gemilang kepada Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) apabila imejnya melonjak dengan begitu ketara di badan dunia ini.

Ia bermula dengan pelantikan Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hussein Haniff sebagai pengerusi Jawatankuasa Sosial, Kemanusiaan dan Kebudayaan PBB, yang juga dikenali sebagai 'Jawatankuaa Ketiga'.

Pada 8 Jun pula, Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) menerima Anugerah Kependudukan PBB 2012 (Kategori Institusi), di ibu pejabat badan dunia ini di sini.

Sumbangan Cemerlang

Hussein berkata anugerah tahunan berprestij itu diberi kepada individu dan institusi yang memberi sumbangan paling cemerlang terhadap usaha meningkatkan kesedaran berkaitan persoalan atau penyelesaian terhadap isu kependudukan.

"(Dan) penerimanya dipilih oleh Jawatankuasa Bagi Anugerah Kependudukan PBB, yang lantik oleh Majlis Ekonomi dan Sosial (Ecosoc)," katanya.

FRHAM dipilih bagi mengiktiraf pencapaiannya dalam menganjurkan kesihatan reproduktif, meningkatkan kesihatan dan status wanita dan kanak-kanak di Malaysia melalui program perancangan keluarga. "Pada 25 Jun, 'sistem eKasih', yang merupakan produk inovasi Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan, Jabatan Perdana Menteri, menerima hadiah utama Anugerah Perkhidmatan Awam PBB (UNPSA) 2012 bagi kategori Memajukan Ilmu Pengurusan Dalam Kerajaan bagi rantau Asia Tenggara.

Hussein berkata Anugerah Perkhidmatan Awam PBB merupakan pengiktirafan antarabangsa paling berprestij terhadap pencapaian cemerlang dalam perkhidmatan awam. CLCS Pada 6 Jun pula, Malaysia dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Mengenai Had Pelantar Benua PBB (CLCS).

Malaysia, yang diwakili ketua pakar geosains Petronas Dr Mazlan Madon, dipilih menganggotai suruhanjaya itu pada mesyuarat Negara-negara Yang Menandatangani Konvensyen Mengenai Undang-undang Laut PBB (SPLOS), katanya.

Beliau berkata suruhanjaya itu mempunyai 20 anggota yang dipilih kumpulan negara berkenaan untuk berkhidmat bagi penggal lima tahun.

Sebelum ini, Malaysia diwakili dalam suruhanjaya itu oleh bekas ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar, yang berkhidmat selama tiga penggal berturut-turut dari 1996 hingga 2011.

Malaysia melakar satu lagi pencapaian penting apabila dipilih menganggotai Majlis Pentadbiran Operasi Pos, Kesatuan Perkhidmatan Pos Universal (UPU) pada kongres kesatuan itu di Doha, Qatar pada 10 Oktober.

Hussein berkata Majlis Pentadbiran Operasi Pos (POC) bertindak sebagai badan teknikal dan operasi UPU terdiri daripada 40 negara anggota, yang dipilih pada kongres itu. Badan itu diberi kebebasan memilih sendiri pengerusinya dan mengadakan mesyuarat setiap tahun di ibu pejabat UPU di Berne, Switzerland.

Program kerja POC menjurus ke arah membantu memodenkan perkhidmatan pos dan menaik taraf produk serta perkhidmatannya, sambil mengawasi aspek operasi, ekonomi dan komersial perniagaan perkhidmatan pos.

Badan ini juga mengemukakan syor kepada negara anggotanya tentang standard teknologi, operasi atau proses yang menjadi bidang kepakarannya, agar mereka mengguna pakai amalan seragam dalam operasi masing-masing.

Suruhanjaya Pembinaan Keamanan

Hussein berkata Malaysia juga mendapat sokongan daripada Kumpulan Asia Pasifik di PBB untuk menjadi anggota Jawatankuasa Penganjuran Jawatankuasa Pembinaan Keamanan (PBC) bagi penggal 2013-2014, yang pemilihannya dijadual berlangsung bulan ini.

"Sebagai calon tunggal dari rantau Asia dan Asia Pasifik, Malaysia dijangka dipilih secara sebulat suara oleh Perhimpunan Agung PBB pada pemilihan itu," katanya.

Di samping itu, Malaysia juga mendapat sokongan daripada kumpulan itu sebagai satu daripada tujuh negara anggota yang akan mewakili rantau berkenaan dalam Suruhanjaya Bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL), sebuah badan PBB berpejabat di Vienna, bagi penggal 2013-2019.

Negarawan, Anugerah Kemuncak kepada pencapaian Malaysia pada 2012 ialah pemilihan bekas perdana menteri dan negarawan paling ulungnya, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai penerima Anugerah Yayasan Habitat-Rafik Hariri PBB 2012, pada satu majlis di sini pada 28 September.

Anugerah yang diperkenal pada 2011 ini diberi kepada individu, organisasi atau institusi dari seluruh dunia yang melakar pencapaian cemerlang dalam bidang kepimpinan, kenegarawan dan tadbir urus serta pembinaan dan pembinaan semula penempatan dan komuniti, pembangunan sumber manusia dan kegiatan kebajikan dalam memerangi kemiskinan bandar.

Dr Mahathir adalah penerima kedua anugerah itu, selepas Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan pada 2011.

Nazek Hariri, balu Allahyarham Rafik Hariri, bekas perdana menteri Lubnan, dalam ucapannya berkata Dr Mahathir boleh dijadikan model peranan serta inspirasi oleh semua pihak, manakala ketekunan dan wawasan beliau menjadi bukti betapa impian boleh diterjemah menjadi kenyataan dan sesebuah negara boleh menikmati masa depan yang gemilang melalui keyakinan diri dan ketekunan usaha.

Pergerakan Kesederhanaan Global

Sementara itu, kewujudan kerjasama erat antara Malaysia dan PBB pada 2012 terbukti dengan kunjungan setiausaha agung badan dunia itu, Ban Ki-moon, ke Malaysia pada Mac.

Dalam kunjungannya, Ban memberi pengiktirafan terhadap Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang dianjurkan penubuhannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung PBB pada September 2010.

Ban menyeru dunia supaya memberi sokangan kepada idea yang dicetuskan Najib itu kerana beliau melihat terdapat potensi besar dalam kerjasama rapat antara GMM dan Perikatan Tamadun Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNAOC).

Hussein berkata anugerah yang diterima Malaysia daripada PBB merupakan pencapaian yang sungguh bermakna kerana ia mencerminkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadapnya kerana melaksanakan pelbagai langkah yang memberi manfaat besar serta boleh dijadikan sebuah negara contoh.

Ia juga merupakan pengktirafan bahawa segala langkah yang dilaksanakan Malaysia sekarang dalam membangunkan ekonominya adalah pendekatan betul serta merupakan model kejayaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain