suria

Mengubah Imej Pemandu Teksi Di Mata Pelancong

KUALA LUMPUR: Pernahkah anda berpengalaman menaiki teksi yang tidak selesa ditambah dengan bau yang kurang menyenangkan?

Atau mengalami situasi apabila pemandu teksi enggan mengguna meter hingga terpaksa membayar lebih daripada yang sepatutnya?.

Semua itu antara aduan yang sering diajukan tentang pemandu teksi di Malaysia. Bukan sahaja penumpang tempatan, pelancong juga antara yang kerap berhadapan masalah yang sama hingga memberi gambaran yang negatif tentang pemandu teksi dan sektor pelancongan di negara ini.

Pelbagai aduan yang diterima terutama daripada pelancong Jepun, Timur Tengah dan Afrika menyebabkan LondonCabs.co.uk meletakkan pemandu teksi Malaysia sebagai pemandu teksi paling teruk di dunia.

Manakala Ratestago.com meletakkan pemandu teksi Kuala Lumpur sebagai ketiga terburuk selepas Phnom Penh dan Jakarta.

Hakikatnya adakah pemandu teksi Malaysia seteruk yang dibayangkan? atau ia hanya sekadar persepsi semata-mata?.

BARISAN HADAPAN INDUSTRI PELANCONGAN

Menjadi barisan hadapan utama industri pelancongan, tugas sebagai pemandu teksi bukan sekadar membawa penumpang ke lokasi yang ingin dituju, mereka adalah duta dan pusat informasi terutama dalam kalangan pelancong yang pertama kali menjejakkan kaki di sini.

Membawa imej dan nama baik negara, memerlukan seorang pemandu teksi itu bersikap profesional, baik dari segi penampilan diri, keperibadian dan perlakuan ketika menjalankan tugasnya, menurut Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Pembangunan Industri, Kementerian Pelancongan, Noriman Rojulai.

Namun aduan-aduan negatif yang bukan sedikit membabitkan pemandu teksi membuatkan imej mereka tercalar. Sering dikaitkan dengan sikap kurang ajar, tidak menjaga kebersihan dengan bau kenderaan yang busuk, tidak menjaga penampilan dan yang paling kerap berlaku mengenakan tambang tidak masuk akal serta tidak menggunakan meter.

Ini telah memberi tanggapan pertama yang kurang elok mengenai pemandu teksi di Malaysia. Itu belum lagi pembabitan pemandu teksi dalam jenayah seperti merompak atau melakukan gangguan dan serangan seksual terhadap penumpang, walaupun ia dikatakan kes terpencil, katanya.

Menjadi negara kesembilan di dunia paling digemari pelancong untuk melancong selepas Perancis, Amerika, Sepanyol, China, Itali, United Kingdom , Turki dan Jerman merupakan satu kebanggaan buat Malaysia.

Pada tahun lepas sahaja, industri pelancongan memberi pendapatan sebanyak 58.3 billion dengan kedatangan pelancong seramai 24.7 juta orang atau kira-kira 2,827 pelancong setiap 1 jam.

Jumlah itu dijangka meningkat menjelang 2020 dengan sasaran kedatangan pelancong seramai 36 juta orang yang bakal menjana pendapatan sebanyak 168 billion atau 19.2 juta setiap satu jam kepada negara.

ADUAN TENTANG PEMANDU TEKSI

Pelancong yang datang tentunya mengharapkan keselamatan mereka sentiasa terjamin, selain membawa pulang ingatan indah sepanjang berada di negara ini dengan pelbagai pengalaman seperti kebudayaan, membeli-belah, keindahan alam semula jadi serta layanan mesra yang diterima.

Namun jika kenangan pahit yang dibawa tentunya meninggalkan pengalaman buruk yang pastinya akan menghantui mereka untuk kembali lagi ke sini.

Pemandu teksi yang berhubung rapat dengan pelancong memainkan peranan penting dan menjadi rakan kongsi untuk mempromosi produk pelancongan yang terdapat dalam negara.

Noriman berkata Kementerian Pelancongan turut mendapat tempiasnya apabila menerima aduan yang dikemukakan pelancong yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan teksi.

Pada tahun lepas sahaja, katanya, sebanyak 2,467 aduan yang diterima terutama membabitkan tata kelakuan pemandu teksi selain aduan membabitkan tidak menggunakan meter serta mengenakan tambang berlebihan.

"Pelancong yang datang hanya kenal Kementerian Pelancongan. Mereka tidak kenal agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) atau sebagainya. Jadi mereka datang kepada kita membuat aduan.

"Bagi mencari jalan penyelesaian untuk menaikkan imej negara dan dalam masa sama menaiktaraf imej pemandu teksi negara ini, kita adakan Program Duta Teksi Pelancongan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

DUTA TEKSI PELANCONGAN

Tahun 2010, pelancong membelanjakan RM6.2 bilion untuk pengangkutan. Ini termasuk penggunaan pengangkutan awam seperti teksi.

Di Malaysia terdapat 79,571 pemandu teksi berdaftar di seluruh negara dengan 33,000 daripadanya adalah pemandu teksi di Lembah Klang yang dikendalikan 142 pengusaha teksi.

Noriman berkata melalui projek perintis duta teksi pelancongan yang dilancarkan 15 Mac lepas telah menunjukkan kesan yang positif melibatkan 4,000 pemandu teksi terpilih di Lembah Klang.

Ia merangkumi 3,000 pemandu teksi bajet, 500 pemandu teksi eksekutif dan 500 pemandu teksi limousin.

"Kesannya walaupun masih terlalu awal, tetapi telah menunjukkan tanda yang positif apabila pemandu teksi yang terlibat dalam program ini lebih berpengetahuan dalam industri pelancongan.

"Bukan itu sahaja, mereka juga menjadi lebih bermotivasi menjalankan tugas serta peka dengan kehendak serta keperluan pelancong," katanya.

Dengan cara ini juga, mereka boleh dijadikan role model kepada pemandu teksi lain apabila mereka menunjukkan tahap profesional yang tinggi ketika menjalankan tugas terutama dari segi penampilan yang mesra serta sikap yang lebih bersopan, berintegriti serta suka menolong.

Pemandu teksi yang terpilih, diberikan kursus selama satu hari dengan diberikan modul pembelajaran antaranya tentang latar belakang dan dasar pelancongan Malaysia, produk pelancongan negara, peranan pemandu teksi dalam industri pelancongan selain sesi dialog bersama SPAD.

Tugas mereka, selain membawa pelancong adalah mempromosi keunikan dan keindahan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terpilih dunia.

"Bukanlah tujuan kita melatih pemandu teksi sebagai pemandu pelancong. Kita hanya mahu pemandu teksi tahu dan boleh bercerita serba sedikit tentang lokasi menarik dalam negara serta boleh menjadi tempat rujukan pelancong," katanya.

KEISTIMEWAAN DUTA TEKSI PELANCONGAN

Tidak mempunyai rekod jenayah dan kesalahan trafik antara kriteria pemilihan untuk dilantik sebagai duta teksi pelancongan.

Ia juga haruslah warganegara Malaysia yang berumur antara 21 dan 65 tahun serta tidak merokok semasa memandu dan tidak terlibat dengan pengambilan dadah.

"Mereka harus mempunyai lesen memandu Malaysia yang sah dan sihat daripada penyakit berjangkit, mempunyai kebolehan bertutur dalam Bahasa Melayu dan Inggeris serta tidak muflis," katanya.

Selain itu kenderaan mereka tidak boleh melebihi 10 tahun dan berkeadaan bersih, kemas, selesa dan tidak berbau.

Pemilihan mereka biasanya dicalonkan oleh persatuan teksi yang disertai sebelum dinilai oleh jawatankuasa penilai Duta Teksi Pelancongan yang kemudian menghantar nama itu ke JPJ, SPAD dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk saringan.

"Selepas menghadiri kursus, mereka akan menandatangani satu surat akuan setuju terima menjadi duta teksi pelancongan dan layak mendapat kad duta.

"Mereka juga akan diberi elaun hilang mata pencarian sebanyak RM100 bagi menghadiri kursus sehari yang disertai mereka," katanya dan duta teksi akan dinilai untuk tempoh enam bulan sebelum disambung.

Sepanjang tempoh enam bulan itu, mereka akan diberi elaun insentif sebagai duta sebanyak RM100 dan akan dipantau oleh "Mystery Shopper" yang terdiri daripada orang kementerian sendiri bagi menilai perkhidmatan dan tata etika mereka yang dilantik.

Mereka turut dinilai melalui maklum balas pelancong yang menaiki teksi berdasarkan perkhidmatan yag diberikan selain pemeriksaan ke atas kenderaan semasa kutipan elaun insentif bulanan bagi memastikan teksi dalam keadaan baik, bersih dan selesa.

BANGGA TERPILIH

Seorang pemandu teksi dari Syarikat LCCT Taxi Services yang dikenali sebagai Kumar berkata beliau bangga kerana dipilih menjadi duta teksi pelancongan sejak lima bulan lepas.

Menjadi seorang pemandu teksi yang lebih bertanggungjawab, ia mengubah persepsinya terhadap kerjaya yang telah disertai sejak lebih 11 tahun.

"Sebelum ini bukan tidak bertanggungjawab, cuma mungkin kurang. Tetapi sejak menjadi duta teksi pelancongan ini, rasa tanggungjawab itu lebih, dan berusaha untuk memberi yang terbaik terutama meningkatkan pengetahuan serta menyelenggara kereta agar dapat memberi keselesaan terutama kepada pelancong," katanya.

Beliau berkata menjadi tanggungjawab sebagai duta untuk menaikkan imej negara dengan memberi layanan serta informasi yang diperlukan oleh pelancong ketika datang ke sini.

Menurut Kumar, kebanyakan pelancong yang dibawa suka berbual dan bertanya sendiri maklumat tentang Malaysia terutama lokasi menarik yang boleh dikunjungi.

"Kursus sehari yang diberi oleh Kementerian Pelancongan memang membantu, namun sebagai duta, kita perlu sentiasa menambah pengetahuan kita agar dapat menjawab soalan dan apa yang diperlukan pelancong.

"Kadang-kadang saya nasihatkan pelancong agar menjaga keselamatan terutama berjalan di tengah malam, kerana di mana-mana negara di dunia ini ada orang baik dan ada orang jahat, jadi perlu lebih berhati-hati," katanya.

Beliau berkata antara maklum balas yang diterima pelancong, kebanyakan mereka menyuarakan rasa tidak puas hati dengan ketidakselesaan teksi yang dinaiki.

"Mungkin kenderaan yang kita gunakan tidak sesuai, kerana kebanyakan pelancong bersaiz badan yang agak besar. Selain itu, mereka sangat pentingkan aspek keselamatan seperti sistem break dan airbag.

"Kenderaan yang selesa juga boleh memberi imej yang baik di mata pelancong dan pemandu teksi sendiri akan merasa lebih bersemangat dan menjaga penampilan dan imej masing-masing," katanya yang berharap isu ini akan mendapat perhatian kerajaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain