suria

Kanak-Kanak Gelandangan Hadapi Risiko Terlibat Jenayah

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa diminta mengambil pendekatan proaktif dalam menangani masalah kanak-kanak gelandangan yang berkeliaran dan bermain di lorong-lorong gelap sekitar Lorong Haji Taib dan Jalan Chow Kit di bandar raya, kata seorang aktivis masyarakat hari ini.

Pensyarah, Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din berkata ini kerana kanak-kanak tersebut menghadapi risiko menjadi seorang yang agresif dan terjebak dengan pelbagai kegiatan jenayah dan tidak bermoral pada masa depan ekoran keadaan persekitaran mereka.

Bekas Pengarah Institut Sosial Malaysia itu berkata kawasan 'gelap' tempat tinggal mereka itu perlu dibersihkan bagi memberi persekitaran yang kondusif untuk mereka membesar.

"Kita kena faham itu adalah ruang dan kawasan kehidupan mereka, kalau kita ambil keluarga ini dan beri tempat tinggal baru serta pekerjaan baru di kawasan lain, mungkin tidak berhasil.

"Jadi kita perlu 'putihkan' kawasan itu dengan sediakan tempat seperti kawasan permainan, rekreasi, penjagaan kesihatan dan tempat pembelajaran yang sempurna dalam erti kata lain kawasan kejiranan yang sempurna," katanya kepada Bernama.

Mohd Fadzil berkata disamping kemudahan, kegiatan jenayah di kawasan itu perlu dihapuskan bagi memberi persekitaran yang selamat kepada anak jalanan ini membesar dengan sempurna.

"Bila anak ini tengok kiri tengok kanan agresif dia akan jadi agresif sama. Jenayah akan mempengaruhi anak itu untuk turut terjebak, tambah teruk jika ibu bapa mereka terlibat dengan menjadi pelacur, pengedar atau penagih dadah di kawasan itu. "Ibu bapa yang terlibat dalam kegiatan jenayah ini perlu kita bantu, ada antara mereka yang melakukan jenayah kerana terpaksa. Bila kita tolong ibu bapa mereka, kita akan tolong anak jalanan ini juga," katanya.

"Masyarakat perlu hentikan sikap tuding menuding jari menuduh siapa penyebab masalah ini dan siapa yang harus bertindak mengatasi masalah yang menular di kawasan Lorong Haji Taib dan Jalan Chow Kit.

"Masyarakat perlu faham anak ini perlukan bantuan jadi masyarakat perlu 'turun padang' membantu bukan hanya biarkan tanggungjawab ini kepada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan agensi kerajaan sahaja," kata Mohd Fadzil. Beliau berkata ini perlu sungguhpun ada undang-undang digubal bagi mengatasi masalah ibu bapa yang membiarkan anak mereka menjadi anak gelandangan di mana mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, mana-mana ibu bapa membiarkan anak tanpa pengawasan jika disabitkan kesalahan membawa hukuman denda RM5,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Nur Hikmah Malaysia, Othman Ahmad berkata konsep kekeluargaan perlu diterapkan dalam membawa anak jalanan yang tidak mempunyai ibu bapa keluar daripada kawasan 'gelap' tersebut.

"Konsep bawa dan tempatkan mereka di asrama tidak akan membantu kerana apa yang paling penting bagi mereka sekarang ialah kasih sayang, mereka kurang kasih sayang. Konsep pengetua dan anak murid tidak begitu berhasil.

"Kita perlu beri lebih daripada itu, kita tempatkan mereka di rumah yang selesa dan beri kasih sayang kepada mereka. Konsep sebuah keluarga yang besar merupakan konsep terbaik bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Beliau berkata masyarakat tidak seharusnya menjatuhkan hukum kepada anak jalanan ini kerana mereka hanya mangsa keadaan dan persekitaran yang membinasakan mereka. "Bila kita dekati anak jalanan ini kita tidak boleh 'ketat' sangat. Kena banyak bertolak ansur dan bersabar dan guna pendekatan psikologi jika tidak mereka akan lari. Paling penting kita kena buat mereka tahu kita sayang mereka," katanya.

Yayasan yang ditubuhkan pada 2005 itu mempunyai dua rumah perlindungan di Kajang dekat sini yang menempatkan kira-kira 60 orang pada satu-satu masa. Bagi mereka yang berminat untuk membantu sila hubungi 03-87396994. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain