Tumbuk Kalang Permainan Rakyat Negeri Sembilan

Diterbitkan: Selasa, 15 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAMPIN: Irama muzik asli seperti gamelan dan cak lempong memang tidak asing dan sering diperdengarkan pada majlis keramaian, namun bagaimana pula dengan irama "tumbuk kalang". Pernah mendengar iramanya?

Mungkin ramai tidak dapat membayangkan bunyinya bagaimana, namun bagi mereka yang berpeluang dan pernah mendengarnya ia boleh dianggap sesuatu yang menghibur dan menyeronokkan.

Dikategorikan sebagai permainan rakyat di Negeri Sembilan, "tumbuk kalang", menghasilkan irama bunyi yang menghiburkan hanya daripada tumbukan "manja" beberapa batang antan ke sebuah lesung kayu.

Terkenal khususnya di Tampin, Inas, Seri Menanti, Gunung Pasir dan Rembau, "tumbuk kalang" dimainkan oleh masyarakat pesawah pada zaman dahulu ketika mengemping padi terutama pada waktu malam bulan mengambang dan lagunya dinyanyikan oleh anak muda. Ketua kumpulan tumbuk kalang "Sinaran Kalang' Kampung Gedok, Gemencheh dekat sini, Bahari Silong, 66, berkata, setelah penat menuai dan membanting padi pada siang hari, pada malamnya masyarakat kampung berkumpul untuk mengemping padi dan sambil-sambil itu menikmati irama tumbuk kalang.

Bunyi Berbeza

Menurut Bahari, lesung dan antan untuk permainan "tumbuk kalang" ini diperbuat daripada kayu merbau atau halban kerana kayunya keras serta bunyinya lantang.

Setiap tumbukan di bahagian lesung akan menghasilkan bunyi yang berlainan.

Tumbukan di hujung kiri lesung dinamakan mencincang, bunyinya tetap dan satu-satu, manakala tumbukan di hujung kanan yang tidak tetap dipanggil menganak atau meningkah.

Di sebelah tepi kiri atau kanan badan lesung pula dipanggil mengibu di mana tumbukan mengibu adalah tumbukan yang penting kerana tumbukan itu tumbukan penentuan bagi lagu-lagu yang dimainkan.

Manakala yang terakhir ialah tumbukan di lubang lesung atau tepi lubang lesung yang dipanggil 'keriket' untuk mengindahkan irama lagu.

Kumpulan Generasi Kelima "Bunyi tumbuk kalang ini kuat, kalau dibunyikan di sini, satu batu boleh dengar.

"Jadi, bila orang dengar bunyi tumbuk kalang ini mereka akan datang beramai-ramai dan di samping itu mereka boleh membantu mengemping dan makan emping.

"Biasanya mereka akan berpantun dan lagu-lagu yang biasa dinyanyikan ialah lagu tumbuk emping, kuda berontak, patah lambung, tebing gurut, petang-petang, kanding putu , tupai menegur, siamang tergegau, gogar bacang, timang kak janda, kang kang kap dan kambing berlaga," jelas Bahari.

Sebelum alunan tumbuk kalang ini dimainkan, terlebih dahulu anak muda di kampung akan mempersembahkan kehebatan berpantun masing-masing.

Bahari berkata kumpulan tumbuk kalang Kampung Gedok telah lama wujud iaitu sejak 1958 lagi dan anggota kumpulan sekarang ini adalah generasi kelima yang meneruskan warisan permainan rakyat itu.

"Saya ikut arwah ayah main tumbuk kalang sejak berumur 12 tahun dan saya adalah generasi kedua tumbuk kalang. Oleh kerana minat yang mendalam saya telah menubuhkan kumpulan tumbuk kalang di Kampung Gedok ini pada tahun 1974," kata Bahari.

Undangan Serata Tempat

"Kumpulan Sinaran Kalang terdiri daripada 18 remaja berumur antara 11 dan 16 tahun. Kami mengadakan persembahan pada majlis keramaian dan perkahwinan, dan sambutan amat menggalakkan.

"Kami turut mendapat undangan menyertai persembahan seperti di Citrawarna, Malaysia Fest, Pesta Port Dickson, Pesta Kelantan dan Melaka. "Selain kumpulan Sinaran Kalang, kami juga mempunyai satu lagi kumpulan tumbuk kalang untuk orang dewasa di Gemencheh yang bernaung di bawah Kumpulan Kesenian dan Kebudayaan Dewan Undangan Negeri Gemencheh dengan dianggotai 15 ahli," katanya.

Katanya lagu tumbuk kalang yang sering dimainkan kumpulannya ialah timang kak janda, kambing berlaga, cincang rebung, tupai menegur, rentak kang kang kap, hitam manis dan tiga beranak.

Adalah menjadi harapan beliau agar permainan tumbuk kalang dapat dikembang dan diketengahkan demi memartabatkan khazanah warisan bangsa. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan