suria

Gunung Stong Ibarat 'Syurga' Bagi Pencinta Alam

KUALA KRAI: Panorama aman dan indah Taman Negeri Gunung Stong di Dabong, Kelantan menawarkan terapi minda bagi warga kota yang sudah lumrah dengan kehidupan penuh tekanan dan hiruk pikuk kota besar.

Taman ini terdiri daripada mukabumi yang berceranggah termasuk Gunung Stong setinggi 1,433 meter yang dianggarkan berusia tujuh juta tahun.

Penulis baru-baru ini berpeluang melawat tempat ini bersama 40 anggota Kelab Peminat Fotografi Keretapi Tanah Melayu (KTMB) dalam ekspedisi tiga hari yang julung kali diadakan bertujuan mempromosi eko-pelancongan melalui perkhidmatan kereta api.

Ekspedisi ini bermula dengan perjalanan 10 jam menggunakan Tren Senandung Wau dari Kuala Lumpur menghala ke Tumpat.

Aturcara ini bertujuan mengeratkan hubungan antara anggota kelab sambil berkongsi kemahiran mengambil gambar menerusi aktiviti riadah di samping menghayati keindahan alam semulajadi yang tinggi nilainya di negara ini, kata timbalan presiden kelab Mohd Jasni Mat Nayan.

BAGAIKAN SYURGA DUNIA

Selepas turun di Stesen Keretapi Dabong, kami dibawa ke Taman Negeri Gunung Stong dengan van yang mengambil masa perjalanan 15 minit.

Dari jauh pemandangan indah Gunung Stong muncul perlahan-lahan dengan puncaknya diliputi kabus dan pemandangan hebat air terjun Jelawang, air terjun tertinggi di Malaysia.

Kesempatan ini digunakan penulis untuk merakam beberapa keping gambar sebagai koleksi peribadi serta bukti penulis telah menjejakkan kaki di Gunung Stong.

Menurut pemandu van Yuzaney Yusoff, 41, Gunung Stong meningkat popular sejak diwartakan sebagai Taman Negeri pada tahun 2004 dan telah menarik perhatian pelancong dari Singapura, Jerman, Korea, Switzerland serta Amerika Syarikat.

"Pelancong asing selalunya ramai ke sini pada bulan Jun dan rata-rata mereka datang selepas singgah di Pulau Perhentian.

"Pelancong tempatan pun suka tempat ini, selalunya resort akan penuh ditempah setiap kali tibanya cuti umum seperti Tahun Baru, Tahun Baru Cina, serta musim cuti sekolah," katanya kepada penulis.

"Apa yang menarik di sini selain keindahan flora dan fauna, pelancong akan terpukau dengan keindahan air terjun Jelawang setinggi 303 meter daripada paras laut," katanya.

Yuzaney berkata Taman Negara Gunung Stong juga adalah habitat semulajadi bagi beberapa haiwan liar termasuk gajah, seladang, tapir, harimau serta burung merak.

TERSIMPAN SERIBU SATU MISTERI

Seorang warga tua yang tinggal di kampung berhampiran Stesen Dabong, Ahmad Said, 66, menjelaskan bahawa air terjun Jelawang pada satu ketika dahulu menjadi sumber air masyarakat setempat serta menyimpan seribu satu kisah tentang Puteri Saadong yang menjadi lagenda negeri "Cik Siti Wan Kembang".

"Di kawasan air terjun itu ada batu berbentuk congkak milik Puteri Saadong, ini bukan lagenda tetapi kisah benar selain beberapa penemuan sejarah seperti pinggan mangkuk," katanya.

Sementara itu, pesara tentera, Arman Salleh, 50, yang menetap di Dabong selama 16 tahun berkata Gunung Stong adalah tempat paling istimewa bagi beliau yang sudah biasa meredah hutan sejak berkhidmat dalam tentera.

Beliau gemar mendekatkan diri dengan alam sekitar dan percaya ianya anugerah Tuhan yang tiada tolok tandingnya.

Bagi generasi muda Dabong, Mohd Izzuan Hafiz Mohd Ibrahim Yong, 17, beliau melahirkan rasa bangga kerana nama Dabong terukir dalam peta destinasi pelancongan negara.

"Saya selalu tolong atuk dan nenek berniaga di kedai makan, jadi ramai pelancong singgah untuk menjamu selera di sini terutama pelancong asing yang tidak kekok dengan makanan orang sini," katanya sambil berkongsi pengalaman.

PELUANG EMAS TINGKAT KEMAHIRAN

Bagi penulis dan jurugambar lain, kami menganggap ini satu peluang keemasan kerana dapat merakamkan keindahan alam menggunakan kamera DSLR selain menggunakan kemahiran dan teknik yang dipelajari serta berkongsi bersama rakan-rakan lain.

Siti Sri Nor Intan Fharis Mohd Ani, 25, berkata ini adalah pengalaman baru beliau kerana baru kali pertama menaiki kereta api serta datang ke negeri Cik Siti Wan Kembang yang kaya dengan flora dan fauna.

"Ekspedisi ini agak mencabar kerana sebelum ini saya hanya mengambil gambar pengantin dan jalanan. "Tetapi hari ini saya banyak mempelajari teknik baru antaranya 'slow-shutter'... ianya ternyata berbeza tetapi saya amat berpuas hati kerana dapat merakamkan banyak gambar di sini yang pastinya akan saya simpan sebagai koleksi peribadi dan rujukan," katanya.

Sementara itu, Abdul Munir Mohd Shukri, 25, pula mengambil peluang ini untuk mempelajari serta berkongsi teknik dan idea bersama rakan jurugambar lain bagi memantapkan lagi kemahiran beliau mengambil gambar.

Beliau juga menyimpan hasrat untuk datang semula ke Gunung Stong bukan setakat untuk aktiviti mengambil gambar malah beliau ingin menawan puncak Gunung Stong dan merasai sendiri pengalaman pahit getir untuk sampai ke puncak.

KEHEBATAN PUNCAK GUNUNG STONG

Walaupun ekspedisi ini tidak berkesempatan mendaki Gunung Stong, pemandu van yang hanya mahu dikenali sebagai Odi sedikit sebanyak memberi penjelasan akan laluan dan pengalaman ke puncak itu.

Pengunjung akan dibawa oleh jurupandu berpengalaman mendaki selama dua jam menuju ke Kem Baha dan bermalam di sana sebelum meneruskan pendakian ke puncak gunung selama empat jam lagi.

"Pengunjung bakal diuji oleh laluan sempit, tebing curam serta licin selain terpaksa memanjat batu yang berbahaya," katanya.

Namun, segala kesukaran dan keletihan akan hilang apabila pengunjung tiba di puncak gunung yang menjanjikan pemandangan menarik serta suasana nyaman dan menenangkan dengan suhu antara 15 dan 18 darjah celsius.

Dari puncak, pengunjung akan menikmati pemandangan mengujakan Taman Negeri Gunung Stong serta dapat melihat puncak gunung Ayam yang diselubungi kabus tebal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain