suria

Telatah Aneh Kera Uluwatu

Seekor kera dengan kacamata hitam yang dirampasnya daripada seorang pelancong Eropah.- Foto BERNAMA
Seekor kera dengan kacamata hitam yang dirampasnya daripada seorang pelancong Eropah.- Foto BERNAMA
Seekor kera dengan kacamata hitam yang dirampasnya daripada seorang pelancong Eropah.- Foto BERNAMA

DENPASAR: Bali adalah syurga istirehat bagi mana-mana pelancong bersama persekitaran semulajadi dan cara hidup alim penduduk tempatan menjadi tarikan utama.

Bagaimanapun, satu lawatan baru-baru ini ke kuil Uluwatu (Pura Uluwatu) yang terletak 25km ke selatan Denpasar mendedahkan satu tarikan yang boleh dikatakan agak luar biasa - telatah aneh kera Uluwatu.

Pura Uluwatu adalah sebuah kuil silam yang dibina oleh seorang pendeta Hindu Jawa pada kurun ke-11. Kuil ini, yang terdiri daripada satu siri bangunan batu yang terletak di tepi cenuram tinggi, menawarkan pemandangan indah Lautan Hindi bersama gelora bidai di bawahnya.

Pemandu pelancong kami, I Wayan Sedana, membawa kami ke situ untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam dan tarian kecak yang mengiringinya.

Bayaran masuk sebanyak 6,000 Rupiah (kira-kira RM2.20) dikenakan bagi setiap pelawat dan mereka diperlukan mengikat selempang kuning di pinggang atau memakai sarong berwarna ungu sebelum melangkah ke pintu masuk.

KERA PERAGUT

Kami disambut oleh kehadiran kera, daripada jenis 'long tailed macaque', di laman dan adalah jelas yang kera-kera ini menunggu pelawat untuk menghulurkan makanan kepada mereka.

Oleh kerana kami telah diingatkan terlebih dahulu oleh I Wayan akan telatah aneh kera-kera ini, kamu cuba sedaya yang mungkin untuk menjauhi kera-kera ini tetapi mereka pula tetap mahu mendekati kami.

Dalam beberapa minit sahaja kami sendiri menyaksikan mengapa para pelawat perlu berwaspada semasa berada di sini, mereka meragut apa sahaja daripada pelawat termasuk beg, topi, kamera dan yang lain. Tetapi paling aneh sekali adalah perbuatan yang nampaknya menjadi kegemaran mereka - merampas kaca mata!

Kami melihat bagaimana seorang warga asing merayu dalam keadaan terdesak kepada seekor kera di atas bumbung sebuah daripada bangunan kuil meminta kaca matanya dipulangkan tetapi kera itu langsung tidak mengendahkannya.

Sebaliknya kami tertawa dengan telatah kera yang mencuba kaca mata itu di mukanya!

MELIHAT TANPA KACA MATA

Ramai penjaga ditempatkan di situ untuk menghalang kera mendekati pelawat tetapi haiwan bijak ini mempunyai caranya tersendiri untuk menyerang hendap dan mengenalpasti sasarannya.

Kera-kera ini, boleh ditemui dalam pelbagai saiz dengan banyak daripadanya agak besar, terus mengancam dengan bunyi hiruk-pikuk tercetus daripada kumpulan-kumpulan orang ramai di sana sini apabila mereka merampas barangan milik pelawat.

Seekor daripada kera itu merampas kaca mata hitam seorang pelancong Eropah, seorang lagi warga emas Asia yang duduk bersama kumpulannya kehilangan kaca mata apabila seekor daripada kera datang merampasnya dari belakang dalam apa yang boleh dikatakan sebagai satu gerakan teratur yang pantas.

Dan kemudian berlaku pula satu senario berbahaya, seorang pelancong warga Korea yang sibuk merakamkan matahari terbenam di ufuk menggunakan tripod di tepi cenuram hampir terjatuh ke bawah apabila seekor kera melompat ke atasnya dan meragut kaca mata beliau.

Mereka yang berada di belakang penghadang konkrit meluru ke depan untuk melihat sama ada beliau terjatuh ke bawah, namun beliau bernasib baik dan terselamat tetapi jelas terkejut. Seorang penjaga berjaya mendapatkan kaca mata beliau daripada kera itu yang hanya tinggal bingkai yang terherot. Sehingga matahari terbenam, lebih sedozen pelawat telah kehilangan kacamata mereka.

HAIWAN BIJAK

Daripada pemerhatian saya, setiap kali mereka merampas sesuatu, penjaga akan mengejar mereka dan menawarkan kepada mereka buah, biasanya buah rambutan, untuk ditukar dengan barangan yang diragut itu. Oleh itu, kera-kera ini tahu yang mereka boleh 'mencari makan' dengan meragut barangan milik pelawat dan menukarnya dengan makanan. Nampaknya ini satu modus operandi yang lazim di sini.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan pelawat, khasnya yang tidak berkaca mata, haiwan ini adalah watak menawan yang terdapat di tapak kuil ini.

Mereka menghiburkan para pelawat dengan telatah aneh mereka dan bayangan mereka di sebalik latar belakang matahari terbenam menawarkan peluang penggambaran yang hebat.

Di sebalik telatah kera ini, Uluwatu masih menjadi satu tempat yang mesti dilawati.

Bagi saya dan yang lain, termasuk mereka yang berjaya menyelamatkan kaca mata mereka, panorama matahari terbenam di ufuk Lautan Hindi adalah satu pemandangan yang mengagumkan. - BERNAMA

Artikel Lain