Nasi Dagang Bakal Dijual Di Australia

Diterbitkan: Jumaat, 21 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Makanan tradisional Terengganu, nasi dagang bakal menembusi pasaran di Perth, Australia apabila Yayasan Usahawan Terengganu (YPU) membuka kedai makan T-Kafe di sana, awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Mohamed Awang Tera berkata, selain nasi dagang, pelbagai jenis lagi makanan tradisi Terengganu akan dijual di sana.

"Kita akan menjual otak-otak, paih, keropok dan lain-lain lagi kerana di sana terdapat ramai orang Melayu yang kita percaya makanan ini akan mendapat sambutan," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Mohamed berkata, di Australia, terdapat lebih kurang 40,000 orang Melayu dan ini satu peluang bagi YPU untuk memasarkan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) keluaran Terengganu melalui T-Kafe itu.

Beliau berkata T-Kafe itu juga akan menjual barangan kraf buatan Terengganu seperti tekstil dan kraftangan serta air roselle selain makanan tersebut.

"Kita tiada masalah untuk mendapatkan bahan untuk membuat nasi dagang kerana beras dan ikan tongkol untuk lauk nasi dagang senang didapati di sana," katanya.

Mohamed, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Cukai, Kemaman berkata YPU akan mengadakan kerjasama dengan seorang usahawan Melayu di Perth untuk membuka kedai T-Kafe di negara itu.

Beliau berkata, opada dasarnya, usahawan Melayu itu merupakan seorang peniaga kedai makan yang berjaya di Perth dan beliau bersetuju untuk bekerjasama dengan YPU menubuhkan T-Kafe di sana. "Kami sedang berunding dan akan memulakan perniagaan sebaik sahaja perundingan itu mencapai kata sepakat," katanya.

Mohamed berkata YPU yang mewakili kerajaan negeri di Perth Royal Show 2011 di Claremont Showground Australia pada bulan lalu telah menemui usahawan tersebut dan sekaligus membuka jalan untuk mewujudkan T-Kafe di sana.

Katanya kerajaan negeri memperkenalkan lima jenis produk IKS pada Perth Royal Show 2011 yang berlangsung dari 1 hingga 8 Oktober lalu iaitu keropok lekor sejuk beku, keropok kering, kraftangan, tekstil, air minuman roselle dan ikan sardin.

Dalam program itu, YPU telah berjaya menjual produk IKS bernilai hampir RM60,000 dan ini merupakan satu sambutan yang menggalakkan dari penduduk di Perth terhadap barangan keluaran Terengganu.

Selain makanan, Mohamed berkata YPU juga akan memperkenalkan barangan seperti jaket, beg tangan, tali pinggang dan lain-lain barangan kulit yang bermutu di Perth apabila T-Kafe itu dibuka nanti.

Beliau berkata setakat ini YPU sudah membuka enam buah T-Kafe di Terengganu dan di luar negara ini merupakan yang pertama. -BERNAMA

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan