suria

Pengguna Motosikal Tidak Sedar Dibayangi Maut

KUALA LUMPUR: Dalam tiga tahun kebelakangan ini, kira-kira 12,000 penunggang dan pembonceng motosikal maut dan mereka menjadi penyumbang utama peningkatan angka kematian nahas jalan raya setiap tahun.

Kebanyakan yang maut, bukannya samseng jalanan atau kumpulan yang dikenali sebagai "Mat Rempit" yang sering melakukan aksi-aksi merbahaya, sebaliknya mangsa adalah belia sama ada pelajar sekolah, kolej dan universiti selain orang dewasa yang mempunyai kerjaya.

Analisis data kemalangan maut menunjukkan lebih 65 peratus pengguna motosikal yang maut adalah golongan berumur antara 11 dan 30 tahun.

Angka ini secara tidak langsung boleh memberi kesan terhadap masa depan produktiviti negara.

KURANG KESEDARAN Setiap saat ada sahaja penunggang motosikal berada di jalan raya sama ada berseorangan atau membawa pembonceng.

Oleh kerana motosikal adalah bersaiz kecil berbanding kenderaan lain menyebabkan penunggangnya sering berhadapan risiko yang tinggi untuk menghadapi kemalangan.

Dengan hanya dilindungi topi keledar dan jaket, ia bukanlah perisai terbaik mengelakkan diri daripada sebarang kecederaan atau korban akibat kecelakaan di jalan raya. Namun begitu, senario yang dilihat setiap hari di jalan raya menimbulkan pertanyaan, bolehkah statistik itu berubah?.

Di kota raya seperti Kuala Lumpur, penggunaan motosikal adalah lebih praktikal untuk ke mana-mana terutama ke tempat kerja bagi mengelakkan kesesakan.

Menjadi kebiasaan melihat aksi mereka mencelah antara kenderaan, tidak mengguna lampu signal sama ada untuk ke kiri atau kanan, menunggang dengan laju, mengekori kenderaan dalam jarak dekat malah ada yang langsung tidak mengambil berat aspek keselamatan dengan tidak mengikat tali topi keledar.

Ada juga yang lebih berani dengan tidak memakai topi keledar terutama di kawasan perumahan dan kampung.

Namun begitu, bukan masalah sikap yang menjadi penyebab utama korban dalam kalangan pengguna motosikal, tetapi kurangnya kesedaran akan bahaya yang ada di hadapan mereka.

Menurut Profesor Pengangkutan Awam dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abd Rahim Md Nor, sikap adalah personaliti seseorang atau pembawakan dan perwatakan yang ada pada diri seseorang dan ia tidak boleh dikaitkan dengan punca seseorang itu menunggang dengan cara merbahaya.

"Mereka bukan bersikap ganas, suka bergaduh hingga bawa motosikal secara melulu dan bahaya, sebaliknya di kalangan pengguna motosikal, kebanyakan mereka bersikap lemah lembut, bersopan santun, hormat kepada orang.

"Kalau ikutkan sikapnya itu, mana mungkin dia akan menunggang dalam keadaan merbahaya, namun kerana kurangnya kesedaran dan pengetahuan, jadi mereka melakukan perbuatan yang boleh mengundang bahaya hingga menyebabkan kemalangan atau kehilangan nyawa," katanya.

Beliau berkata sekiranya ada kesedaran dalam setiap diri pengguna motosikal, mereka akan menjadi lebih prihatin terhadap punca kemalangan dan mengelakkan dari melakukan kesilapan agar kemalangan atau kecelakaan tidak menghampiri mereka.

KURANG PENGETAHUAN

Apabila menunggang atau membonceng motosikal, aspek keselamatan yang terbayang dalam pemikiran, hanyalah memakai topi keledar, jaket dan sebagainya. Namun hakikatnya ia lebih dari itu.

Berapa ramai dalam kalangan pengguna motosikal yang mempunyai pengetahuan tentang pengendalian motosikal dan aspek keselamatan ketika menunggang motosikal?.

Bagaimana pula mereka yang langsung tidak mempunyai lesen dan belajar menunggang motosikal melalui rakan dan sebagainya? Dr Abd Rahim berkata kebanyakan penunggang motosikal berpendapat , pengetahuan mereka mengendalikan motosikal sudah mencukupi ketika mengikuti kursus mengambil lesen motosikal.

"Mereka perlu belajar meningkatkan pengetahuan dari aspek keselamatan dan teknik pengendalian motosikal dengan mengikuti latihan yang lebih lanjut," katanya.

Setakat latihan yang diterima sebelum mengambil lesen belum mencukupi untuk menjadikan pengguna jalan raya di Malaysia benar-benar berpengetahuan terutama dalam mengendalikan kenderaan.

"Semua orang boleh menunggang motosikal atau memandu kereta, tetapi berapa ramai yang benar-benar mahir mengendalikannya?. Belum tentu kita lama memandu atau menunggang motosikal memberi petunjuk kita benar-benar mahir," katanya.

Setiap pengguna motosikal perlu latihan lengkap dengan menitik beratkan disiplin diri di jalan raya, keselamatan ketika berlaku kecemasan seperti hilang kawalan dan pengendalian brek kecemasan serta aspek teknikal lain.

Namun begitu, banyak kemalangan melibatkan motosikal bukannya berpunca dari penunggang itu sendiri sebaliknya daripada pengguna jalan raya lain yang kadang kala terlepas pandang akan kehadiran motosikal.

Kajian juga menunjukkan pemandu kereta dan kenderaan berat tidak serius melihat kehadiran motosikal di jalan raya dan menjadi tanggungjawab penunggang untuk menonjolkan diri mereka supaya mudah dilihat dengan memasang lampu hadapan dan memakai pakaian atau jaket yang boleh menarik perhatian.

TAMBAH MASA LATIHAN

Dr Abd Rahim berkata bagi memastikan pengguna jalan raya sama ada pemandu kenderaan mahupun penunggang motosikal benar-benar bersedia untuk menggunakan kenderaan, mereka perlu diberi latihan yang secukupnya sebelum diberikan lesen.

Di Malaysia, untuk mendapat lesen motosikal atau kereta seseorang perlu mengikuti ujian undang-undang berkomputer dan kemudian mengikuti latihan praktikal pemanduan yang wajib sekurang-kurangnya 16 jam.

"Tempoh itu terlalu pendek, kita terlalu mudah untuk memberi lesen kepada pengguna jalan raya sedangkan mereka belum benar-benar bersedia untuk menjadi sebahagian pengguna jalan raya.

"Akibatnya mereka akan menjadi pengacau di jalan raya yang akhirnya menjadi penyebab kepada berlakunya kemalangan kerana mereka masih kurang pengalaman dan pengetahuan," katanya.

Beliau berkata sepatutnya Malaysia perlu mengikuti contoh kursus memandu yang dilaksanakan di negara-negara maju dengan tempoh latihan praktikal di jalan raya sekurang-kurangnya 120 jam serta ditambah dengan 20 jam latihan pemanduan pada waktu malam.

"Jika kita tidak dapat memberi latihan sehingga 120 jam pun, sekurang-kurangnya 40 jam latihan mungkin sedikit membantu mereka menjadi pemandu dan penunggang motosikal yang terlatih," katanya.

Teknik pemanduan pada waktu malam, katanya, sepatutnya diajar dalam kalangan pemandu dan penunggang motosikal kerana ia berbeza dengan memandu pada waktu siang, terutama mengendalikan risiko-risiko yang dihadapi pada waktu malam.

Selain itu, sudah tiba masanya ujian yang dilakukan untuk mereka yang ingin mengambil lesen dijalankan sepenuhnya di luar dan bukannya dalam kawasan ujian.

Ia diamalkan di negara maju, di mana tidak ada satupun ujian memandu yang dijalankan di kawasan kompaun seperti yang dipraktikkan di negara ini.

"Ujian di sini tidak dalam keadaan sebenar, semuanya dilakukan dalam kawasan ujian. Sedangkan di luar negara, pelatih diuji dalam keadaan sebenar di atas jalan raya.

"Di negara maju, tempoh ujian juga agak lama, kira-kira 45 minit di atas jalan raya. Mereka akan mengenalpasti hanya pelatih yang benar-benar layak sahaja akan diberi lulus bagi mendapatkan lesen," katanya, yang kini melakukan kaji selidik berhubung sikap penunggang motosikal yang tidak takut dengan pihak berkuasa.

Amat sukar untuk mengubah statistik yang ada sekiranya kesedaran itu tidak wujud dalam kalangan pengguna jalan raya di Malaysia, katanya.

Beliau turut berharap statistik jumlah kematian yang biasanya dipaparkan ketika 'Ops Sikap' oleh media dipaparkan setiap hari bagi mengingatkan orang ramai berapa ramainya nyawa yang melayang setiap hari di jalan raya. - BERNAMA

Artikel Lain