suria

Bukan Hanya Pegang Senjata, Tentera Juga Boleh 'Menari' 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Mungkin ramai yang tidak menyangka sebenarnya ada anggota tentera bukan hanya gagah memegang senjata malah mampu mempersembahkan pelbagai jenis tarian tradisional.

Itulah bakat yang dimiliki oleh 20 anggota tentera di bawah Badan Kesenian Kementerian Pertahanan (Mindef), yang ditubuhkan Ogos tahun lepas.

Badan itu, yang terdiri daripada 12 wanita dan lapan lelaki sekali gus memberi imej dan dimensi 'serba boleh' terhadap tentera yang menjadi barisan pertahanan negara. Bagaimanakah ide untuk menubuhkan badan kesenian ini tercetus?

Semuanya bercambah dari cetusan pemikiran Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkunjung ke luar negara dan melihat bagaimana Kementerian Pertahanan di negara-negara seperti China, Indonesia dan Korea yang telah mempunyai badan kesenian tersendiri menjalankan aktiviti mereka.

Melihat keunikan itu, beliau merasakan sudah tiba masanya untuk kementerian pertahanan negara turut dilengkapi dengan badan kesenian itu.

Justeru, dengan tertubuhnya kumpulan kebudayaan di dalam badan keselamatan itu, beliau mengharapkan ia dapat memberi imej baru kementeriannya sekaligus mencapai satu daripada lapan elemen transformasi Mindef.

PROSES UJI BAKAT DAN PEMILIHAN

Mengenai perkara itu, Leftenan Kolonel Zamri Othman berkata sesi uji bakat telah diadakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sebaik sahaja mendapat mandat daripada Menteri Pertahanan untuk menubuhkan jawatankuasa berkenaan.

Beliau yang juga pengurus badan kebudayaan itu berkata yang menariknya penyertaan adalah merangkumi pelbagai kaum bagi menyahut seruan kerajaan dalam mencapai konsep 1Malaysia.

"Lebih 200 orang yang kita uji bakat namun disebabkan terdapat kriteria untuk dipenuhi iaitu mempunyai rupa paras yang menarik, pandai menari dan mempunyai bentuk fizikal seperti seorang tentera lalu hanya 20 sahaja yang berjaya," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata 20 orang yang dipilih itu adalah mereka yang berumur antara 19 hingga 27 tahun dan mempunyai bakat serta latar belakang dalam tarian.

"Daripada mereka yang diambil menyertai badan kebudayaan itu, enam adalah lepasan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), ada yang mempunyai diploma dalam seni tari dan teater serta 'dancer' yang mempunyai pengalaman kebudayaan negeri.

"Selain itu konsep 1Malaysia juga dipraktikkan di mana terdapat pelbagai kaum yang terpilih seperti ada Cina, India, Bidayuh, Iban dan Melayu dari Sarawak, Sabah serta Semenanjung," katanya.

BENTUK LATIHAN

Walaupun mereka ini adalah anggota badan kesenian namun latihan yang diberikan sama seperti anggota rekrut yang lain di mana kursus ketenteraan harus diambil tidak kurang dari 240 jam.

"Bagaimanapun kita bagi kelonggaran masa kepada mereka untuk menghabiskan kursus namun tidak lebih dari dua minggu," kata Zamri.

Tambahnya, lumrah seorang tentera menyertai latihan asas ketentaraan seperti medan perang, baca peta serta kawad cemas dan bagi anggota badan ini latihan akan dilakukan jika mereka tiada sebarang latihan tarian seperti pada bulan puasa baru-baru ini.

Selain itu, kata Zamri walaupun jadual badan kesenian itu padat dengan latihan tarian namun elemen ketenteraan tetap diterapkan pada permulaan hari sebelum masuk studio dengan mengadakan senaman serta berhimpun sebelum bersurai pada petang hari.

"Mereka juga harus mengikut prosedur kem yang telah ditetapkan seperti jika hendak keluar perlu melapor diri...ini untuk menerapkan mereka dengan nilai disiplin," katanya.

FOKUS PERSEMBAHAN DAN KOREOGRAFI

Kebiasaannya, badan itu akan membuat persembahan tarian pada sesuatu majlis apabila dipanggil dan bentuk tarian itu akan direka berdasarkan tema majlis atau permintaan penganjur.

Namun, nilai 1Malaysia merupakan komponen penting dan akan diterapkan dalam tarian yang direka, sebagai contoh, seni tarian Melayu, India dan Cina yang dirangkumkan dalam satu persembahan.

Mengenai koreografi pula, badan kesenian itu tidak menggunakan mana-mana khidmat pereka tari profesional kerana segala ide adalah hasil kreativiti daripada anggota itu sendiri yang mengemukakan pandangan berdasarkan pengalaman masing-masing.

Mengenai persembahan prestij yang pernah dipersembahkan, beliau berkata badan kebudayaan itu telah menjayakan satu konsert penghargaan untuk komposer dan penulis lirik prolifik, Rosli Khamis atau lebih dikenali dalam kalangan pengamal industri hiburan tempatan sebagai 'Loloq' di Istana Budaya pada April lalu (tahun ini).

Konsert itu turut melibatkan kerjasama dengan artis-artis terkenal tanah air seperti Ramli Sarip dan kumpulan Spider serta Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN).

"Antara yang turut menyaksikan persembahan itu adalah (Datuk Seri Dr) Zahid Hamidi serta Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim," katanya.

RANCANGAN MASA HADAPAN

Bagi perancangan masa hadapan, Zamri berhasrat ingin menambah antara 25 hingga 30 anggota badan itu bagi membentuk pula kumpulan pemuzik, penyanyi serta orang yang bertanggungjawab mengendalikan sistem bunyi.

"Ada juga rancangan untuk mengambil anggota tentera sendiri untuk diserapkan dalam badan kesenian ini dalam bidang pemuzik atau nyanyian namun sebelum itu kita akan membuat pemilihan terlebih dahulu," katanya.

Selain rancangan menambah anggota, beliau juga berhasrat mengemukakan cadangan supaya anggota badan kesenian yang sebelum ini adalah anggota kerahan akan diserap dalam perkhidmatan tetap.

"Kita akan cuba serap mereka dalam perkhidmatan tetap selepas dua atau tiga tahun berkhidmat dengan sokongan jabatan... ini bagi menaikkan semangat kerja serta memberi kemudahan yang patut mereka dapat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain