suria

Nostalgia Roti Paun Keluaran Isa

KUALA LUMPUR: Kelibat penjual roti mengayuh basikal bergerak dari satu kawasan atau kampung dengan diiringi bunyi hon sekali-sekala semestinya membangkitkan nostalgia kebanyakan rakyat Malaysia.

Namun suasana seumpama telah berlalu dan kini ia diganti dengan penjual roti yang datang berniaga dengan menunggang motosikal atau memandu van.

Itu pun hanya kedapatan di sesetengah tempat sahaja kerana pembeli kini mempunyai kemudahan untuk membeli roti di kedai atau pasar raya pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, bagi penduduk di daerah Jempol, Negeri Sembilan, kehadiran penjual roti di kawasan perumahan dan kampung sekitarnya masih menjadi perkara biasa yang boleh dilihat setiap hari.

Masyarakat di Jempol sejak hampir lima dekat masih menikmati jualan pelbagai roti termasuk roti paun daripada perniagaan ini, yang kebiasaannya diwarisi oleh keluarga, walaupun kini ia didatangi dengan bermotosikal.

Roti kosong yang dikenali dengan roti paun cukup popular dalam kalangan penduduk setempat, dan yang mendapat perhatian antaranya ialah roti keluaran Isa Ramat, 67, atau lebih mesra dengan panggilan Haji Nasir.

Bukan sekadar rasanya, tapi nostalgia masyarakat di sini terutama mereka yang membesar bersama roti itu sejak setengah abad lepas, yang membuatkan namanya sentiasa meniti di bibir peminatnya.

KAYUH BASIKAL JUAL ROTI PAUN

Mengimbas sejarah kilang roti yang diusahakannya, Isa berkata beliau mewarisinya dari bapa mertua, Allahyarham Islam Babu Khan sejak tahun 1980.

Bapa mertuanya yang berasal dari Uttar Pradesh, Utara India memulakan perniagaan membuat dan menjual roti sejak tahun 1960 bersama tiga lagi rakannya dengan membina sebuah kilang kecil di Lubuk Gadung, Bahau. "Bapa mertua datang ke Malaysia sebelum merdeka lagi bersama bapa saya yang juga berasal dari sana (India). Setelah berkahwin saya membantu bapa mertua di kilang rotinya itu dengan belajar membuat dan membakar roti serta mengedarkannya," katanya.

Dengan gaji RM120, beliau mengayuh basikal sejauh 30 kilometer dengan membawa tong berisi roti yang diletakkan di tempat duduk belakang basikal seawal pukul 5 pagi hingga 5 petang.

Ketika itu, katanya, lima orang ditugaskan mengedarkan roti keluarannya yang meliputi seluruh Jempol dan beliau biasanya akan memasuki kawasan di sekitar kampung di Jalan Bahau, Batu Kikir, Serting Tengah hingga ke Simpang Pertang.

Roti yang dikeluarkan waktu itu hanya dua jenis iaitu roti kelapa dan roti paun yang boleh disapu dengan kaya sekiranya pembeli menginginkannya.

"Ramai yang minat dengan roti paun yang dibubuh kaya. Kalau budak-budak dulu mereka berebut nak kan kerak roti.

"Seronok waktu itu, sebab penduduk kampung sentiasa menunggu bunyi hon basikal tua saya lalu di hadapan rumah mereka. Sekarang suasana kat kampung pun dah berubah. Sunyi je sebab yang ada hanya golongan tua, yang muda-muda sudah keluar ke bandar," katanya yang menjual roti dengan mengayuh basikal selama tujuh tahun.

Pada waktu itu, katanya, dengan usia yang masih muda di awal 30-an, staminanya masih kuat untuk mengayuh basikal setiap hari, sehinggalah beralih menggunakan motosikal pada awal 1980-an.

HUBUNGAN BAIK DENGAN MASYARAKAT

Hubungan yang terjalin dengan masyarakat sekitar bukan sekadar hubungan peniaga dengan pembeli, ia lebih daripada itu apabila masyarakat menerima kehadiran beliau dan penjual roti lain dengan baik.

Isa berkata kerana hubungan baik itu, beliau mengenali hampir keseluruhan penduduk kampung yang dikunjungi.

"Setiap hari saya menjual roti di kawasan mereka, jadi hubungan mesra tu mudah terjalin menyebabkan saya boleh kenal rapat penduduk di sekitar kawasan yang saya pergi.

"Ada juga yang menjemput saya masuk ke rumah, sarapan atau minum petang bersama, malah budak-budak kecil yang selalu tunggu saya lalu dulu, kini dah besar dan mereka masih ingat roti paun. Kebiasaannya setiap kali balik kampung mereka akan datang sendiri ke kilang untuk mendapatkannya," katanya.

Mengimbas kenangan menjual roti, Isa berkata beliau tidak dapat melupakan zaman darurat berikutan tragedi 13 Mei, 1969 yang menyebabkan beliau tidak boleh keluar menjual roti selama dua hari.

Ketika itu katanya, keadaan tidak menentu dan semua pergerakan dikawal rapi terutama ketika perintah berkurung dijalankan.

"Malam tak boleh keluar, susah waktu tuh... sampai saya nak ambil air tengah malam di belakang kilang yang jaraknya tak sampai 100 meter pun kena kawal oleh tentera.

"Selama dua minggu juga penduduk tidak boleh ke mana-mana," katanya.

Namun keadaan ketika itu memberi rezeki yang lebih kepadanya apabila rotinya habis dijual berikutan kesukaran penduduk sekitar mendapatkan bekalan makanan dari luar.

"Hari ketiga saya sudah mula menjual roti. Sepanjang dua minggu ketika darurat itu, jualan meningkat dua kali ganda dan saya terpaksa bawa bekalan roti yang lebih setiap hari," katanya.

STRATEGI PEMASARAN YANG SAMA

Isa berkata sehingga kini strategi pemasaran rotinya tetap sama, di mana ia tidak dipasarkan di mana-mana kedai seperti mana yang dilakukan oleh syarikat roti lain.

"Kami datang sendiri menemui pembeli. Orang Cina, India, Melayu menerima roti paun dan roti lain keluaran kilang saya dengan baik.

"Ada juga pembeli yang datang terus ke kilang untuk mendapatkannya," katanya, yang kini mempunyai 15 pengedar roti di bawah nama Jempol Bakery.

Pasaran rotinya juga kini lebih meluas hingga ke kawasan Gemas, Air Mawang, Rembau malah sehingga ke Keratong, sempadan Negeri Sembilan/Pahang.

DARI TANGAN KE MESIN

Setiap hari sebanyak 200 kilogram tepung digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis roti bagi memenuhi pasaran antaranya roti krim, kacang, kelapa, bijan dan roti manis, selain roti kaya dan paun.

Walaupun menggunakan mesin penguli tepung, namun beliau masih menggaji enam pekerja dan dibantu dua orang anaknya untuk mengadun bahan, membakar dan mengeluarkan roti dari pembakarnya serta proses pembungkusan.

"Pada tahun 1960-an sampai 70-an saya bersama beberapa pekerja lain, menguli sendiri tepung menggunakan tangan bermula pukul 12 tengah hari sampai pukul 1 pagi dengan menggunakan lima beg tepung iaitu kira-kira 125 kilogram," katanya.

Proses pembakaran roti pula secara manual dengan membakarnya menggunakan kayu sehinggalah awal tahun 1980-an kerja menguli dilakukan oleh mesin penguli, manakala proses pembakaran roti menggunakan pembakar elektrik.

Ditanya apakah rahsia beliau mengekalkan rasa pada roti yang dihasilkan, Isa berkata beliau tidak menyimpan sebarang rahsia, namun mungkin strategi jualannya menyebabkan ia dekat di hati masyarakat di sini yang membolehkan rotinya mampu bertahan walaupun berhadapan dengan banyak persaingan dari roti keluaran syarikat yang lebih terkenal.

"Saya pun tidak kisah kalau ada yang berminat nak belajar buat roti, sebab bagi saya ilmu ini perlu dikongsi bersama kerana ia bukan milik saya seorang," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain