suria

Tidak Lagi Buang Sampah 'Sesuka Hati'

Masih ramai mempunyai anggapan bahawa pengurusan sisa pepejal di negara ini tidak mempunyai kaitan dengan mereka. Mengapa? Walhal sudah banyak kempen kesedaran telah dijalankan.

Rencana dua siri ini merungkai serba sedikit transformasi yang bakal tercetus dalam pengurusan sisa pepejal negara sebaik berkuatkuasanya Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) 1 Sept lepas.

Bahagian kedua ini adalah hasil wawancara dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr Nadzri Yahaya.

PUTRAJAYA: Apabila dilaporkan kadar penjanaan sisa pepejal negara pada ketika ini sudah mencecah 27,000 tan sehari, ia menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Pertama, adakah kemungkinan besar sasaran yang dibuat sebelum ini, 30,000 tan sisa pepejal sehari menjelang tahun 2020, bakal menginjak kepada 'angka baru' berdasarkan kepada laporan terkini itu?

Kedua, adakah tapak pelupusan sisa pepejal negara mencukupi untuk menampung penambahan itu?

Dari satu sudut, mungkin segelintir daripada kita melihat isu ini tidak mempunyai nilai kepentingan dalam ekonomi negara.

Bagi mereka, hanya aktiviti berelemenkan pertumbuhan ekonomi dan kepesatan teknologi sahaja yang perlu diambil perhatian dalam mencapai status negara maju.

Akan tetapi, sama ada disedari mahupun sengaja menidakkannya, setiap aktiviti industri mahupun kegunaan domestik yang dilakukan oleh anda sebenarnya penyumbang kepada penambahan penjanaan sisa pepejal negara.

Apatah lagi, dengan penambahan populasi penduduk negara ini yang mencecah kepada 28.3 juta (berdasarkan kepada laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010), sekali gus akan meningkatkan lagi kadar penjanaan sisa pepejal.

Namun begitu, masih ramai mempunyai persepsi bahawa urusan sisa pepejal tiada kaitan dengan mereka, walhal kita juga sebenarnya turut memainkan peranan penting membantu mengurangkannya menerusi kaedah "mengitar semula".

Mengapa senario ini berlaku?

MASIH KETINGGALAN

Sudah hampir 12 tahun lamanya program kitar semula kebangsaan dilancarkan dengan penglibatan pelbagai pihak seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Syarikat Konsesi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Namun, amat menyedihkan apabila dilaporkan kadar kitar semula di negara ini hanyalah pada kadar lima peratus sahaja, dan ia satu angka yang sangat mengecewakan!

Kalau dibandingkan pula dengan negara maju, kita memang jauh ketinggalan. Jerman sahaja sudah mencecah sebanyak 74 peratus penglibatan program kitar semula, Belgium (71 peratus), Austria (67 peratus) dan Belanda (66 peratus).

Di mana silapnya?

"Mungkin faktor terpaksa mencari tempat mengitar semula dan menghantar sendiri sisa pepejal yang diasingkan itu, menyebabkan program kitar semula tidak begitu menambat hati masyarakat.

"Ditambah lagi, kesedaran mengenai kepentingan kitar semula kurang, menyebabkan mereka lebih gemar untuk mencampur-adukkan pelbagai jenis komposisi sampah dalam satu tong," kata Nadzri kepada Bernama baru-baru ini.

Atas faktor itu, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang dilaksanakan bermula 1 Sept lepas, dilihat berpotensi besar mendidik orang ramai mengamalkan sikap kitar semula.

Ini kerana, akta itu mewajibkan orang ramai mengasingkan bahan sisa pepejal dan bahan kitar semula dan mereka yang tidak berbuat demikian akan dikenakan tindakan undang-undang.

TRANSFORMASI PENGURUSAN SISA PEPEJAL NEGARA

Biarpun akta ini diwartakan pada tahun 2007 dan hanya dapat dilaksanakan bermula 1 Sept lepas, itu bukanlah perkara pokok yang perlu diambil perhatian.

Apa yang penting, ia dilihat sebagai pembuka 'lembaran baru' dalam pengurusan sisa pepejal negara, sekali gus dijangka dapat meningkatkan kesedaran orang ramai serta mengurangkan jumlah kutipan sampah ke tapak pelupusan.

Menerusi pelaksanaan akta ini, barulah kerajaan dapat menguatkuasakan pelaksanaan penswastaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal isi rumah dan pengambilalihan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada PBT dengan sepenuhnya.

"Ia secara berfasa. Bagi fasa pertama, pihak konsesi akan mula mengagihkan tong sampah berukuran 120 liter kepada seluruh kawasan perumahan secara percuma di semua ibu negeri kecuali di negeri-negeri yang memilih untuk tidak melaksanakan penswastaan penuh (Selangor, Perak, Pulau Pinang) sehinggalah 1 Sept tahun depan.

"Selepas setahun kemudian, proses agihan tong sampah itu akan diberikan pula di seluruh majlis perbandaran dan majlis daerah. Tong sampah ini akan digunakan untuk membuang hanya barang-barang yang tidak boleh dikitar semula seperti lampin pakai buang dan sisa makanan.

"Bagi barang-barang seperti kaca, botol, kertas, pengguna haruslah mengasingkannya dan tidak mencampurkan sekali dalam tong sampah tersebut," katanya.

Selaras dengan itu, jadual kutipan sampah juga akan diubah kepada sistem 2+1 iaitu dua hari untuk mengutip sampah organik manakala satu hari diguna untuk mengutip sampah yang boleh dikitar semula.

Mengenai perbezaan lain hasil daripada penswastaan ini, Nadzri berkata: "Ada beza. Sekarang kutip tidak ikut peraturan, tidak ikut jadual, lori meleleh air larut resap (leachate). Tetapi, melalui sistem baru nanti, anda akan dapat melihat perbezaan di mana tiada air leachate meleleh keluar kerana menggunakan lori baru dan kutipan sampah diasingkan antara yang boleh dikitar dan sebaliknya".

BERKESANKAH?

Menariknya, sistem penggunaan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) akan dilaksanakan kepada tiga syarikat konsesi yang dipertanggungjawabkan, Alam Flora Sdn Bhd di zon tengah, Southern Waste Management Sdn Bhd di zon selatan dan Environment Idaman Sdn Bhd di zon utara Semenanjung.

Bakal dipantau oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) secara berterusan, ia bertujuan bagi memastikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awal diuruskan dengan teratur dan sistematik.

Memandangkan kadar pencapaian kitar semula negara ini agak rendah, penguatkuasaan akta itu akan memperuntukkan tempoh dua tahun bagi memberi peluang kepada rakyat membiasakan diri dengan program itu sebelum tindakan diambil.

Justeru, pelbagai kempen kesedaran termasuklah menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan akan dipergiatkan lagi dalam meningkatkan kesedaran mereka akan pentingnya kitar semula.

Ini kerana, dengan mengitar semula barang-barang yang boleh digunakan, akan mampu mengurangkan sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan.

"Ketika ini, kita mempunyai sebanyak 296 tapak pelupusan dan hanya 166 sahaja yang beroperasi. Daripada jumlah 166 itu, hanya lapan adalah tapak pelupusan sanitari.

"Antaranya di bukit Tagar (tapak pelupusan sanitari) dan difahamkan tapak pelupusan yang telah dibahagikan kepada beberapa sel ini boleh bertahan sehingga 50 tahun.

"Katakanlah satu sel boleh bertahan sehingga lima tahun sebelum dibuka sel baru untuk pembuangan sisa pepejal. Tetapi, usia sel ini dapat bertahan lama menerusi pelaksanaan akta ini apabila pengasingan sisa di punca telah dilakukan dari rumah lagi," katanya.

Sudah tiba masanya, bagi semua masyarakat 'sedar' akan kepentingan penglibatan mereka dalam pengurusan sisa pepejal negara. Tanpa kesedaran ini, sudah tentu agak sukar bagi negara mencapai status negara maju.

Ini kerana, keberkesanan pengurusan sisa pepejal turut diambil kira sebagai faktor dalam melabelkan status 'negara maju'. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain