Jangan Lupa Sejarah, Erti Sebenar Merdeka

Diterbitkan: Jumaat, 23 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Tidak ada pengajaran yang lebih baik dari pengalaman yang dihuraikan oleh seorang yang melalui segala liku hidup pahit-maungnya yang terpaksa direntasi oleh rakyat Malaysia sejak pemerintahan Inggeris, penaklukan Jepun dan kekejaman Parti Komunis Malaya.

Pengalaman ini dikisahkan oleh Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh. Beliau yang kini menyandang jawatan Yang DiPertua, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia terbabit dalam banyak badan NGO seperti Persatuan Penuntut-Penuntut Melayu semasa tahun 40an, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan banyak lagi badan sukarela.

KUALA LUMPUR: Cuma 14 hari tetapi tempoh itu boleh diibaratkan 'neraka' bagi mereka yang hidup pada ketika itu.

Tempoh 14 hari itu adalah tempoh anggota Parti Komunis Malaya (PKM) atau Bintang Tiga bermaharajalela selepas tentera Jepun mengaku kalah kepada Tentera Bersekutu dalam Perang Dunia ke-2 dan berundur dari Tanah Melayu.

"Mereka bermaharajalela, masuk kampung Melayu, ambil orang tua dan dewasa yang mereka dakwa menyebelahi orang Jepun. Ada yang dimasukkan ke dalam sangkar babi dan dibawa ke tempat lain untuk dibunuh.

"Kita tak boleh buat apa-apa sebab tidak ada senjata. Mereka mempunyai senjata yang dibekalkan British untuk melawan tentera Jepun.

"Oleh kerana mereka bergantung kepada tuduhan rambang yang dibuat oleh perisik mereka sendiri, kerap kali yang tak salah pun dikenakan hukuman mati," Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh, Yang DiPertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia yang berkongsi kisah kekejaman komunis dalam wawancara dengan Bernama di sini baru-baru ini.

Anggota PKM adalah saki-baki Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA).

Kebanyakan mereka mendapat bantuan senjata dan latihan daripada pihak British untuk menentang askar Jepun semasa tentera negara matahari terbit itu menakluk Tanah Melayu.

KOMUNIS KEJAM

Wan Mahmood menceritakan pengalaman sepupunya, Ramli Ishak yang hampir menjadi mangsa kekejaman komunis.

Ramli tinggal di Singapura sebaik sahaja Jepun menyerah diri . Ayahnya Ishak bin Ahmad adalah Syahbandar atau Harbour Master di Telok Anson (sekarang dipanggil Telok Intan).

Ishak, katanya terkenal sebagai Syahbandar yang baik dan kerapkali menolong orang Cina yang tinggal di Bagan, Kuala Sungai Perak itu daripada keganasan tentera Jepun.

Pada masa Ramli berjalan di bandar Teluk Intan, dia ditangkap oleh pasukan bersenjata PKM dan dituduh sebagai talibarut Jepun.

Mukanya disarung dengan guni, kemudian dibawa dengan sebuah bot ke suatu destinasai di Bagan Teluk Intan.

Tuduhan yang beliau tidak ketahui telah dilemparkan kepadanya dan dia didapati bersalah tanpa diberi peluang membela diri dan hukumannya ialah pancung.

Dengan takdir Allah SWT, kebetulan sebuah sampan yang dinaiki seorang perempuan Cina telah singgah di Bagan dan secara kebetulan perempuan Cina itu adalah seorang yang berpangkat tinggi dalam PKM.

Apabila dia melihat yang muka disarung guni itu adalah Ramli Ishak, dia terus memberitahu lelaki itu adalah anak kepada Syahbandar, Ishak bin Ahmad, orang yang baik dan anaknya bukanlah talibarut Jepun.

"Seterusnya kepala Ramli disarungkan kembali dengan guni dan tangan diikat. Dia dibawa ke Teluk Intan dan ditinggalkan di pinggir bandar tersebut.

Sebaik sahaja dilepaskan, Ramli, terus mengambil barang-barangnya dan melarikan diri ke Kuala Lumpur kerana takut keadaan yang sangat mengerikan yang baru dilaluinya berulang kembali.

Menurut Wan Mahmood, akibat tuduhan yang melulu dan pembunuhan kejam yang berleluasa, maka wujudlah beberapa kiai dan guru yang mengajak orang Melayu menuntut ilmu kebal dan berlakulah beberapa pertempuran di antara orang Melayu dengan pengganas PKM.

Satu lagi peristiwa keganasan komunis ialah apabila bapa saudara isteri Wan Mahmood sendiri yang ditahan komunis dibawa masuk ke dalam hutan dan tidak dijumpai sehingga ke hari ini.

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan yang menyebabkan Wan Mahmood berasa sangat benci kepada komunis ialah apabila beliau terpaksa mengangkat mayat kawan karibnya sendiri, Allahyarham Abdul Aziz bin Anuar, 23, yang badannya dipenuhi peluru tembakan komunis.

NASIONALISME DAN PERPADUAN

Jiwa muda Wan Mahmood semakin bergelora dengan semangat nasionalisme apabila melihatkan kekejaman komunis.

Semangat ini juga, katanya dapat dilihat dalam kalangan kebanyakan anak muda yang seangkatan dengannya terutama mereka yang menjadi ahli Persatuan Pelajar Melayu Selangor.

Rata-rata juga anak muda belasan tahun yang seusia dengan beliau sudah mempunyai wawasan untuk memajukan diri dan untuk membela nasib bangsa.

Ini boleh dilihat daripada perbualan mereka seperti yang dikongsi Wan Mahmood.

"Semasa berbual bersama rakan sebaya, kami sering meletakkan matlamat untuk menjadi seseorang yang dapat memegang jawatan yang penting dalam negara supaya dengan cara demikian, dapat membantu serta membela nasib bangsa.

"Di kalangan ramai kawan, saya bercita-cita untuk menjadi seorang Pentadbir dan rakan baik saya Mohd Ali bin Ibrahim memilih untuk menjadi seorang pendidik di Jabatan Pelajaran.

"Sementara beberapa orang lagi berhasrat untuk berkhidmat sebagai anggota polis dan tentera.

"Kebetulan saya sendiri telah mencapai impian menjadi Pentadir dan kawan rapat saya Datuk Ali Ibrahim menjadi pendidik yang terkenal, jawatan terakhir beliau ialah Pengarah Latihan-Guru-Guru Kementerian Pelajaran," katanya.

Ada juga rakan sebaya Wan Mahmood bercita-cita besar dan mencapai hasrat menjadi tokoh korporat yang terserlah seperti Tan Sri Shamsudin Abdul Kadir, Pengerusi dan Pengarah Eksekutif, Sapura Holdings Sdn Bhd.

Tidak kurang juga rakan beliau yang memegang jawatan penting dalam angkatan polis dan tentera seperti Leftenan Muda Abdul Aziz Anuar yang gugur dalam pertempuran dengan komunis.

MALAYAN UNION

Wan Mahmood berkata perpaduan orang Melayu benar-benar teruji apabila pihak British dengan tipu dayanya mempengaruhi Raja-Raja Melayu untuk menandatangani perjanjian Malayan Union di mana kedaulatan yang DiPertuan Negeri diserahkan kepada Raja England dan kuasa Raja-Raja Melayu diperturunkan hanya menjaga hal-ehwal pentadbiran Agama Islam sahaja.

Ini sama sekali tidak disenangi oleh masyarakat Melayu kerana secara tidak langsung menghapuskan kedaulatan dan kuasa raja-raja Melayu dan mencabar ketuanan Orang Melayu di atas tanah airnya sendiri.

Beliau berkata, Allahyarham Tun Abdul Razak yang ketika itu memegang jawatan Ketua Pemuda Umno mengajak persatuannaya, Persatuan Penuntut Melayu Selangor bersama dengan badan-badan lain yang mewakili pelbagai pihak, tidak mengira fahaman politik keluar berarak untuk menuntut supaya Raja-Raja Melayu tidak menandatangi perjanjian Malayan Union.

"Kami semua beramai-ramai berkumpul di Padang Kelab Sultan Sulaiman dan berarak, menuju ke Hotel berhadapan Stesen Keretapi Kuala Lumpur, di mana Raja-Raja Tanah Melayu menginap.

"Kami membawa sepanduk dan memakai songkok yang berkabung menggambarkan seolah-olah Raja telah mangkat, sekaligus menggambarkan kesedihan yang amat di kalangan orang Melayu sekiranya perjanjian Malayan Union ditandatangani.

"Kumpulan ini yang mengandungi ratusan ribu rakyat Malaysia dari segenap parti yang sungguhpun ada berlainan pendapat namun bergerak dengan satu hati untuk menyelamatkan tanah air.

"Saya masih ingat di hadapan pasukan kami ialah pasukan Api( Angkatan Pemuda Insaf) dengan memakai topi berwarna merah dan mirip kiri atau mirip kepada fahamman sosialisma dan komunisma.

"Harus diambil kira bahawa warna merah pada masa itu menggambarkan warna yang mirip kepada komunisme. Semua ini memberi iktibar kepada kita bahawa orang Melayu boleh bersatu apabila menghadapi sesuatu keadaan yang menggugat kedudukan bangsa dan negaranya," demikian cerita Wan Mahmood panjang lebar.

Beliau berkata suasana menjadi gamat apabila masing-masing berkali-kali berteriak "Tuanku Jangan Tanda Tangan".

"Akhirnya perjanjian Malayan Union tidak ditandatangani. Bila kita bersatu kita kuat, pihak British yang kuat pun boleh kalah," tegas Wan Mahmood.

RAI MERDEKA

Apabila negara mencapai kemerdekaan, Wan Mahmood bukan sahaja menyaksikan peristiwa besar ini malahan terbabit dalam persediaan majlis sambutan itu.

Beliau ketika itu menyandang jawatan Penolong Pegawai daerah (ADO) Kuala Lumpur dan memandangkan pada masa itu tidak cukup pegawai, beliau dipinjamkan buat sementara oleh Kementerian Dalam Negeri untuk membantu majlis yang bakal diadakan.

Beliau ditugaskan sebagai pegawai protokol, menjaga perwakilan Pakistan yang diundang ke Majlis Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu.

"Pada waktu itu, India dan Pakistan bersengketa, pegawai protokol untuk perwakilan India adalah kawan saya dan kami berpakat untuk memastikan kedua-dua perwakilan ini tidak berjumpa kerana mereka bertentangan pendapat," katanya.

Menurut beliau, semua perwakilan tinggal di Hotel Federal, hotel pertama dibina di Kuala Lumpur dan disiapkan khusus untuk majlis pengisytiharan Kemerdekaan.

Ada satu peristiwa lucu yang masih dalam ingatannya ialah "peristiwa menunggu lif, apabila pintu terbuka dan ada kawan saya dengan perwakilan India di dalamnya.

Saya bergegas untuk menyakinkan Ketua Delegasi Pakistan untuk mengambil lif lain tetapi saya terkejut apabila beliau berkata tidak mengapa lalu memeluk wakil dari India. Rupanya mereka kawan lama semasa bersekolah.

"Pengajaran pada saya ialah negara boleh berkonfrontasi tetapi kawan tetap kawan dan perselisihan profesional tidak harus dibawa pertelingkahan peribadi, ini yang dikatakan diplomasi," kata Wan Mahmood.

ISU BERBANGKIT

Bagi Wan Mahmood yang telah melalui pelbagai asam garam kehidupan, hatinya kecewa dan runsing apabila ada pihak sengaja menimbulkan isu untuk mencetuskan pertelingkahan.

Menurut beliau soal Bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan kedudukan sultan-sultan Melayu semuanya sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak perlu dipersoalkan lagi.

"Sepatutnya juga kita buat satu bahasa, bahasa Melayu. Bila Penyata Razak dibuat, kabinet tak ikut dan kemudian diadakan pula sekolah jenis kebangsaan.

Wan Mahmood melihat masyarakat juga perlu didedahkan kepada sejarah dan ia sepatutnya dijadikan mata pelajaran wajib.

"Sebab tak tahu sejarah mereka pertikaikan banyak hal. Kalau mereka tahu mereka tak akan pertikaikan," tambahnya.

Masyarakat, katanya perlu tahu sejarah dari zaman kesultanan Melaka hinggalah kepada pengisytiharan kemerdekaan.

"Mesti tahu macam mana keadaan semasa pemerintahan British, semasa komunis, pengkisahan kemerdekaan dan pemberian kerakyatan kepada kumpulan pendatang," kata Wan Mahmood.

Menurut beliau, perjanjian memberi kerakyatan adalah ganjaran paling besar dan untuk itu orang Melayu dijamin kedudukan istimewa.

Setiap yang diberi, jelasnya ada ganjaran dan ia perlu bagi memastikan bangsa Melayu tidak menjadi seperti 'ayam di kepuk mati kelaparan'.

BINA INSAN

Sebagai pegawai kerajaan, Wan Mahmood terlibat dalam pelaksanaan banyak program pembangunan.

Kerajaan ketika itu menggalakkan pembangunan luar bandar memandangkan daripada saat negara mencapai kemerdekaan, jurang perbezaan bandar dan luar bandar amat berbeza.

Semasa kerajaan melancarkan program pembangunan luar bandar yang pertama iaitu pada 1960, beliau adalah Pegawai Daerah Sabak Bernam.

Menurut beliau, tumpuan kepada pembangunan luar bandar berlarutan sehingga hampir 20 tahun kemudian apabila kerajaan mula memberi tumpuan kepada pembangunan insan.

"Bayangkanlah. Katakan budak itu masa merdeka umurnya lima tahun, jadi 25 tahun. Apa bentuk manusia yang kita telah ukirkan sebagai rakyat Malaysia?

"Manusia yang hanya mementingkan kebendaan. Minta dapat, tak dapat melenting. Sekarang sikap ini turun kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum, daripada politik kepada institusi keluarga," katanya dengan nada yang kesal.

NILAI HIDUP

Sehubungan itu, beliau berpandangan amat penting untuk kerajaan menghidupkan balik pendidikan nilai-nilai murni bukan sahaja di sekolah malahan di institusi bukan kerajaan seperti masjid dan surau.

Beliau melihat generasi muda hari ini semakin mementingkan kebendaan, bersikap individualistik dan mempunyai nilai hidup yang bercampur-aduk.

"Tambah pula dengan internet. Nilai yang dipakai di Amerika umpamanya terus masuk ke dalam bilik tidur. Jika kita tidak membenteras dan menyuntik nilai kita, nilai kita akan ditembusi kuman nilai Barat.

"Itu sebabnya kita banyak gejala sosial. Kadar perceraian juga semakin tinggi," katanya. Wan Mahmood turut menegur terutama anak muda yang pada pandangan beliau tidak faham pengertian merdeka.

Bagi mereka, katanya, merdeka setakat mengibar bendera dan untuk berpesta.

"Merdeka tak akan ada makna. Kita gantung bendera cantik-cantik keliling rumah tetapi rumah boleh runtuh sebab tiang serinya masih lembik dan mudah dimakan anai-anai," katanya berkias. Tiang seri pada beliau ialah nilai asas yang perlu untuk kehidupan seperti hormat serta sayang kepada jiran dan ia meliputi semua kaum.

"Langkah ini perlu bermula daripada rumah dan pengukuhan nilai ini juga akan menyumbang kepada perpaduan kebangsaan," tegasnya. Ditanya mengapa beliau masih mengambil berat tentang keadaan semasa serta isu yang membelenggu negara masa kini, ini jawapan beliau begitu simbolik.

"Kita menerima sesuatu daripada datuk nenek kita, kita mesti menyerahkan kepada anak cucu kita dalam keadaan yang lebih baik daripada apa yang kita terima.

"Bukan terlebih buruk daripada apa yang kita terima. Kalau kita benarkan diri kita sahaja yang mewah dan kita serahkan negara yang lebih buruk daripada negara yang kita terima, maknanya suatu hari nanti anak cucu kita akan sumpah kita," kata Wan Mahmood. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan