Bantu Mangsa Pemerdagangan Manusia Teruskan Kehidupan

Diterbitkan: Rabu, 7 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar daripada empat juta pekerja asing yang sah dan tanpa izin di Malaysia menjadi mangsa pemerdagangan orang, demikian menurut Laporan Pemerdagangan Manusia 2011 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Namun wanita asing adalah yang sering menjadi mangsa terutama dalam pemerdagangan seks. Sejumlah wanita direkrut untuk bekerja di restoran dan hotel di Malaysia dengan hampir separuh daripadanya menjadi pelayan pelanggan (GRO) dalam industri seks komersil. Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan sebahagian daripada kira-kira 300,000 wanita pembantu rumah yang bekerja di negara ini juga mangsa pemerdagangan manusia dengan mereka ditipu, pergerakan disekat, tidak dibayar gaji, dirampas pasport atau terikat dengan hutang oleh ejen dan majikan.

Mangsa pemerdagangan ini terutama wanita lazimnya mengalami tekanan emosi atau trauma yang teruk sehingga ada yang mahu bunuh diri atau bertindak kurang siuman.

Oleh kerana ini pihak berkuasa dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang menyelamatkan mereka juga membantu dengan mendekati emosi mereka di Rumah Perlindungan Wanita (RPW).

DEKATI EMOSI MANGSA

Mendekati mangsa pemerdagangan memerlukan kaedah dan teknik yang sesuai kerana trauma dan tekanan yang dialami mereka, kata Linda Jamaludin selaku Pengarah Bahagian Bimbingan dan Kaunseling, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

Linda, yang juga kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia, berkata kaunselor perlu mempunyai kemahiran khusus dalam mengendalikan mangsa trauma pemerdagangan manusia.

Sokongan melalui kaunseling trauma psikologi diberikan kepada mangsa sebaik sahaja tiba di rumah perlindungan, menyakinkan bahawa mereka dilindungi dan tempat yang didiami mereka kini adalah selamat.

Memandangkan mangsa berasal dari pelbagai negara, kaunselor perlu memahami latar belakang budaya dan bahasa pertuturan mereka. Masalah komunikasi turut wujud kerana kebanyakan mereka tidak boleh berbahasa Melayu, Inggeris, Mandarin atau Tamil terutamanya mangsa dari Vietnam, Thailand dan Kemboja.

Bagi mengatasi masalah ini, jabatan dengan kerjasama beberapa penterjemah daripada NGO dan pihak kedutaan membantu kelancaran sesi kaunseling.

Dalam aktiviti kaunseling sama ada individu atau kelompok, mangsa boleh berkongsi serta meluahkan apa yang ada dalam fikiran atau perasaan mereka bersama kaunselor.

Program ini melibatkan terapi bercerita, menyanyi, melukis, menari dan seumpama.

MENENANGKAN EMOSI MANGSA

"Semasa melakukan aktiviti itu, mereka akan berkongsi dengan kaunselor, pekerja kes dan rakan-rakan mengenai kisah hidup mereka, bagaimana mereka datang ke sini dalam suasana yang lebih santai yang secara tidak langsung membantu menenangkan emosi," katanya.

Linda berkata terdapat juga tekanan perasaan dalam kalangan penghuni yang menyebabkan mereka bertindak agresif termasuk cuba mencedera atau membunuh diri.

Mereka yang berisiko tinggi ini dapat dikenalpasti melalui tingkahlaku mereka, antaranya suka menyendiri, murung, marah, kesedihan yang amat, memberontak serta enggan mengikuti aktiviti yang dijalankan. "Kebanyakan mereka risau memikirkan keluarga di kampung dan nak cepat keluar bertemu keluarga. Mereka juga tertekan kerana tidak dapat bekerja sepanjang berada di rumah perlindungan sebab niat mereka hanya nak cari rezeki membantu keluarga.

Oleh itu, pihak kami menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat untuk membantu melaksanakan kerja yang boleh menjana pendapatan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata dengan cara ini sekurang-kurangnya apa yang dipelajari di Rumah Perlindungan itu akan dapat membantu mereka memperbaiki kehidupan apabila pulang ke negara masing-masing serta tidak lagi diperdaya dan dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

RUMAH PERLINDUNGAN Sehingga kini terdapat lima buah tempat perlindungan yang dikhaskan khusus untuk menempatkan mangsa pemerdagangan orang dan mangsa penyeludupan migran sejak penubuhannya pada 2008.

Tiga daripadanya dikhaskan bagi wanita iaitu dua di Kuala Lumpur dan satu di Sabah dan satu bagi lelaki di Melaka dan satu bagi kanak-kanak di Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah JPW Wan Hasmah Wan Mohd berkata tempat perlindungan ini diwujudkan khas untuk mangsa pemerdagangan orang dan mangsa penyeludupan migran bagi membantu mereka daripada segi pemulihan dan perlindungan.

Mangsa yang diselamatkan akan diberi bantuan kemanusiaan daripada segi keperluan tempat tinggal, pemeriksaan kesihatan dan makan minum secukupnya.

"Mangsa yang kurang sihat atau mengandung akan dihantar ke klinik atau hospital berdekatan untuk pemeriksaan kesihatan," katanya.

Bagi memastikan penghuni tidak terus mengalami kemurungan yang boleh membahayakan mereka dan petugas, pelbagai aktiviti turut dijalankan terutama aktiviti yang boleh memberi ketenangan kepada mereka seperti aktiviti memasak dan menjahit.

"Kita memahami perasaan, tekanan serta trauma yang mereka hadapi, jadi pihak kerajaan melaksanakan pelbagai aktiviti agar mereka tidak mengalami trauma yang serius," katanya.

Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Persatuan Suara Kanak-Kanak (SUKA Society), Organisasi Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM), Kelab Rotary Sunway, Suruhanjaya Tinggi PBB mengenai Pelarian (UNHCR) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) turut menyumbang dengan mengadakan pelbagai aktiviti bersama mangsa di rumah-rumah perlindungan.

Kerajaan juga sentiasa berhubung dengan kedutaan luar untuk memaklumkan keadaan rakyat mereka yang diselamatkan.

TERGODA DENGAN TAWARAN GAJI TINGGI

Beberapa penghuni di sebuah daripada rumah perlindungan wanita di Kuala Lumpur mendedahkan kepada Bernama bagaimana mereka berakhir sebagai mangsa pemerdagangan manusia. Mely (bukan nama sebenar), 20, adalah antara mangsa pemerdagangan manusia yang berada di sebuah daripada rumah perlindungan kelolaan Jabatan Pembangunan Wanita sejak April lepas.

Tergoda dengan tawaran dan pujukan ejen, beliau nekad lari ke Malaysia pada usia 16 tahun untuk mencari rezeki bagi membantu keluarganya yang miskin di Timor Leste. Sebaik sampai di Klang, beliau terus ditempatkan di rumah majikannya di Selangor dengan dijanjikan gaji RM600 sebulan atau hampir dua juta rupiah.

Bagaimanapun dugaan hidupnya bermula selepas sebulan tinggal bersama di rumah majikannya itu.

"Pada awalnya majikan saya baik, tapi lama kelamaan layanan terhadap saya berubah dan bertambah teruk. Saya tidak dibayar gaji langsung selama empat tahun di sana," katanya.

Tidak tahan dengan deraan mental dan fizikal selain tidak diberi makan dan dipukul serta dikurung dalam bilik setor, beliau nekad melarikan diri sehelai sepinggang apabila mendapat tahu akan dijual oleh majikan kepada pihak lain di Thailand.

MENJADI MANGSA ROGOL

Kisah yang sama turut dikongsi Rani (bukan nama sebenar) dari Kemboja yang kini adalah penghuni rumah perlindungan yang sama.

Berasal dari sebuah kampung jauh di pedalaman Kemboja, yang mengambil masa kira-kira 6 jam perjalanan dari Phnom Penh.

Kemiskinan menyebabkan bapanya menyerahkan beliau kepada ejen untuk membawanya bekerja di Malaysia.

Di sebalik bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji RM500, beliau turut disuruh membersih dan menjaga pejabat majikannya sehingga beliau tidak diberi peluang untuk berehat secukupnya.

Tempoh kerja sehingga lebih 12 jam sehari cukup menyeksakan hingga beliau tekad untuk melarikan diri.

Ibarat keluar mulut buaya masuk mulut harimau, selepas melarikan diri beliau bertemu dengan seorang lelaki yang kononnya ingin membantu beliau mencari pekerjaan tetapi di sebaliknya beliau dirogol dan dihantar ke sebuah ladang untuk bekerja dengan gaji RM600 sebulan. Rani mula berasa tenang ketika bekerja di ladang itu, namun kedatangan semula lelaki itu di ladang berkenaan menyebabkan beliau dirogol sekali lagi.

"Saya buat laporan polis dan kemudian dibawa ke Imigresen sebelum dimasukkan ke rumah perlindungan ini sejak tujuh bulan lepas," katanya yang agak fasih berbahasa Melayu.

HIDUP BERTAMBAH DERITA

Turut berkongsi pengalaman, seorang lagi mangsa pemerdagangan orang, Yuni, 28, berasal dari Sumatera Utara.

Derita hidupnya bagai tidak pernah putus.

Ibu tunggal dua anak ini hidup susah dan miskin di negaranya dan berhasrat untuk mencari rezeki bagi membesarkan anak yang kini dijaga bekas suaminya.

"Kami memang hidup susah sejak awal lagi. Namun sejak suami terlibat dalam penagihan dadah hidup kami pertambah parah. "Pernah saya dan anak-anak beberapa hari tidak makan dan hanya menyambung hidup dengan meminum air sahaja," katanya mencerita kisah hidupnya.

Pujukan seorang kenalan yang menawarkan pekerjaan di sebuah kedai fotokopi di Malaysia dengan tawaran gaji RM600 sebulan menarik hatinya untuk mencuba.

Setelah pelbagai kepayahan dilalui untuk keluar dari kampungnya, beliau akhirnya tiba di Klang. Namun ia tidak seperti yang dijangka apabila ejen berkenaan kemudian membawanya ke sebuah rumah untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

"Saya pernah bekerja dengan tiga majikan, namun tidak kekal. Ejen juga menipu, katanya, dan menambah kata beliau hanya diberi pasport pelancong. Akhirnya saya berjaya melarikan diri dan diserahkan kepada pihak Imigresen sebelum dimasukkan ke pusat ini," katanya yang berharap kesnya cepat selesai bagi membolehkannya pulang ke kampung dengan kadar segera.

Walaupun melalui pengalaman perit, ditipu dan didera, namun ketiga-tiga mereka tetap ingin kembali ke Malaysia setelah pulang ke negara masing-masing nanti kerana bagi mereka Malaysia tetap lubuk untuk mencari rezeki.

"Walaupun saya ditipu, tapi saya rasa Malaysia tempat terbaik untuk cari rezeki jika bertemu majikan yang baik.

"Kalau boleh saya tidak mahu lagi jadi pembantu rumah, tapi lebih suka bekerja di kedai-kedai," ujar Yani yang amat berharap dapat mencari pekerjaan semula di Malaysia satu hari nanti. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan