suria

Dikehendaki Lebih Ramai Pembina Jambatan Yang Jujur - Dr Chandra Muzaffar

KALAULAH boleh dilakukan, Dr Chandra Muzaffar sudah tentu akan menampal di setiap pelusuk tanah air poster yang berbunyi "Dikehendaki: Lebih Ramai Pembina Jambatan".

Syarat yang akan dikenakan, di tempat paling atas, Rakyat Malaysia, orang muda diutamakan!

Beliau juga akan menambah syarat tambahan: "Yang Jujur Sahaja! Pemusnah Jambatan Tak Perlu Memohon!"

HAJAT MERDEKA

Pernyataan di atas sebenarnya adalah hajat Chandra sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-54, hajat yang dizahirkan dalam wawancara dengan Bernama mengenai isu Perpaduan Kebangsaan di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau juga memberitahu penulis "pembina jambatan" ialah istilah kegemarannya yang sering digunakan apabila bercakap mengenai perpaduan.

"Jika ramai yang sedar, katakan dalam masyarakat kita ada ramai orang Melayu dan bukan Melayu, Cina, India, Kadazan dan yang lain-lain, amat mengambil berat tentang pembina jambatan, keadaan akan berbeza.

"Yang menjadi masalahnya kita tidak mempunyai ramai pembina jambatan, di sana di sini ada beberapa kerat individu sahaja.

"Dahlah tak ramai, ada pula yang jadi pemusnah jambatan dan orang yang mendirikan tembok," kata Chandra, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan 1Malaysia.

KEKUATAN PADU

Memupuk semangat perpaduan kebangsaan sewajarnya bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata seperti yang disuarakan oleh Chandra yang juga Profesor Kajian Global, Universiti Sains Malaysia (USM).

Penyelesaian sebenarnya, katanya, terletak kepada rakyat.

"Apa yang kita perlukan kekuatan padu semua kaum, orang Melayu, orang bukan Melayu yang menjadi pembina jambatan yang jujur. Kalau kita ada semuanya ini, persekitaran dan suasananya lebih sesuai untuk benih-benih perpaduan bercambah dan berkembang.

"Saya ikhlas berharap dan berdoa kita mampu mewujudkan lebih ramai pembina jambatan yang benar-benar jujur yang akan menjadi tonggak kekuatan padu menggalakkan perpaduan kebangsaan," katanya.

Paling unggul, tambahnya jika generasi muda dapat diasuh dan dididik sebagai pembina jambatan yang diharap-harapkan itu.

Menepati kata-katanya, Yayasan 1Malaysia mengambil inisiatif untuk memenuhi keperluan itu dengan mengadakan program untuk pelajar sekolah di mana antara lain mereka dapat memahami erti menjadi warga negara Malaysia.

"Kewarganegaraan bermakna kesediaan untuk melaksanakan bukan sahaja hak tetapi sama juga pentingnya, tanggungjawab sebagai seorang warga negara," kata Chandra.

PERJALANAN YANG BERTERUSAN

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perpaduan, Chandra tegas menyatakan ia ibarat satu perjalanan yang jauh serta berterusan dan bukannya satu destinasi.

Dalam perkataan lain seseorang itu tidak boleh berkata "Kita telah mencapai perpaduan" bak kata Chandra kemungkinannya tidak ada negara di dunia ini boleh mendakwa ia telah mencapai perpaduan pelbagai etnik.

"Perkara ini tidak akan berlaku bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di mana-mana negara di dunia yang penduduknya terdiri daripada berbilang etnik dan agama.

"Mengapa? Kerana kita bercakap tentang orang yang berlainan pegangan agama dan latar belakang kebudayaan, sejarah yang berbeza, memori yang berbeza dan dengan pengalaman yang berbeza.

"Situasinya amat, amat kompleks. Banyak perbezaan dan akan terus ada perbezaan. Saban waktu ada sahaja yang akan berlaku.

"Kita perlu meneruskan rundingan untuk menangani perbezaan-perbezaan ini, kita perlu terus berusaha mengatur cara dan langkah untuk membolehkan kita tinggal bersama," kata Chandra.

Beliau mengambil contoh Ireland Utara di mana konflik antara puak Katolik dan Protestant masih wujud.

"Mereka telah mencapai persetujuan mengenai cara untuk menyelesaikan konflik yang sudah berlarutan berkurun lamanya. Mereka ada mencapai kata sepakat yang dipersetujui kedua belah pihak, yang dipanggil Good Friday Agreement pada 1998.

"Bagaimana pun baru-baru ini terdapat pertempuran di Ireland Utara yang mengakibatkan kematian di mana ini menunjukkan tidak ada penyelesaian mudah untuk masalah berhubung dengan etnik dan agama," tegasnya.

IBARAT PERKAHWINAN

Menggunakan "perkahwinan" sebagai analogi kepada perpaduan di mana diakui tidak ada perkahwinan yang sempurna, Chandra mengulangi kenyataannya bahawa ia memerlukan usaha yang berterusan.

Pasangan yang berkahwin akan mengalami masalah, cabaran dan perbezaan dari semasa ke semasa dan mereka perlu mencari jalan penyelesaian.

Dalam hal Malaysia, beliau menekankan bahawa pucuk pimpinan di awal 1957 telah mengambil langkah bijak dengan memberi keutamaan kepada isu perpaduan yang dilihat sebagai cabaran paling utama.

"Dari awal lagi kita telah sedar ini adalah satu cabaran yang memerlukan perhatian yang maksimum, cabaran yang memerlukan sepenuh tenaga dan usaha kita.

"Saya berpendapat kita memang tahu perkara itu. Kita sedar daripada awal-awal lagi bahawa perpaduan adalah isu penting, maka sebab itulah semua pemimpin kita, pembuat pendapat dan elemen berpengaruh dalam masyarakat sering menekankan tentang perpaduan," jelasnya.

PERLU POSITIF

Namun demikian, Chandra pantas menambah bahawa dalam apa juga keadaan kita perlu berpijak di bumi nyata dalam usaha kita menangani isu perpaduan.

Dalam mengulangi kenyataannya bahawa perpaduan ialah satu proses, satu perjalanan yang tiada penghujungnya, beliau turut menegaskan bahawa "kita tidak boleh meletak jangka waktu mahu pun bercakap tentang perpaduan yang sempurna."

"Apa yang kita ingin capai adalah dengan tahun-tahun yang berlalu kita mampu untuk berkata ikatan perpaduan kita lebih teguh dan ia akan jadi lebih teguh. Kita perlu bersikap positif mengenai perkara ini.

"Sekiranya semua kaum, semua peringkat masyarakat boleh berkata demikian, dalam perkataan lain esok akan menjadi lebih baik daripada hari ini dan kita mula merasa lebih sebagai sebuah keluarga.

"Jika itu boleh kita ungkapkan dalam kita menjalani kehidupan kita, itu sudah satu pencapaian," katanya.

PERPADUAN LEBIH HEBAT

Mengulas pembentukan Bangsa Malaysia, istilah yang timbul di dalam versi Melayu Wawasan 2020, Chandra menarik perhatian bahawa perpaduan masih menjadi kunci kepada pencapaian aspirasi itu.

Beliau menjelaskan dalam versi Bahasa Inggeris Wawasan 2020, versi asal, istilah yang digunakan sebetulnya "Greater Unity amongst the different peoples and the different communities."

"Seperti yang saya katakan di awal tadi ikatan yang lebih teguh itulah yang kita perlukan," tegasnya.

Beliau turut menyatakan rasa tidak senangnya dengan isu yang dibangkitkan tahun lepas di mana seseorang ditanya sama ada beliau “Melayu dulu atau orang Malaysia dulu."

Pada pandangan Chandra, soalan itu tidak munasabah di mana seseorang itu boleh berhujah bahawa dua ciri penentu negara Malaysia, kedua-duanya ada kaitan dengan identiti bangsa Melayu.

"Umpamanya apakah bahasa negara ini? Melayu, seperti yang digariskan dalam Artikel 152 Perlembagaan Malaysia dan Melayu adalah bahasa orang Melayu. Apa dia agama Negara ini? Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa agama negara ini adalah Islam. Apakah agama orang Melayu? Islam.

"Jadi dua ciri negara ini adalah sebenarnya ciri bangsa Melayu. Oleh demikian untuk menyoal sama ada seseorang itu Melayu dulu atau orang Malaysia dulu, sebenarnya mendedahkan orang yang menyoal itu tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang negara Malaysia," tegas Chandra.

TANAH AIR

Menurut beliau, dalam konteks tertentu seseorang itu mungkin merasa dia Kadazan tetapi dalam apa cara pun ini tidak menjejaskan perasaannya kepada tanah airnya, yakni Malaysia.

"Katakan ada pesta Kadazan dia merasa dirinya Kadazan. Bila datang Ramadan dia merasa dia seorang Muslim. Kerana cintanya kepada pantun, seperti Pak Ungku (Prof Diraja Ungku Aziz) dia merasa dirinya Melayu kerana pantun warisan indah orang Melayu.

"Sama juga dengan orang Cina, apabila tiba perayaan Tahun Baru Cina mereka akan merasa diri mereka lebih orang Cina," kata Chandra, seraya menambah isu yang digembar-gemburkan itu hanya helah politik.

PENERIMAAN ADALAH KUNCI

Tidak dapat tidak, Melayu atau bukan Melayu mempunyai kewajipan dan tanggung jawab untuk membina negara ini.

Dalam hal orang bukan Melayu, kata Chandra, mereka perlu menerima hakikat sejarah dan empati untuk sejarah serta evolusi negara Malaysia -- bagaimana ia berkembang dari sebuah negara Melayu kepada negara Malaysia.

Begitu juga halnya, kata beliau dengan orang Melayu, mereka perlu sedar implikasi realiti semasa penerimaan orang Cina dan India sebagai warganegara dengan hak dan tanggungjawab untuk menjadikan kita masyarakat berbilang etnik yang sebenar.

"Kita tidak akan dapat memahami dan mengambil berat antara satu sama lain selagi kita melihat negara ini menerusi lensa perkauman. Kita mesti mengatasi perasaan mementingkan diri mengikut kaum," tegasnya.

Rakyat Malaysia juga perlu memahami dengan lebih mendalam isi kandungan Perlembagaan dan Rukunegara.

"Kita sepatutnya melakukan ini sejak awal dulu lagi, mengambil langkah untuk membuatkan orang Melayu dan bukan Melayu memahami secara bersungguh-sungguh kedua-dua dokumen penting ini. Kita sepatutnya mengambil langkah supaya rakyat menjiwai Perlembagaan dan Rukunegara dengan sepenuh jiwa dan raga.

"Kita boleh gunakan sistem pendidikan, kita boleh gunakan media. Kita juga boleh gunakan saluran budaya dan agama. Kita telah gagal melakukannya.

"Saban waktu kita tewas kepada tarikan dan tekanan politik perkauman. Dalam lain perkataan mengutamakan politik daripada perpaduan kebangsaan.

"Sekiranya ini berlanjutan kita tidak akan dapat bergerak ke arah mencapai perpaduan yang lebih hebat seperti yang dibayangkan di bawah Wawasan 2020 yang hanya tinggal 9 tahun sahaja lagi," keluh Chandra. - BERNAMA

Artikel Lain