suria

Ramadan Dan Syawal Tiada Beza Bagi Warga Palestin Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Warga Palestin di sini hidup bersama masyarakat majmuk Malaysia dan sebagai Muslimin mereka juga berkongsi banyak persamaan dengan ummah di sini.

Oleh itu bagi kira-kira 1,000 anggota masyarakat Palestin di Malaysia, yang kebanyakannya penuntut dan berkhidmat dalam jurusan akademik, berpuasa semasa Ramadan dan meraikan 1 Syawal (Hari Raya/Aidilfitri) tidak menjadi masalah kepada mereka.

Muslim Abu-Umar, seorang daripada masyarakat Palestin di Malaysia, menjelaskan kepada Bernama pada satu majlis berbuka puasa di sini baru-baru ini, bahawa terdapat persamaan dan kelainan dalam menyambut Ramadan di Malaysia dan Palestin.

PERSAMAAN DAN PERBEZAAN

Mengenai persamaan Muslim berkata bahawa; "Di Palestin kami juga mempunyai bazar Ramadan yang menjual pelbagai jenis juadah dan keperluan lain bagi Syawal.

"Seperti di Palestin, kami melihat pilihan juadah dan barangan yang banyak dan kami suka dengan juadah-juadah yang terdapat di bazar Ramadan di sini".

Rakyat Palestin juga berbuka secara berkumpulan dan majlis berbuka dengan rakan-rakan di Malaysia di sini membuatkan mereka lebih selesa.

Mengenai perbezaan, Muslim menunjukkan sementara rakyat Palestin menyambut Ramadan dan Syawal, Aidiladha (Hari Raya Haji) diraikan dengan lebih meriah.

"Semasa Syawal dan Aidiladha, kami tidak menghidangkan 'ketupat' dan 'rendang' seperti yang dinikmati di sini. Tetapi kami mempunyai juadah tradisi sendiri seperti mahashi," katanya.

Mahashi adalah hidangan seperti roti yang berintikan sayur-sayuran seperti terung, labu kecil, kentang dan lobak merah dan dedaun seperti daun anggur serta kubis.

Mahashi memerlukan masa dan kesabaran untuk disediakan dan dengan itu ia disediakan sehari lebih awal sebelum dimasak dan dihidangkan pada perhimpunan besar.

"Kami juga mengunjungi sahabat handai dan keluarga semasa sambutan. Tetapi, tidak banyak rumah terbuka seperti di sini. Di Malaysia, kami warga Palestin akan menganjurkan majlis rumah terbuka semasa 1 Syawal," katanya.

Muslim terpaksa menyerah kepada takdir yang beliau tidak akan dapat pulang ke tanahairnya sempena Syawal ini kerana keadaan tidak menentu di Palestin buat masa ini dan sebaliknya akan meraikan Ramadan dan Syawal bersama rakan-rakan Malaysia.

BALIK KE PALESTIN

Bagi Saad Adeeb, 26, walaupun berada jauh daripada keluarganya, beliau mempunyai rakan-rakan Palestin di sini dan rakyat Malaysia yang mesra untuk menemaninya dalam meraikan Ramadan dan Syawal.

Beliau menikmati banyak daripada juadah Malaysia khasnya 'nasi goreng ayam'.

"Saya mempunyai ramai rakan Melayu yang menjemput saya ke rumah-rumah terbuka mereka sempena Aidilfitri," katanya.

Saad juga menyatakan kekagumannya selepas melawat beberapa negeri di Malaysia - Pahang, Kedah, Kelantan dan Johor - yang menyebabkan beliau lebih tertarik dengan negara tuan rumah.

Walaupun perbezaan dalam budaya wujud antara warga Malaysia dan Palestin, Saad menunjukkan bahawa keikhwanan menerusi Islam telah membantu mengatasi jurang itu.

Beliau adalah seorang penuntut dalam bidang komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) di Gombak. Beliau tiba di sini pada 2006 dan sejak itu belum pernah pulang.

"Saya mahu pulang ke Palestin tetapi ia bukan mudah kerana larangan perjalanan yang dikenakan oleh pihak Israel. Tugas saya di sini ialah belajar gigih demi masa depan keluarga dan demi kebanggaan negara saya," katanya.

ARAFAT RINDU AKAN ABANGNYA

Arafat Shabana, 27, seorang penuntut kejuruteraan di IIUM berharap beliau akan bersua semula dengan abangnya yang merengkok di penjara Israel selama lebih 20 tahun kerana dikatakan berjuang bagi Palestin.

"Saya sangat merinduinya dan lagipun beliau berada di penjara sejak saya berusia tujuh tahun," katanya.

Arafat percaya yang abangnya tidak bersalah dan berharap akan dibebaskan dengan kadar segera dan bersatu semula dengan keluarga.

Ayah Arafat meninggal dunia lapan tahun yang lepas.

Apabila beliau menjejakkan kaki di Malaysia buat pertama kali empat tahun yang lepas, Arafat berasa bagaikan orang asing tetapi perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara baru.

Setiap Ramadan beliau berdoa kepada Allah agar abangnya dibebaskan, dan bagi semua warga Palestin dan ummah di seluruh dunia supaya dapat hidup aman dan harmoni.

Sementara itu, bagi Hassan Imran, 20, sepucuk surat tawaran daripada IIUM untuk pengajian ijazah berkembar sains politik dan ekonomi pada 2009 membawa beliau ke Malaysia.

IIUM mempunyai masyarakat penuntut Palestin yang aktif memainkan peranan penting dalam menyebarkan kisah kesengsaraan yang diharungi oleh masyarakat Palestin akibat kekejaman regim Israel.

Hassan yang suka 'nasi goreng kampung' dan 'nasi goreng kunyit' berharap untuk belajar setinggi yang mungkin dan kembali ke tanahairnya dengan segulung ijazah.

BERNASIB BAIK UNTUK BERADA DI MALAYSIA

"Assalamualaikum" adalah perkataan pertama daripada pemuda ini, Yassar Al-Shareef, 17, yang tiba di Malaysia dua bulan yang lepas untuk belajar bahasa Inggeris di Elite Language Centre di Kuala Lumpur.

"Saya mahu belajar bahasa Inggeris di sini kerana Malaysia adalah negara Islam yang membuka pintu dengan ikhlas kepada kami," katanya.

Walaupun ini kali pertama beliau berada jauh dari keluarga, namun mempunyai azam yang kuat serta sokongan daripada keluarganya untuk menamatkan pengajian dengan jayanya.

Beliau mengakui amat merindui keluarganya di kampung halaman tetapi berbangga berpeluang belajar di Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan sangat maju.

Diiringi ramah mesra rakyat Malaysia yang tidak asing, warga Palestin di sini mempunyai tempat untuk meneruskan kehidupan di samping menunaikan satu daripada rukun Islam yang penting -berpuasa- bersama saudara Muslimin di sini. - BERNAMA

Artikel Lain