Gua Madu, Tarikan Istimewa Ke Gua Musang

Diterbitkan: Isnin, 15 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Gua Madu. - Foto THE STAR Oleh SAZUKI EMBONG
Gua Madu. - Foto THE STAR Oleh SAZUKI EMBONG

GUA MUSANG: Gua Madu yang terletak di Kampung Batu Papan di pinggir bandar Gua Musang kini semakin terkenal kerana inap desanya mendapat sambutan baik terutama daripada pelancong luar.

Adalah menjadi kemestian kepada pengusaha inap desa di kampung itu membawa pelancong melawat gua batu kapur untuk menyingkap sejarah dan keunikannya.

Gua Madu mendapat namanya kerana terdapat banyak sarang lebah yang menghasilkan madu dalam gua berkenaan. Adalah dipercayai Gua Madu adalah gua yang menjadi tempat terbesar bagi lebah membuat sarang di negeri ini.

Pelancong boleh melihat sendiri beberapa sarang lebah dan bekas lilin yang terhasil daripada madu, dipercayai berusia puluhan tahun yang masih melekat di dinding gua berkenaan.

MADU MENITIK

Menurut penduduk, jika bernasib baik, pelancong akan dapat melihat madu yang menitik daripada sarangnya dan kesan pencari madu terutama di beberapa pokok besar di sekeliling gua sebagai tempat memanjat untuk mendapatkan sarang lebah.

"Kerana begitu banyak sarang lebah, maka dipanggil penduduk setempat sebagai Gua Madu dan kerana sukar untuk mendapatkan madu di dinding gua yang bahaya, ramai pencari madu sudah tidak ke sini lagi," kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKP) Batu Papan, Zamri Zakaria.

Wartawan Bernama yang berkesempatan melawat gua berkenaan turut teruja melihat beberapa sarang lebah itu yang tergantung tinggi di batuan gua berkenaan serta kesan lilin lebah di sekitarnya.

GUA MADU TEMPAT PERSEMBUNYIAN KOMUNIS

Gua Musang pada satu ketika dahulu sememangnya terkenal sebagai tempat persembunyian komunis berdasarkan kepada keadaan geografinya yang banyak terdapat gua batu kapur yang sangat strategik untuk bersembunyi.

Gua Madu adalah satu lokasi persembunyian anggota komunis yang dijadikan markas mengatur strategi.

Seorang penduduk, Latiff Awang, 64, yang juga antara penduduk terawal di Kampung Batu Papan itu pernah beberapa kali terserempak dengan anggota komunis berhampiran gua berkenaan.

"Mereka tidak pernah menakutkan penduduk sekitar dan menjadikan Gua Madu sebagai tempat bersembunyi atau transit sebelum meneruskan perjalanan ke tempat lain," katanya.

Latiff berkata, pernah pada satu ketika beliau terserempak dengan beberapa anggota komunis berkenaan dan diminta oleh mereka untuk membeli barangan termasuk ubat.

"Saya pernah terserempak dengan anggota komunis, paling ramai ketika itu adalah tujuh orang. Masa itu anggota komunis berkenaan tidak bertindak ke atas saya, cuma meminta bantuan untuk membeli ubat-ubatan di bandar lama," katanya.

Dalam Gua Madu itu sebenarnya terdapat beberapa ruang yang dijadikan tempat menyimpan barangan, tempat bermesyuarat dan tempat penginapan.

"Nak masuk ke dalam gua ini memang sukar dan terdapat beberapa tingkat ruang yang dijadikan seperti bilik kepada anggota komunis," katanya.

Beliau berkata disebabkan faktor keselamatan pelawat atau pelancong tidak dibenar memasuki ruang dalam gua berkenaan kecuali di satu bahagian gua yang kini dijadikan sebagai surau untuk bersolat.

Di pintu masuk gua itu kini dipasang pagar besi bagi mengelakkan pengunjung memasukinya selain dikhuatiri boleh dijadikan tempat menagih dadah dan maksiat.

Surau itu juga dilengkapi ruang mengambil wuduk dan lantainya dipasang jubin bagi memudahkan pengunjung untuk bersolat.

Kedinginan air melalui celahan batu gua itu begitu menyegarkan bila membasuh muka atau mandi manda di tempat yang disediakan oleh penduduk kampung.

KAMPUNG BATU PAPAN KINI SEMAKIN TERKENAL

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan dengan kerjasama penduduk kampung telah bekerjasama untuk menjadikan Kampung Batu Papan sebagai lokasi persinggahan utama pelancong ke Gua Musang.

Sejak awal 1980 lagi, beberapa peruntukan telah disalurkan oleh Kesedar seperti menjaga Gua Madu dengan dilengkapi prasarananya terutama tandas awam dan kedai makan.

JPS pula telah membina satu jambatan gantung merentasi sungai untuk ke gua berkenaan serta pengindahan tebing sungai bagi mencantikkan lagi suasana ke gua berkenaan.

Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan pula menyalurkan peruntukan melalui Kementerian Pelancongan bagi menarik minat seberapa ramai penduduk kampung itu menjadikan rumah mereka sebagai inap desa.

Kini terdapat 180 buah rumah dijadikan inap desa dan dijadikan lokasi hampir lebih 1,000 pelancong asing seperti Jerman, Amerika Syarikat, Jepun dan rantau ASEAN untuk berkunjung ke kampung itu.

"Harga yang kami tawarkan kepada pelancong sangat istimewa dan anda boleh berunding untuk kadar sewa termasuk makan dan minum serta pakej merasai hidup di perkampungan," kata Zamri.

Kampung itu juga pernah dinobatkan sebagai Inap Desa Terbaik Kelantan beberapa tahun lepas dan disenaraikan dalam kalendar pelancongan sebagai tempat utama untuk dilawati di Kelantan terutama jika ke Gua Musang.

Di kampung itu juga terdapat beberapa buah kolam ikan yang dibina oleh penduduk kampung bagi menarik minat pelancong.

"Alhamdulillah Kampung Batu Papan dan Gua Madu ini semakin terkenal dan dapat menjana pendapatan kepada penduduk kampung ini," katanya.

Mereka yang berminat untuk menerokai kawasan ini boleh menghubungi Zamri di talian 019-9123400. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan