Dari Dusun, Durian Kini Ke Bangunan Batu

Diterbitkan: Isnin, 1 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Durian boleh dibuat kuih-muih dan lain-lain produk makanan.
Durian boleh dibuat kuih-muih dan lain-lain produk makanan.

KUALA LUMPUR: "Man, baliklah kampung. Sekarang musim durian". Panggilan telefon sebegini bagaikan sudah menjadi satu kemestian tatkala musim buah-buahan, terutama durian.

Ketika itu, tidak kiralah sama ada dusun itu milik ibu bapa mahupun saudara-mara, aktiviti balik kampung menjadi wajib.

Malah kawan-kawan yang tidak mempunyai dusun durian pun turut rajin ikut balik kampung kerana tidak mahu terlepas peluang menikmati Raja Buah itu.

Keenakan, kelembutan, keharuman dan kekuningan buah durian yang diambil segar sebaik sahaja ia gugur, menjadi momen ditunggu oleh penggemar fanatik buah itu setiap kali tibanya musim durian.

Menariknya, senario "muafakat" menghimpunkan keluarga dan kawan-kawan ke dusun, kini menular ke bandar.

SILATURAHIM DIPERERAT

"Pesta Durian" kini dianjurkan di mana-mana sekitar ibu kota Kuala Lumpur dan bandar besar lain.

Ini kerana peminat fanatik durian terdiri daripada pelbagai kaum.

"Saya boleh makan sekurang-kurangnya dua biji durian dalam satu masa," kata Kisho Kumar yang suka berkumpul dengan kawan-kawan untuk menikmati keenakan buah kegemarannya.

Justeru, apabila trend pesta durian semakin mendapat tempat dalam kalangan sektor korporat, hotel dan pelancongan, ia dilihat sebagai lembaran baru ke arah mengeratkan lagi kemuafakatan pelbagai kaum ini.

Secara tradisinya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menganjurkan pesta durian setiap tahun.

"Suasananya cukup meriah, cukup mesra. Dengan menghimpunkan pelbagai bangsa, sekali gus boleh mengeratkan lagi hubungan hanya dengan memakan buah durian," kata Ketua Pengarah Fama Ahmad Ishak.

PELANCONG SEBAGAI DUTA

Kini durian dibawa ke premis popular seperti Menara Kuala Lumpur.

Hasil kerjasama dengan Fama baru-baru ini, Menara KL menganjurkan pesta itu yang merupakan strategi terbaik mempopularkan raja buah itu dalam kalangan pelancong, kata Ahmad.

Bersesuaian dengan lokasinya di segitiga emas, di tengah-tengah bandar, Menara Kuala Lumpur menjadi tumpuan pelancong dan penggemar durian buat beberapa hari.

"Kami memang sentiasa mengalu-alukan pihak seperti Menara Kuala Lumpur untuk bersama-sama dengan Fama dalam menggalakkan pesta seperti ini.

"Ini kerana bukan sahaja ia (pesta durian) menjadi tumpuan pelancong domestik malah pelancong luar. Dan apabila mereka (pelancong luar) merasai kenikmatan dan keenakan buah durian kita, mereka akan bertindak sebagai 'duta' dan mempromosinya apabila kembali ke negara mereka," katanya.

TARIK MINAT

Sungguhpun popular, pengambilan durian mahu ditingkatkan lagi, kata Ahmad.

Kajian mendapati lebih kurang 230,000 tan durian dimakan di negara ini berbanding pengeluarannya sebanyak 300,000 tan setahun. Ini bermakna, masih terdapat 70,000 tan lagi durian yang boleh digunakan, sama ada untuk dimakan atau dijadikan produk sampingan.

"Satu daripada usaha kita ialah menganjurkan kempen lebihkan makan buah-buahan tempatan dengan slogan `Lebihkan makan buah-buahan tempatan, pilihan tepat dan berkhasiat'.

"Itulah kempen yang dianjurkan kerajaan sejak tahun 70-an lagi. Untuk itu, kami telah buat pelbagai program makan buah-buahan tempatan termasuk pesta durian di Muzium Telekom sejak tahun 2009, durian ke universiti, sekolah dan sebagainya," katanya.

Menyimpulkan penganjuran pesta durian oleh sektor korporat termasuk Menara Kuala Lumpur sebagai satu tanggungjawab sosial korporat, Ahmad berkata ia juga bertindak memartabatkan Raja Buah ini kepada orang ramai.

Sekiranya sebelum ini durian dianggap sebagai buah kampung, senarionya berbeza kini, malah hotel bertaraf 5-bintang juga membuka pintu mengadakan pesta makan durian.

"PESTA DURIAN" BANTU PENDUSUN DAN PENIAGA KECIL

Meraih sambutan memberangsangkan selama empat hari, pesta durian yang diadakan di Menara Kuala Lumpur pada 21-24 Julai, akan dijadikan aktiviti tahunan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zuraidah Mohd Said.

Hanya dengan membayar RM20 untuk dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak, pengunjung berpeluang memakan buah durian berkualiti "Musang King" dan "D24" sehingga kenyang.

Empat hari kemudian pesta durian dirancakkan pula di Muzium Telekom selama tiga hari bermula 25 Julai.

"Seramai 5,000 pengunjung memeriahkan pesta durian di Menara Kuala Lumpur. Mulai tahun depan, kami akan anjurkan pesta durian ini dua kali setahun, iaitu pada bulan April dan Julai.

"Menerusi kerjasama dengan Fama, penganjuran pesta durian ini sekali gus akan membantu pemilik dusun dan pekebun kecil," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan