Memperbaharui Semangat Sambutan Hari Pahlawan

Diterbitkan: Khamis, 28 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hari Pahlawan disambut dengan nama berlainan di setiap negara dalam memperingati mereka yang berjuang dan berkorban demi tanah tumpah darah masing-masing.

Britain, Australia dan New Zealand masing-masing meraikan 'Remembrance Sunday'(ataupun Poppy Day), 'Remembrance Day' dan 'Anzac Day', dan Malaysia juga mewarisi tradisi Komanwel ini dan menunjukkan penghargaan kepada wira-wiranya melalui Hari Pahlawan.

Sementara sebahagian besar negara Komanwel menyambutnya dengan penuh istiadat dan membabitkan setiap peringkat masyarakat, di Malaysia ia agak dingin kerana penyertaan terhad anggota masyarakat dan inilah yang Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) mahu melihat perubahan.

“Kita terhutang budi kepada pengorbanan mereka, jadi sewajarnya kita semua perlu terlibat sama dalam menyambut Hari Pahlawan,” kata Ketua Pengarah JHEV Mej.Jen.Datuk Zulkiflee Mazlan.

Dari awal lagi Zulkiflee menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa Hari Pahlawan yang akan diraikan pada Ahad ini adalah acara signifikan dan satu wadah bagi mereka menunjukkan patriotisme kepada negara.

“Kita meraikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia serta anggota bekas askar British Malaya, Sarawak Ranger, pasukan polis hutan, pasukan Home Guard dan yang lain.

"Tidak kira mereka anggota tentera atau polis yang pernah berbakti dengan menggadai nyawa demi masa depan bangsa, mereka semua ini pahlawan,” kata Zulkiflee dengan penuh semangat.

Tanggal 31 Julai ditetapkan sebagai Hari Pahlawan sempena hari pengisytiharan tamatnya zaman Darurat pada 1960. ATURCARA SAMBUTAN Zulkiflee, lulusan Royal Miltary Academy Sandhurst di United Kingdom, berkata aturcara sambutan Hari Pahlawan kali ini termasuk perbarisan, ucapan Yang di-Pertuan Agong, deklamasi sajak dan perbarisan.

Dan buat kali kedua, sambutan akan berlangsung di Dataran Merdeka di pusat bandar raya selepas berpindah daripada Tugu Negara pada 2010. Bagaimanapun majlis tahlil, bacaan doa selamat dan bacaan yasin akan diadakan di Masjid Negara.

“Tetapi di masa akan datang, sambutan itu mungkin dipindahkan ke Dataran Pahlawan yang masih dalam pembinaan di Putrajaya,” kata pemegang sarjana dalam Strategi Keselamatan Negara dari National Defense University, Washington itu. PENGHAYATAN HARI PAHLAWAN Beliau menyedari penghayatan Hari Pahlawan dalam kalangan warga negara tidak cukup menyeluruh berbanding di Britain, Australia, Amerika Syarikat dan New Zealand.

“Mereka menyambut Hari Pahlawan masing-masing dengan cuti umum, perarakan kebangsaan dan pelbagai majlis khusus untuk veteran seperti tarian, perkelahan barbeku dan perlawanan sukan,” terang Zulkiflee.

Paling penting, semua yang terlibat akan menyumbang kepada tabung rayuan dan memakai pin bunga popi merah malahan generasi muda dan pelajar sekolah atau universiti, pasti memakai bunga popi dengan perasaan bangga.

Lantas beliau berharap supaya Hari Pahlawan dijadikan satu sambutan kebangsaan sekaligus membolehkan orang ramai sama-sama terlibat memberi penghormatan kepada pahlawan.

“Kita bimbang, apabila masyarakat tidak terlibat, mereka tidak tahu tentang sambutan itu hingga menyebabkan terhakisnya rasa penghargaan kepada pahlawan.

“Zaman telah berubah, orang zaman dulu menghargai perjuangan veteran kerana mereka hidup susah di dalam suasana huru-hara ekoran perang, sedangkan generasi selepas perang hidup aman sejahtera,” katanya.

HARI PAHLAWAN UNTUK SEMUA Beliau mengakui sementara JHEV membantu dan berusaha memenuhi keperluan veteran setiap hari, Hari Pahlawan adalah hari istimewa yang memberi peluang kepada orang awam untuk menghargai dan memberi penghormatan kepada veteran.

Justeru, beliau berharap agar rakyat Malaysia dapat terlibat sama memperingati perjuangan pahlawan sekaligus memahami bahawa kehidupan merdeka yang dinikmati kini tidak mungkin tercapai tanpa pahlawan-pahlawan ini.

Selain itu, beliau berharap lebih banyak kisah perjuangan dalam dan luar negara ditampilkan dalam media massa, tidak kira dalam bentuk dokumentari, filem atau drama yang berkualiti dan menarik khususnya menerusi saluran percuma agar lebih ramai dapat menontonnya.

"Badan bukan kerajaan, korporat dan swasta mungkin boleh bekerjasama dengan media popular untuk mengadakan pertandingan seperti deklamasi sajak, mencipta lagu, menjual bunga raya Rayuan Pahlawan dan sebagainya," cadang beliau. RAYUAN HARI PAHLAWAN

Zulkifli menjelaskan bahawa semua wang yang bakal dikumpul akan disumbangkan kepada veteran warga negara yang memerlukan termasuk balu dan anak yatim melalui persatuan yang mewakili mereka.

Beliau turut meminta mereka yang layak tetapi tidak diwakili oleh mana-mana persatuan supaya tampil mengemukakan bukti perkhidmatan tentera atau menghubungi talian 03-20508000.

Akhir sekali, Zulkiflee berharap agar Hari Pahlawan dan Kempen Rayuan Hari Pahlawan dapat disemarakkan dalam kalangan masyarakat umum demi mengekalkan semangat, kesedaran dan penghargaan kepada pahlawan negara khususnya dalam kalangan generasi muda dan baru.

Setidak-tidaknya, kata beliau, orang ramai boleh membalas jasa pahlawan dengan menderma kepada Tabung Rayuan Hari Pahlawan 2011 serta menyematkan pin bunga raya di dada sempena kempen rayuan yang berlangsung antara 15 Julai dan 15 Oktober.

Kempen ini akan dilancarkan oleh penaung kempen, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, pada 29 Julai di Kompleks Kraftangan Kuala Lumpur. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan