Kemurungan Isu Masyarakat Moden Yang Semakin Serius

Diterbitkan: Isnin, 25 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua bekas presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln dan Theodore Roosevelt pernah mengalaminya pada suatu ketika.

Malah beberapa seniman agung seperti pemuzik Beethoven, penulis Edgar Allen Poe dan Mark Twain serta pelukis Vincent van Gogh turut melalui pengalaman yang sama.

Ini membuktikan kemurungan tidak mendiskriminasi sesiapa.

Dalam satu kajian, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati kemurungan klinikal ialah penyakit keempat dalam ranking penyakit penyebab ketidakupayaan paling teruk dan dijangka akan naik pada kedudukan kedua menjelang 2020.

SIMPTOM KEMURUNGAN

Gejala atau simptom kemurungan berbeza-beza, tetapi secara amnya, mangsa mengalami perasaan negatif untuk jangka masa yang panjang seperti kehilangan minat atau kehendak untuk hidup dan anhedonia atau hilang perasaan nikmat kehidupan.

Tanda lain termasuk perubahan berat badan dan selera makan secara drastik, gangguan tidur, kesunyian, mudah terasa, mudah cemas, kepenatan, dihantui perasaan tidak berguna, sering rasa bersalah, kurang bertenaga, hilang tumpuan dan rendah diri.

Kemurungan juga boleh termanifestasi dalam pelbagai bentuk masalah fizikal seperti sakit belakang, pening, masalah gastrik dan lain-lain sakit kronik.

Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakar menjelaskan bahawa kemurungan sebenarnya sangat berbeza dengan kesedihan.

“Diagnosis kemurungan ialah mempunyai lima atau lebih gejala berkaitan selama sekurang-kurangnya dua minggu yang cukup teruk hingga mengganggu prestasi kerja dan kehidupan sosial,” jelasnya.

Ia boleh menjadi kronik sehinggakan menjurus kepada membunuh diri.

“Apapun, kebanyakan kes kemurungan sebenarnya boleh dirawat dengan ubat atau melalui psikoterapi,” kata Abdul Kadir dalam satu temu bual baru-baru ini.

"Tanpa rawatan sewajarnya, gejala yang dialami pesakit boleh mengambil masa sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun," ujar Abdul Kadir.

KECENDERUNGAN BUNUH DIRI Pakar bersetuju bahawa sekiranya seseorang itu nekad untuk membunuh diri, tiga jenis perasaan telah terbentuk di dalam dirinya, iaitu - tidak lagi tahan untuk menanggung azab, tidak lagi mampu melarikan diri dan tidak upaya lagi menghadapi ketentuan.

Rekod Daftar Statistik Bunuh Diri Malaysia mencatatkan seramai 731 (545 lelaki dan 186 wanita) membunuh diri dalam tempoh tiga tahun antara 2007 hingga 2010.

Daripada angka itu 321 kes melibatkan individu yang berkahwin, 298 bujang, 34 orang balu dan 29 orang yang bercerai.

Statistik itu merupakan sebahagian daripada laporan Kabinet yang dibentangkan di Dewan Negara April lalu.

Kajian WHO mendapati, penyebab utama kematian akibat bunuh diri adalah kemurungan.

WHO turut menganggarkan bahawa di rantau Asia Pasifik, orang yang mati akibat bunuh diri sebenarnya lebih ramai berbanding mati akibat tuberculosis.

Senario bunuh diri dijangka akan meningkat sekiranya masyarakat enggan bersikap terbuka terhadap isu yang berkaitan dengan masalah sosio-ekomoni yang boleh menjurus kepada isu psikiatrik.

WANITA MUDAH ALAMI KEMURUNGAN

Kajian mendedahkan bahawa dalam satu-satu masa, sekitar lima hingga 10 peratus anggota masyarakat berdepan dengan episod kemurungan yang memerlukan bantuan psikiatri atau bantuan psikososial.

Tetapi, wanita mempunyai kadar risiko yang lebih tinggi berbanding lelaki iaitu sekitar satu nisbah dua kebarangkalian untuk mengalami episod kemurungan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Saintis percaya kekerapan itu berpunca daripada beban mengimbangi pelbagai peranan sebagai suri rumahtangga, tugas profesional, isteri dan ibu.

Berbeza dengan wanita, lelaki sering merawat sendiri kemurungan dengan terjebak dalam kegiatan tidak sihat seperti dadah dan arak sekaligus menyebabkan isu kemurungan sukar dikesan.

Kajian juga menunjukkan bahawa penyakit kemurungan ini lebih mudah menyerang pada tempoh paling produktif seseorang individu, iaitu mereka yang berusia kurang 45 tahun, berbanding mereka yang lebih tua.

MENTAL DAN FIZIKAL SALING BERKAITAN

Dr Abdul Kadir menegaskan bahawa kesihatan mental dan kesihatan fizikal adalah dua perkara berbeza tetapi sama penting dan saling berkaitan.

“Kedua-dua komponen ini mesti seimbang bagi membolehkan seseorang menjalani kehidupan yang lebih sejahtera, memiliki hubungan kekeluargaan yang baik dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.

“Hakikatnya di Malaysia, rakyat yang mengalami kemurungan sebenarnya lebih ramai berbanding angka yang telah dikenalpasti mengalami masalah itu," katanya.

Beliau berkata ramai yang malu tampil mendapatkan bantuan ekoran stigma negatif masyarakat yang masih mempunyai mentaliti dunia ketiga apabila menyentuh isu berkaitan masalah psikiatrik.

Beliau turut menekankan bahawa ramai dalam kalangan pengidap yang didiagnos tidak menerima rawatan sewajarnya ekoran pelbagai halangan, turut sekaligus menghalang mereka kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif.

“Hanya melalui pendidikan, lebih ramai akan sedar dengan isu ini dan akan tampil mendapatkan rawatan sewajarnya atau sekurang-kurangnya berbincang dengan pegawai perubatan,” ujarnya.

DAPATKAN BANTUAN SEBELUM TERLAMBAT

Justeru, apa yang boleh dilakukan jika anda mendapati ahli keluarga, rakan atau diri anda sendiri mungkin mengalami tekanan atau kerunsingan sehingga mengganggu urusan harian atau produktiviti kerja?

Dr Abdul Kadir menjelaskan bahawa meluahkan perasaan sebenarnya satu perbuatan yang sihat, tetapi sukar dilakukan, ekoran merasa malu dianggap bermasaalah.

Justeru, cara yang mungkin lebih berkesan ialah, meluahkan perasaan melalui saluran yang betul kepada orang yang tidak dikenali iaitu perkhidmatan kaunseling yang kini disediakan di banyak hospital.

Mereka yang tidak sanggup bersemuka dengan kaunselor dicadangkan menghubungi talian bantuan The Befrienders iaitu 03-79568145 yang dibuka sepanjang hari.

Pengerusi The Befrienders, S. Gangadara Vadivel menerangkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyediakan ramai sukarelawan yang bersedia memberikan sokongan emosi kepada yang memerlukan.

“Pemanggil kami seringkali merupakan mereka yang berada dalam keadaan takut, marah, sedih, sunyi atau murung yang perlu meluahkan perasaan tentang pelbagai masalah keluarga, kerja, perhubungan, wang dan sebagainya,” jelas Gangadara.

Beliau memberi jaminan bahawa pemanggil akan dilayan dengan penuh rasa hormat dan setiap panggilan adalah sulit.

“Malahan kami tidak akan menyimpan sebarang rekod bagi memastikan rahsia atau masalah pemanggil selamat dengan kami,” ujarnya. – BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan