suria

Obsesi Pada Kurma

KOTA BAHARU: Dalam mengharungi dunia perniagaan Chua Hock Tee betah mengerah keringat dan melalui jatuh bangun mencari rezeki.

Pengalaman Chua, 52, unik, kerana anak jati ibu negeri Che Wan Siti Kembang ini menceburi perniagaan buah kurma yang lazimnya diusahakan oleh umat Islam.

Syarikatnya Omni Mal Agencies Sdn Bhd, merupakan syarikat pengedar dan pembungkus kurma terbesar di Kelantan dan beliau merupakan antara sebilangan kecil bukan Islam yang berniaga kurma.

Chua yang juga pengarah urusan syarikat itu ketika membuka butir bicara dengan penulis berkata kecintaannya terhadap keistimewaan 'buah ajaib' itu menjadi dorongan utama untuk beliau dan keluarga menjadikan buah kurma sebagai punca utama rezeki.

OBSESI PADA KURMA "Buah kurma terlalu istimewa, pelik dan unik.

"Semakin saya mempelajari dan mengetahui mengenainya, semakin banyak ilmu saya dapat dan semakin saya teruja untuk terus mengkaji keistimewaan buah ini yang bagaikan tiada penghujung," katanya kepada Bernama.

"Saya mula jatuh cinta pada kurma ketika belajar di Amerika Syarikat di peringkat ijazah dan sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan. Ketika itu saya banyak berkawan dengan pelajar dari Iran, Palestin dan Algeria. Setiap kali mereka pulang dari kampung masing-masing, mereka akan membawa buah kurma untuk dikongsi.

"Apabila merasa buah kurma yang dibawa dari negara mereka, terdetik di hati, kenapa kurma ini begitu sedap sekali, rasanya jauh berbeza dengan kurma yang pernah dirasai di Malaysia.

"Saya kemudian mula bertanya mereka dan seorang rakan yang keluarganya memiliki ladang dan perniagaan kurma tidak lokek ilmu bercerita segala-galanya mengenai buah berkenaan sehingga saya mahu terus mengenali buah itu," katanya.

KAJIAN UNTUK KEPUASAN

Chua berkata ada antara rakan-rakannya yang hairan kenapa beliau yang belajar jauh di luar negara sehingga memiliki Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan pulang menetap di kampung halaman dan hanya meneruskan hidup bersama perniagaan kurma.

"Setiap tahun saya akan lawat negara-negara Arab untuk belajar mengenai kurma, saya akan melawat ladang kurma, menemui peniaga mahupun pengusaha tanaman kurma untuk mengetahui lebih lanjut mengenai buah ini, bukan kerana semata-mata mencari buah berkualiti untuk dipasarkan sebaliknya untuk memenuhi kepuasan diri dan melengkapkan banyak persoalan yang timbul mengenai keistimewaan kurma," katanya.

"Pada tahun 1998, ketika saya mula serius untuk mengusahakan perniagaan kurma, saya ke Iran untuk mencari ilmu mengenai buah ini.

"Walaupun tidak mengenali sesiapa di negara itu, saya bernasib baik kerana bertemu seorang peladang yang sudi menerangkan mengenai kurma serta menunjukan saya jenis-jenis kurma yang berkualiti dan juga kurma yang tidak wajar dipasarkan kepada pelanggan, dari situ saya mula belajar," katanya.

KAGUM DENGAN KURMA NABI

Chua, meskipun bukan beragama Islam, berkata hasil pembelajaran tidak rasminya mengenai kurma menunjukkan terdapat 1,400 jenis kurma di seluruh dunia dan daripada jumlah itu, kurma Ajwa merupakan yang paling dikaguminya.

Jelasnya kurma berkenaan yang dianggap sebagai yang terbaik di dunia merupakan kegemaran Nabi Muhammad SAW yang mempunyai fadilat seperti menguatkan urat perut, mengendurkan urat saraf dan melembutkan perangai.

"Ajwa sejenis kurma lembut dan kering yang ditanam di Kota Madinah. Dalam sejarah ada menyebut, kurma Ajwa yang pertama ditanam oleh Rasulullah SAW di tanah berhampiran Masjid Quba, Madinah.

Chua berkata kurma kini seharusnya dijadikan pilihan makanan kudapan atau menggantikan makanan ringan yang rata-rata mengandungi karbohidrat, garam, lemak dan gula berlebihan yang boleh membawa pelbagai jenis penyakit.

Tetapi lebih daripada itu, kurma memberi tenaga segera kepada tubuh.

MENGANGKAT TARAF BUAH AJAIB

Chua, yang menjalankan operasi perniagaannya di pejabat dan kilangnya yang terletak di Kawasan Perindustrian 2 Pengkalan Chepa, dekat sini berkata Rasulullah SAW sendiri mengangkat tinggi taraf buah kurma kerana mempunyai nilai-nilai kesihatan yang baik termasuk kandungan kalori dan karbohidrat yang mudah dicernakan oleh tubuh.

Justeru, katanya, beliau seketika dahulu hairan kenapa di negara ini dan kebanyakan negara lain kurma hanya dijual di dalam guni-guni di tepi jalan dan terdedah tanpa penutup.

Bahkan, katanya, paling tidak kurma dijual dalam bentuk kotak biasa dan jarang sekali menemui kurma yang dibungkus dalam bekas dengan reka bentuk yang unik.

Justeru beliau yang menyifatkan kurma seumpama 'buah ajaib' itu berkata kurma seharusnya dijual dengan inovasi pembungkusan yang indah sesuai dengan keistimewaan buah berkenaan terutama buah kurma Nabi.

"Dari situ saya terfikir kenapa tidak saya menjadi orang pertama yang bukan sekadar menjual kurma sebaliknya menjual dengan pembungkusan yang cantik, yang sesuai untuk diberikan sebagai hadiah kepada rakan dan saudara mara sepanjang masa, bukan sekadar untuk bulan Ramadan," katanya.

INOVASI PEMBUNGKUSAN KURMA

Bertitik tolak daripada pemerhatiannya terhadap teknik pembungkusan kurma di pelbagai negara, Chua lalu mengambil keputusan untuk mewujudkan satu inovasi pembungkusan kurma yang menarik lain daripada yang lain.

"Selain memastikan kurma yang dijual syarikat saya adalah yang terbaik kerana bersih dan berkualiti, setiap tahun dengan tema baru, kurma yang dijual akan tampil dalam bungkusan yang menarik.

"Tahun ini contohnya, kurma kami bertemakan 'The Dome' iaitu dibungkus dalam tin berbentuk kubah masjid dihiasi corak eksklusif yang boleh dikatakan pertama dihasilkan di negara ini," katanya.

Chua berkata 'The Dome' yang direkabentuk daripada tin logam dan kedap udara diimport dari Hong Kong serta mampu memuatkan kira-kira 250 sehingga 400 gram kurma.

Jenis kurma yang akan diisi dalam 'The Dome' merupakan kurma Ajwa yang disira bersama minyak Habbatus Sauda, iaitu minyak daripada sejenis bunga yang dikatakan berkhasiat untuk kesihatan.

"Selain kurma Nabi, satu jenis kurma lagi akan mengisi tin 'The Dome' iaitu kurma Mariami (Piarum) yang juga telah disira khas dengan minyak Habbatus Sauda," katanya.

IMPORT KURMA DARI IRAN

Chua berkata bukan sekadar inovasi pembungkusan yang dititikberatkan syarikatnya, paling utama adalah kualiti dan kebersihan kurma.

Beliau mengimport kurma dari Iran dan kurma itu dipastikan yang terbaik dan diproses dengan mesin bagi menjamin kebersihannya.

"Sebelum memilih untuk mengimport kurma terbaik, saya mengadakan lawatan ke beberapa negara Arab dan di Iran terdapat satu kilang yang memproses buah kurma dengan hasilnya berkualiti dan bersih, lalu ia menjadi pilihan saya bagi memastikan rakyat Malaysia berpeluang merasai kurma terbaik sebagaimana kurma yang pernah saya rasai ketika saya belajar dahulu," katanya.

PENTINGNYA KURMA BERKUALITI

Chua menjelaskan pentingnya memilih kurma berkualiti kerana berdasarkan pengalamannya dengan penanam kurma di Asia Barat, kebanyakan pengeksport kurma dari Malaysia mahukan buah kurma dalam kuantiti yang banyak pada harga yang murah.

Justeru penanam kurma di Asia Barat terpaksa mengambil buah kurma putik yang belum masak dan direndamkan dengan air gula yang mendidih untuk menjadikan kurma itu manis dan berat.

"Ia memberi keuntungan kepada peniaga kurma di Malaysia kerana timbangan kurma berat serta buahnya manis sedangkan khasiatnya tiada dan ia bukanlah kurma yang masak secara semula jadi," katanya.

BERNIAGA KURMA BUKAN IKUT TREND

Chua kini hampir 15 tahun bergelumang dalam dunia perniagaan buah kurma, namun tidak berniaga produk kegemaran umat Islam ini semata-mata mengikut trend dan sekadar meraih keuntungan.

Buktinya sepanjang 15 tahun menjalankan perniagaan, Chua langsung tidak dikenali meskipun produknya gah terpamer di pelbagai pasar raya di seluruh negara antaranya di Suria KLCC, Jaya Jusco, Mydin, Tesco, Isetan, Cold Storage, Pacific dan Giant.

"Biarlah saya tidak dikenali. Saya senang begini kerana saya hanya orang biasa yang menjalankan perniagaan, apa yang penting kurma syarikat saya lebih terkenal dengan kebersihan dan kualitinya yang baik," kata Chua.

MILIKI BEBERAPA PRODUK LAIN

Chua, walaupun lebih dikenali kerana kurma, sebenarnya perniagaan beliau tidak terhad kepada kurma sahaja.

Syarikatnya mengimport barang makanan bermutu tinggi dari Asia Barat yang kemudian dibungkus dalam bungkusan menarik, bersih dan sesuai dengan keperluan pasaran.

Jenama utama produk di bawah syarikat berkenaan ialah Gurun Emas, Date-Licious dan Suri 2020.

Kurma jenama Gurun Emas dan Date-Licious syarikat itu selain dijual kepada individu dan syarikat sebagai hadiah, ia turut dijual bagi pemberian zakat. -BERNAMA

Artikel Lain