A380 Bawa Pengembaraan Mewah Ke Tahap Baru

Diterbitkan: Ahad, 17 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Cuba bayangkan diri anda sedang merehatkan kaki di bangku mewah atau mendapat urutan "kerusi urut lounge hotel lima bintang" semasa berada dalam penerbangan di awan yang berketinggian 38,000 kaki.

Bunyi agak futuristikkan? Tetapi tidak sebenarnya, jika kita menggunakan perkhidmatan penerbangan salah sebuah daripada 51 pesawat Airbus A380 yang pada masa ini mengadakan perkhidmatan penerbangan ke seluruh dunia.

Ia lebih-lebih lagi jika kita berada di dalam kelas pertama pesawat itu yang kini digelar kabin yang "melangkaui kelas pertama".

Dengan ruang yang begitu mewah, kapal terbang terbesar dan paling canggih dunia buat masa ini, A380, membolehkan ciri-ciri yang dinyatakan di atas menjadikan generasi baharu pengembaraan udara mewah masa kini satu realiti.

Lebih 12 juta penumpang dikatakan telahpun menikmati pengalaman pengembaraan A380 dan angka ini dijangka terus meningkat jika tempahan terbaharu untuk 12 A380 tiga dek (termasuk kargo dan tempat bagasi) bernilai US$4.5 bilion di Pameran Udara Paris bulan lepas diambilkira.

"Syarikat penerbangan yang menggunakan A380 boleh menyesuaikan reka letak kabin dan tempat duduk mengikut kesesuaian mereka. Mereka boleh menyusun atur tempat duduk, lounge dan juga kawasan tempat makan persendirian sama ada di kabin kelas pertama atau kelas perniagaan seperti yang dimahukan oleh mereka," kata James Williams, Penganalisis Pemasaran Kanan A380 kepada wartawan Malaysia semasa lawatan ke ibu pejabat Airbus di Toulouse, Perancis baru-baru ini.

Lawatan itu adalah sebahagian daripada Lawatan Familiarisasi Media Malaysia Airlines ke Perancis baru-baru ini di mana MAS telah menandatangani beberapa niaga janji di Pameran Udara Paris 2011 termasuk pembelian kapal terbang sebagai sebahagian daripada rancangan modenisasi rangkaian kapal terbangnya.

"Sebuah syarikat penerbangan telah mengekalkan keseluruhan kabin kelas pertamanya di dek atas, lengkap dengan kawasan lounge sementara sebuah lagi telah mencampurkan pilihan dengan mengadakan kedua-dua kelas pertamanya di bahagian dek utama dan atas," kata William.

MAS, yang akan menerima A380 pertamanya pada pertengahan tahun depan, berkata yang ia akan memperkenalkan kelas baru pengembaraan, kelas ekonomi mewah di atas A380nya. Pesawat itu kemungkinan digunakan untuk laluan Kuala Lumpur-London.

Mengulas mengenai pesawat itu semasa lawatan awal ke kilang A380 di Toulouse di mana A380 pertama MAS sedang menjalani pemasangan akhir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin berkata pembelian A380 oleh syarikat penerbangan ini akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan penerbangan utama dan terkemuka.

Beliau juga berkata kapal terbang itu adalah yang terbaik syarikat.

Ditanya apakah jenis teknologi yang digunakan untuk pesawat seumpama itu, Keith Stonestreet, Pengarah Pemasaran Produk A380 pula berkata,"Ia semuanya berada di dalam teknologi aerodinamik canggih Airbus".

Sementara itu, sebuah syarikat EADS (Pertahanan dan Angkasa Aeronautikal Eropah), pengeluar pesawat terkemuka, yang membelanjakan berbilion Euro untuk penyelidikan dan pembangunan, telahpun meninjau bagaimana orang ramai akan mengembara dalam tahun 2050.

Sehubungan itu, para pelawat ke Pameran Udara Paris telah diperkenalkan kepada Kabin Konsep Airbus dan peluang untuk mengalami sendiri "Future of Flight Film" Airbus, iaitu tayangan filem planetarium yang memperlihatkan inovasi masa depan dalam pengembaraan udara.

Kabin Konsep itu menonjolkan bagaimana zon-zon yang diperibadikan akan menggantikan kelas-kelas kabin tradisional dan bagaimana selain daripada teknologi untuk mengurangkan pembakaran bahan bakar, pemancaran, sisa dan bunyi bising, penumpang boleh menjangkakan ciri-ciri yang lebih pintar, eko dan mesra sihat yang akan memberikan mereka perjalanan segembira yang mereka nikmati di destinasi mereka dan juga kemungkinan mengembara dalam kapal terbang yang lutsinar yang membolehkan mereka menikmati pemandangan di luar kapal terbang.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan