Kesederhanaan Tun Abdul Razak Jadikan Beliau Seorang Pemimpin Disegani

Diterbitkan: Khamis, 7 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Berbekalkan sebuah 'basikal' dan tanpa mengira panas serta mendung, Perdana Menteri kedua, allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengorak langkah menyelami kehidupan penduduk luar bandar.

Sedikit pun beliau tidak rasa kekok mahupun malu untuk mengayuh basikal melintasi kawasan sawah padi, pertanian dan perumahan orang kampung.

Malah, dijadikan pula sebagai alternatif bagi anak sulung kepada Orang Kaya Indera Shahbandar Datuk Hussein Mohd Taib dan Teh Fatimah Daud ini mendekati rakyat.

Biarpun dilahirkan dalam keluarga bangsawan kerana bapanya adalah seorang daripada empat orang besar Diraja Pahang, yang mempunyai hubungan erat dengan Istana Pahang, namun apa yang pasti tiada jurang atau unsur elitism dalam keperibadian Tun Abdul Razak.

Justeru, sesuatu tidak menghairankan apabila beliau yang juga digelar sebagai Bapa Pembangunan amat terkenal dengan sikap kesederhanaan biarpun telah menceburi bidang politik sehingga menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Keperibadian kesederhanaan beliau turut terserlah apabila sanggup menginap di hotel murah serta tidak akan menukar sesuatu perabot di kediaman rasminya, Sri Taman sekiranya masih boleh digunakan lagi.

Begitulah uniknya sikap Tun Abdul Razak yang tidak ada pada pemimpin lain ketika itu dan ini diakui sendiri Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Ghapa Harun.

"Pengalaman sosialisasi beliau membesar di kampung selama 10 hingga 12 tahun membentuk sifat kesederhanaan dalam dirinya," kata Abdul Ghapa kepada Bernama baru-baru ini.

TIADANYA UNSUR ELITISM DALAM DIRI TUN ABDUL RAZAK

Dibesarkan di sebuah kawasan perkampungan kecil, Pulau Keladi, Pekan Pahang bersama-sama anak penduduk kampung, akhirnya membentuk sahsiah 'kesederhanaan' yang kuat dalam diri beliau.

Malah, status 'anak bangsawan' tidak menghalang beliau bermain dan berkawan dengan anak miskin kampung. Apatah lagi, asas persekolahan Tun Abdul Razak bukanlah digilap di sebuah sekolah berstatus elit tetapi hanya di Kampung Jambu Langgar yang agak jauh dari rumah datuknya sehingga terpaksa menapak sejauh empat kilometer setiap hari.

Melihat kesengsaraan dan kesempitan hidup rakan-rakannya, menyebabkan beliau turut sama tidak memakai kasut dan hanya berkaki ayam ke sekolah seperti mereka kerana tidak mahu adanya perbezaan miskin atau kaya.

"Percakapan, pakaian, pergaulan, pergi mengaji Al-Quran dan bermain sawah, langsung tiada perbezaan dengan rakan-rakan sebayanya. Walaupun selepas Tun melanjutkan pelajaran ke MCKK (Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak), Raffles College, Singapura sekejap sahaja kerana Perang Dunia Kedua kemudian England, sikap kesederhanaannya masih utuh dan tidak berubah biarpun sudah bergaul dengan golongan elit.

"Jadi apabila Tun menjawat jawatan sebagai Pegawai Tadbir dan kemudian terbabit dalam politik, beliau tidak berasa kekok dan boleh makan sekali serta bergaul dengan orang kampung. Pengalaman Tun ini berbeza dengan pemimpin lain kerana kebanyakan pemimpin ketika itu yang asal daripada golongan elit atau bangsawan membesar dengan ibu bapa, jadi unsur elitism itu sudah ada.

"Berbanding dengan Tun yang membesar di kampung, elemen dan sikap elitism tidak tumbuh bersama-sama dalam keperibadian beliau," katanya.

KEPRIHATINAN 'SCIENTIFIC FRAME OF MIND'

Pengalaman membesar di kampung, bukan sahaja membentuk sifat kesederhanaan dalam diri beliau malah mewujudkan sikap prihatin tatkala melihat kesukaran dan kesempitan hidup masyarakat kampung terutama orang Melayu.

Tidak sekadar memandang atau merenung tanpa melakukan apa-apa, Abdul Ghapa berkata pengalaman itu akhirnya mendorong Tun Abdul Razak komited mengubah kehidupan masyarakat luar bandar sekali gus bermatlamat memodenkan serta meningkatkan pendapatan mereka.

"Untuk membolehkan masyarakat luar bandar terbabit secara aktif dalam ekonomi moden, mereka mestilah dihubungkan dengan orang bandar melalui pembangunan infrastruktur. Bagi merealisasikan perkara ini, pemikiran orang kampung mesti diubah sehingga terbinanya 'scientific frame of mind'.

Menurut Tun, kalau pemikiran orang kampung tidak diubah, apa pun program yang kerajaan laksanakan tidak akan berjaya.

"Semasa tahun 60-an bukan sahaja banyak projek pembangunan tetapi juga program berbentuk pentingnya kesedaran mengubah sikap telah digiatkan untuk mengubah cara-cara mereka berfikir, dan menurut Tun Razak, usaha mengintegrasikan sains ke dalam kebudayaan kita semestinya menjadi tugas dan tanggungjawab baru bagi orang Melayu," katanya.

Ini kerana Tun Abdul Razak berpendapat hanya menerusi pengintegrasian sains, orang Melayu dapat berubah menjadi "a new kind of economic man" dan mampu menyusun kegiatan ekonomi mereka secara besar-besaran dan berkesan.

Kesungguhan dan keprihatinan Tun Abdul Razak membantu masyarakat kampung menjana pendapatan lebih baik dapat dilihat sebaik sahaja beliau menggalas jawatan sebagai Menteri Pelajaran dalam barisan kabinet pertama, yang ketika itu Perdana Menteri ialah Tunku Abdul Rahman Putra.

Menurut Abdul Ghapa, MCKK yang diketahui umum ketika itu sebagai sebuah platform pengajian untuk golongan bangsawan dan elit, telah direformasikan oleh Tun Abdul Razak dengan membuka lembaran pintunya kepada orang Melayu bukan dari golongan itu untuk mendapat pendidikan di situ, bertujuan mengubah kehidupan mereka.

Perjuangan beliau mengubah nasib masyarakat kampung semakin dekat apabila memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap juga Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan seterusnya Perdana Menteri kedua pada tahun 1970.

TURUT DIGELAR SEBAGAI 'FATHER OF THE NATION'

Sikap kesederhanaan Tun Abdul Razak semasa pentadbirannya dari tahun 1970 sehingga 1976, tidak hanya tertumpu membantu masyarakat orang Melayu luar bandar malah turut merangkumi pelbagai kaum.

Ini merujuk kepada segala keputusan dasar yang dibuat, beliau turut menekankan kepentingan kaum lain sehingga digelar sebagai "Symphatetic Father of Nation" dalam sebuah majalah, "Asia Yearbook" pada tahun 1974.

"Walaupun beliau membesar di kampung, tetapi Tun tidak ekstremis orang Melayu. Mungkin disebabkan beliau turut mendapat pendidikan di MCKK, luar negara, mempengaruhinya dalam membuat keputusan supaya tidak mementingkan sebelah pihak sahaja.

"Beliau juga bukanlah seorang pemimpin yang suka dominate. Ini kerana, beliau amat terkenal dengan kesediaan mendengar pelbagai pandangan dari semua pihak dan ini dapat dilihat ketika memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Ketika itu, sarjana ekonomi dari pelbagai aliran pemikiran dipanggil memberi pandangan dan beliau membuat keputusan berdasarkan mana lebih praktikal.

"Semasa membuat keputusan, beliau menekankan matlamat DEB bukan sahaja membantu orang Melayu memperoleh peluang dalam pembangunan ekonomi malahan memastikan kepentingan kaum bukan Melayu turut dilindungi dan ini menyebabkan pemimpin bukan Melayu boleh rapat dengan beliau," katanya.

HUBUNGAN DASAR DENGAN NEGARA LUAR

Kesederhanaan Tun Abdul Razak tidak hanya dalam ruang lingkup skop negara malah merangkumi jalinan hubungan diplomatik dengan negara luar.

Tanpa mengira berlainan ideologi, Perdana Menteri kedua menerusi sikap pragmatiknya melihat faedah, sumbangan mahupun hasil yang boleh diperoleh daripada hubungan diplomatik terjalin khususnya dari sudut ekonomi negara untuk dimanfaatkan kepada masyarakat.

Abdul Ghapa berkata kesederhanaan Tun Abdul Razak menjalinkan hubungan diplomatik, akhirnya mengeratkan hubungan dengan negara komunis di Eropah Timur, Soviet Union dan kemuncaknya dengan China pada tahun 1974 selepas beliau mengada lawatan ke China dan disambut mesra oleh Perdana Menteri China Chou En-Lai.

"Sikap pragmatiknya membolehkan Malaysia mendapat manfaat daripada negara komunis dari sudut perdagangan, sains teknologi serta menjamin kedaulatan negara. Ini kerana, China memberi jaminan tidak akan mengganggu urusan dalam negara Malaysia khususnya berhubung dengan kegiatan pengganas komunis.

"Macam konfrontasi Indonesia yang berlaku ekoran daripada penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, sikap pragmatik beliau sedikit sebanyak telah membantu kepada usaha pembaikan hubungan persahabatan antara dua negara," katanya.

SEDERHANA DALAM MENENTUKAN AGIHAN KEKAYAAN DAN IDENTITI KEBANGSAAN

Biarpun negara selepas merdeka mewarisi sebuah jentera pentadbiran yang mantap dan ekonomi memberangsangkan daripada penjajah, namun terdapat dua masalah ketara iaitu agihan kekayaan tidak sama dan kelemahan kerajaan membina satu identiti kebangsaan di kalangan rakyat sehingga berlakunya peristiwa hitam, tragedi 13 Mei.

Ia ditambah menerusi pilihan raya yang diadakan pada 10 Mei 1969 di mana telah memberi satu tamparan kepada rakyat Malaysia khususnya masyarakat Cina apabila MCA, yang adalah anggota parti Perikatan, kalah teruk dan Umno meletakkan punca kekalahan Perikatan kepada MCA.

Bertitik-tolak dari situ, ada desakan daripada Umno supaya menubuhkan kerajaan Melayu sahaja.

"Perikatan hilang sokongan. Orang Melayu makin ramai tidak menyokong, begitu juga dengan sokongan terhadap parti bukan Melayu, kerajaan hilang majoriti dua pertiga. Biarpun begitu, Tun tidak tunduk kepada desakan menubuhkan kerajaan Melayu sahaja dan ini sudah dilihat kesederhanaan beliau menjaga hubungan antara kaum.

"Proses memulihkan sokongan rakyat serta menjadikan Malaysia sebuah negara stabil telah bermula ketika beliau memegang jawatan sebagai pengarah Mageran (Majlis Gerakan Negara) yang ditubuhkan untuk memulihara keamanan selepas tragedi 13 Mei.

"Kemudian usaha menarik sokongan dilakukan secara berterusan sehinggalah beliau menjawat jawatan Perdana Menteri dan cuba menggabungkan parti politik pembangkang dengan Perikatan.

"Apabila dapat menggabungkan beberapa parti politik ketika itu, beliau menukarkan nama Perikatan kepada Barisan Nasional untuk mewujudkan kerajaan kuat dan stabil," katanya.

Menurut Abdul Ghapa, Perdana Menteri kedua itu percaya bahawa pembangunan ekonomi dan kestabilan politik di Malaysia hanya dapat diwujudkan melalui sebuah kerajaan yang kuat.

Bagi memastikan agihan kekayaan dapat diseimbangkan semua kaum, Tun Abdul Razak berpendapat sudah tiba masanya campur tangan kerajaan diperlukan dalam menangani permasalahan itu.

"Sebelum tahun 1969, kerajaan tidak banyak campur tangan dalam ekonomi, dan ketika itu golongan swasta memainkan peranan utama dalam ekonomi negara. Mereka hanya melihat keuntungan dan tidak memberikan perhatian kepada soal pengagihan kekayaan secara adil.

"Atas sebab itu, beliau memperkenalkan DEB yang melibatkan penyertaan kerajaan bagi memastikan proses agihan kekayaan secara lebih adil berlaku. Lebih penting lagi, campur tangan kerajaan akan memberi peluang kepada bumiputera dan kaum lain dari sudut meningkatkan penguasaan ekonomi," katanya.

Berkaitan masalah kedua, membina identiti kebangsaan, Abdul Ghapa berkata Tun Abdul Razak telah mengambil langkah tegas menterjemahkan peruntukan dalam perlembagaan ke dalam dasar-dasar yang bersifat kebangsaan seperti membentuk dasar budaya kebangsaan, rukun negara, dan dasar pendidikan sebagai teras kepada identiti kebangsaan Malaysia.

Melalui langkah itu, Tun Abdul Razak membina satu "baseline" yang jelas dari sudut identiti negara yang terasnya adalah Melayu, seperti mana dimaktubkan dalam perlembagaan.

"Marker of identity" yang sudah ada dalam beberapa fasa Perlembagaan Negara seperti kedudukan Bahasa Melayu, kedudukan orang Melayu, dan raja-raja Melayu telah dimanfaatkan sepenuhnya sebagai unsur penyatu kepada perpaduan rakyat negara ini.

"Tun Abdul Razak menegaskan sebagai sebuah negara pelbagai kaum, Malaysia selepas tragedi hitam itu (13 Mei 1969) amat memerlukan dasar yang jelas dan tegas dalam soal identiti," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan