suria

Graffiti Dengan Mesej Positif

KUALA LUMPUR: Di bawah terik mentari, kelihatan seorang pelukis graffiti sibuk menyiapkan karyanya di sebuah "dinding" papan lapis ketika Pesta Youthnity di Taman Tasik Titiwangsa di sini, baru-baru ini.

Ardy Shafiq Arshad, 24, yang lebih dikenali sebagai "Damis" di arena graffiti sudah berpengalaman enam tahun dalam seni itu. Minat beliau mula berputik ketika zaman persekolahan lagi, di mana seni graffiti banyak dipertontonkan dalam video muzik hip-hop, genre muzik kegemarannya.

"Dalam hip-hop ada empat elemen utama – emcee, deejay, b-boy dan graffiti," kata Ardy yang berasal dari Parit Buntar, Perak.

Katanya, ramai lebih cenderung menceburi bidang emcee, deejay atau b-boy. Hanya segelintir mempunyai minat mendalam terhadap graffiti.

Tamat persekolahan, Ardy berpindah ke Kuala Lumpur untuk merealisasikan impian menjadi pelukis graffiti. Katanya hanya di KL beliau dapat bertemu pelukis graffiti terbaik di Malaysia yang boleh membantunya berjaya dalam bidang itu.

SENARIO DI MALAYSIA

Senario seni graffiti di Malaysia bermula sekitar 1998 di Batu Pahat, Johor.

Ia dimulakan oleh satu kumpulan (dalam senario graffiti dipanggil 'crew') dikenali PhobiaKlik. Setelah minat terhadap seni ini kian bercambah, popularitinya mula tersebar ke negeri lain.

Di KL satu crew yang menamakan diri mereka "SWS" (Sembur With Style) turut mempopularkan seni ini, sekaligus menjadikan KL sebagai hab pelukis graffiti di Malaysia.

Seperti Ardy, ramai yang berpindah ke KL dari kampung halaman demi minat menceburi seni graffiti.

Selain daripada PhobiaKlik dan SWS kini terdapat ramai lagi crew terkenal di negara ini, yang antaranya Super Sunday, Medium Touch, TLG dan Phiberwryte.

BEKERJASAMA DENGAN PIHAK BERKUASA

Menurut Ardy, komuniti graffiti terutama di KL dilihat berjaya memperkasakan taraf seni itu daripada sebagai melakukan kemusnahan terhadap harta benda awam kepada seni yang kini diterima umum.

Ini dilakukan menerusi pelbagai program dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Belia dan Sukan. "DBKL adalah rakan baik kami. Buktinya boleh dilihat di tebing Sungai Klang dan berdekatan stesen LRT Pasar Seni di mana mereka bukan sahaja membenarkan kami melukis graffiti di situ, malah menggalakkannya," kata Ardy merujuk kepada barisan lukisan graffiti yang 'menghidupkan' tebing sungai itu.

Katanya hasil jalinan baik dengan DBKL adalah Festival KUL Sign yang diadakan Disember tahun lepas, di mana antara tarikan utamanya adalah pertandingan graffiti yang memaparkan pelukis graffiti dalam dan luar negara.

Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan turut menganjurkan khemah graffiti pada tahun lepas di beberapa Kompleks Belia dan Sukan seluruh negara, sekaligus menyediakan platform bagi pelukis graffiti tempatan mendidik generasi baru seni itu.

"Kami menghargai jalinan kerjasama dan kepercayaan yang diberikan dan akan terus bekerjasama untuk manfaat ramai," katanya.

MEMBIMBING YANG BARU

Ardy adalah ahli Phiberwryte (PW), crew graffiti terkenal di negara ini. Menariknya, ahli mereka turut terdiri daripada warga Singapura dan Brunei Darussalam.

Selain berkarya, PW juga berusaha membimbing generasi baru pelukis graffiti. Untuk ini mereka menyediakan program ‘Style2Burn’ dengan menggunakan Facebook sebagai wadah utama.

Style2Burn mengenakan tema berlainan setiap bulan dan peserta seharusnya menyediakan karya menurut tema itu. Kemudian karya mereka akan dimuat naik ke laman Facebook untuk dinilai.

Ahli senior akan memberi penilaian, komen dan tip untuk memperbaiki bakat. Ini membolehkan pelukis muda belajar dengan lebih pantas dan bagi yang senior, mereka dapat merapatkan hubungan di samping saling belajar dari mereka.

"Selain memberi tunjuk ajar, kami turut mendidik mereka etika melukis serta menghormati hak milik awam," kata Ardy.

Katanya hubungan itu akan mengelakkan pelukis muda daripada berkarya di tempat-tempat terlarang ataupun menghasilkan karya dengan unsur negatif.

PERSEPSI NEGATIF GRAFFITI

Antara cabaran dihadapi komuniti graffiti hari ini adalah penyalahgunaan teknik seni jalanan untuk aktiviti kemusnahan, yang selalunya dilakukan oleh pihak berkepentingan.

"Kita boleh nampak di tepi jalan pelbagai mesej dilukis di tempat awam contohnya untuk memperbaiki tiub motosikal, pinjaman haram dan slogan berunsur politik. Selalunya orang ramai menyalahkan kami membuat kerja-kerja ini," katanya.

Katanya pelukis graffiti sentiasa membangkang unsur negatif dalam karya. Mereka lebih gemar menggunakan peluang berkarya untuk menghasilkan karya dengan mesej positif.

Ardy menceritakan mengenai karya stensil A.B.U yang popular beberapa tahun dulu kerana menghasilkan mesej politik negatif. Komuniti graffiti memandang serius perkara itu dan berusaha memadamkan setiap mesej yang dijumpai mereka. "Kami cuba menggunakan sebaiknya peluang yang diberikan dengan cara kreatif dan mesej yang membawa orang ramai ke arah harmoni dan kesejahteraan, bukan sebaliknya."

MASA DEPAN SENI GRAFFITI

Ardy yang mengusahakan salun rambut bersama rakannya di Bukit Bintang berkata pelukis graffiti datang dari pelbagai latar belakang.

Kebanyakannya adalah pereka grafik, namun ada juga pemilik butik, guru dan polis. Pendapatan sebagai pelukis graffiti agak lumayan. Komuniti graffiti telah pun menetapkan kadar bayaran yang boleh dikenakan setimpal dengan hasil kerja pelukis, demi memelihara nilai kerja mereka.

"Tengok hari, kalau hari baik, pelukis sepenuh masa dengan mudahnya boleh mendapat RM4,000 hingga RM5,000 sebulan. Yang bekerja separuh masa pula pendapatannya separuh dari itu," katanya.

Selain itu, kata Ardy, sesebuah projek juga boleh dikenakan bayaran sehingga RM30,000, bergantung kepada jenis permintaan.

Walaupun demikian, yang paling dihargai pelukis graffiti adalah kebebasannya dalam melukis.

Namun tiada tempat tetap di mana mereka dapat terus bebas berkarya. Rancangan DBKL untuk menaikkan paras air di Sungai Klang bakal 'menenggelamkan' karya mereka yang akhirnya akan tinggal sejarah.

"Kami berharap akan ada tempat baru khas untuk kami terus berkarya. Kami gembira mendengar Pulau Pinang bakal menyediakan taman graffiti dan berharap infrastruktur yang sama dapat dibina di KL," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain