suria

Peniaga Tersepit Di Celahan Keghairahan Demonstrasi Jalanan

KUALA LUMPUR: Di dalam keghairahan pelbagai pihak untuk mengadakan perhimpunan dan demonstrasi jalanan haram pada 9 Julai, pihak peniaga di Lembah Klang jelas tersepit dan menjadi mangsa keadaan.

Jika ketibaan hujung minggu sebelum ini sering dinanti-nantikan para peniaga terutamanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman kerana lebih ramai pelanggan akan membeli-belah, mereka khuatir pada hujung minggu depan khususnya pada Sabtu keadaan akan berubah.

"Tiada ahli perniagaan yang akan menyokong demonstrasi jalanan, ia hanya akan merugikan pihak kami dan kerajaan," kata Seeni Abdul Kadir, 46, Pengurus Sithi Forex (M) Sdn Bhd.

Beliau yang hampir 30 tahun berkecimpung dalam perniagaan tukaran mata wang asing berkata syarikatnya mengalami kerugian purata kira-kira 40 peratus pada demonstrasi jalanan sebelum ini yang diadakan pada 1999 dan 2007.

"Walaupun tempoh matang kembali perniagaaan tidak mengambil masa, namun ia tetap memberi kesan," kata Seeni yang tetap akan membuka perniagaan seperti biasa tanda tidak menyokong perhimpunan haram 9 Julai itu.

Terlibat dalam bidang perniagaan sama, Raja Mohd, pekerja syarikat Access Smartstreet Sdn Bhd berkata demonstrasi jalanan mempunyai kemungkinan besar menyebabkan ekonomi negara tidak stabil.

Beliau mengambil contoh demonstrasi reformasi pada 1999, yang menyebabkan mata wang negara jatuh.

Tidak terkecuali, pemilik kedai emas Varusai Jewellery, Varusai Mohd, 60, serik dengan apa yang dialaminya pada demonstrasi jalanan sebelum ini.

"Kerugian yang terpaksa dialami jika kedai ditutup pada satu hari adalah lebih kurang RM2,000, namun apa yang paling penting ialah keselamatan kedai," katanya.

Jadi, beliau sangat berharap demonstrasi itu tidak diteruskan dan pihak penganjur dan kerajaan dapat memilih jalan terbaik bagi menyelesaikan segala permasalahan.

"Pengalaman pada demonstrasi pada 1999 dan 2007 cukup memberi kesan kepada peniaga seperti kami.

"Kedai kami bukan restoran atau kedai runcit, tetapi kami berniaga barang emas jadi jika ada perhimpunan, demonstrasi haram... tiada jaminan keselamatan," katanya yang sudah hampir 15 tahun membuka perniagaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Varusai berkata jika keadaan tidak terkawal pada Sabtu depan, kedainya terpaksa ditutup.

Peniaga di Rosni Bazaar, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang tidak mahu dikenali bimbang perhimpunan itu akan menyebabkan peniaga di bazaar itu turut tercedera.

"Macam pada demonstrasi jalanan pada tahun 2007, ramai peserta demonstrasi yang terlepas masuk ke dalam bazaar melarikan diri selepas dikepong polis," katanya.

Beliau yang sudah tujuh tahun berniaga kain di situ khuatir perhimpunan yang diadakan pada kali ini lebih besar daripada sebelum ini.

Pendapatnya turut dikongsi sama Nilam Sari, yang baru memulakan perniagaannya di bazaar itu pada tahun ini dan berpendapat perhimpunan haram itu memberi kesan buruk kepada banyak pihak termasuk mereka yang tidak terlibat.

Seorang lagi peniaga yang tidak mahu dikenali mengakui, perhimpunan itu sudah mulai memberi kesan pada peniaga.

"Hari ini pun, orang dah tak ramai datang ke sini, selalunya ramai pada hujung minggu macam ini," katanya.

Beliau berkata kedainya akan mengalami kerugian kira-kira RM1,000 jika kedainya ditutup sehari pada hari minggu.

Selain itu, jurucakap pusat membeli belah Sogo yang pernah mengalami kerosakan pada perhimpunan haram 2007, berkata pihaknya akan membuka perniagaan seperti biasa pada hari itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain