Kanak-Kanak Asma Boleh Jalani Hidup Seperti Biasa

Diterbitkan: Selasa, 14 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sekiranya anak anda dikesan menghidap asma, anda tidak perlu terlalu resah dengan masa depan atau pelbagai rintangan yang perlu dihadapi sepanjang tempoh mereka membesar.

Kanak-kanak dengan asma masih boleh menjalani kehidupan normal dan aktif sama seperti kanak-kanak lain sekiranya diuruskan dengan baik, dengan gabungan pembaikan persekitaran atau penggunaan ubat sedut pencegahan serangan asma.

Rumusan itu dijelaskan oleh Pengerusi Majlis Asma Malaysia, Dr Norzila Mohamed Zainudin dalam ucapannya semasa pelancaran terapi alat sedut kawalan asma Flixotide untuk kanak-kanak seawal usia satu tahun oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK) baru-baru ini.

Jelasnya, asma adalah penyakit paru-paru bersifat kronik bercirikan masalah pernafasan yang berulang dengan simptom seperti sesak nafas, berdehit (wheezing), dada terasa ketat dan batuk.

"Semasa pernafasan biasa, udara masuk dan keluar dari paru-paru dengan lancar tanpa sebarang halangan, tetapi sekiranya asma tidak diurus dengan baik, salur pernafasan menjadi ketat, radang dan bengkak, menyebabkannya sangat sensitif dan mudah mendapat serangan asma," katanya.

Asma adalah penyakit yang sangat mudah ditemui di serata dunia, dengan anggaran sekitar 300 juta populasi dunia menghidapnya.

Malah, berdasarkan satu kajian oleh Global Initiative for Asthma (GINA), angka itu akan bertambah sebanyak 100 juta lagi menjelang 2025.

Kajian juga menunjukkan, lebih 10 peratus penduduk di negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Amerika Selatan, Australia dan Selatan India menghidap asma.

Masalah Utama Kanak-kanak

Majlis Asma Malaysia menyebut bahawa sekurang-kurangnya tujuh peratus rakyat negara ini terpaksa hidup dengan masalah asma, malah Dr Norzila berkata penyakit itu adalah penyakit kronik yang paling kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak Malaysia.

"Sekitar 4.5 peratus kanak-kanak tempatan dalam lingkungan usia baru lahir hingga mencecah usia 14 tahun menghidap asma," ujar Norzila.

Asma tidak boleh diubati, bagaimanapun ia boleh dirawat dan dikawal dengan berkesan.

Kajian menunjukkan bahawa dengan rawatan yang betul, hampir semua penghidap asma boleh mendapat dan mengekalkan kawalan asma yang baik, hidup aktif tanpa memerlukan rawatan berulang ke hospital atau bilik kecemasan.

Kepentingan Terapi Kawalan Asma

Selaku penghidap asma, Dr Norzila memahami bahawa, pasakit secara amnya hanya mahu merasa sihat dan menjalani kehidupan harian secara normal tanpa sebarang gangguan.

"Kerana itulah pakar perubatan kini amat menekankan kepentingan terapi kawalan asma bagi mengurangkan radang salur pernafasan serta respon serangan asma yang keterlaluan bagi mencapai kawalan asma berkesan.

"Ini amat penting khususnya kepada kanak-kanak penghidap asma agar proses pemodelan semula salur udara yang berlaku ketika serangan asma boleh dikurangkan," tambahnya sambil menerangkan bahawa proses pemodelan semula itu boleh menyebabkan gangguan salur pernafasan secara kekal apabila mereka meningkat dewasa.

Rawatan asma, jelas Dr Norzila, boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu untuk kelegaan dan untuk kawalan.

Rawatan untuk kelegaan mempunyai kesan segera dan bersifat jangka pendek bagi membantu melega dan menghentikan simptom semasa serangan asma, sedangkan terapi kawalan membantu mengawal atau menghalang serangan asma untuk jangka masa panjang dengan mengurangkan keradangan atau mukus yang menyekat salur pernafasan.

Berkesan Untuk Bayi Satu Tahun

Sementara itu, Pengurus Urusan Perubatan GSK, Dr Thravin G Nathan menjelaskan bahawa, produk alat sedut dos tekanan bermeter 'Flixotide Evohaler' adalah terapi kawalan paling utama untuk asma kanak-kanak.

Sebelum ini, katanya, walaupun ia terbukti selamat untuk kanak-kanak namun ia hanya dibenarkan untuk kegunaan kanak-kanak berusia empat tahun dan ke atas.

"Alat sedut ini mempunyai kesan anti-radang yang sangat berkesan, menjadikannya sangat sesuai untuk rutin pengurusan asma jangka panjang," katanya.

Kini, selepas lebih banyak kajian, GSK mengumumkan bahawa indikasi terapi kawalan asma itu dilanjutkan untuk kanak-kanak yang lebih muda iaitu penghidap asma berusia satu tahun ke atas.

"Justeru, semua kanak-kanak yang memerlukan boleh menggunakan Flixotide setiap hari sebagai langkah berkesan mengelakkan serangan asma," jelasnya sambil menambah bahawa penghidap muda boleh hidup dengan lebih selesa tanpa gangguan simptom pada waktu malam atau serangan yang teruk.

Aktif Mencapai Potensi

Ini penting kerana asma yang dikawal dengan baik membolehkan kanak-kanak aktif, menjalani hidup yang lebih produktif dan gembira supaya mereka boleh mencapai potensi terbaik dalam kehidupan mereka.

Faktor ini ditegaskan oleh Feridah Kholil Mustapha, 41, seorang ibu penghidap asma yang turut mempunyai dua anak lelaki yang menghidap asma.

Katanya, berbeza keadaan semasa dirinya membesar, pergerakan dan aktiviti sekolahnya sangat terbatas dan sering terpaksa bercuti sakit apabila diserang asma ekoran rawatan terapi sebegitu belum wujud.

"Tetapi anak-anak saya dilatih dengan rutin menggunakan alat sedut kawalan asma setiap malam, jadi mereka lebih bertuah kerana dapat bermain bersama rakan lain dengan lebih bebas, katanya.

Lebih baik lagi, tambah peneraju Kelab Asma Kanak-kanak itu lagi, anak-anaknya turut cemerlang dalam aktiviti sukan termasuk Megat Farhad Muammar Megat Firdouz, 8, yang kini adalah pemain bola sepak sekolah.

Bercerita tentang anaknya yang membesar dengan asma, pengalaman anak bongsunya, Megat Farhad Muammar, dikira sebagai paling mencabar.

Demam Dan Batuk Berpanjangan

"Farhad disahkan menghidap asma seawal usia lapan bulan apabila mengalami serangan asma yang teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU)," jelasnya.

Beliau menerangkan bahawa gejala yang dialami oleh Farhad ketika itu ialah sesak nafas, demam panas dan batuk berpanjangan, yang mana ibu bapa yang tidak mempunyai pengetahuan tentang asma mungkin menganggap sebagai demam biasa.

"Setiap kanak-kanak tentu pernah batuk dan demam, tetapi sekiranya gejala itu sebenarnya gejala asma tetapi tidak dirawat sewajarnya sudah tentu ini akan menyukarkan kehidupan anak dan seterusnya boleh memberi kesan kurang baik terhadap keyakinan diri," tambahnya.

Justeru, ujarnya, ibu bapa perlu memberi perhatian sekiranya anak sakit terlalu kerap kerana tanpa rawatan sewajarnya, saluran pernafasan yang mengalami keradangan ekoran asma boleh menjadi lebih teruk dan serius.

Kawal Persekitaran Rumah Setakat ini, menggunakan rutin terapi kawalan asma dapat membantu menghalang serangan asma yang serius dibantu dengan beberapa langkah pencegahan serangan asma di rumah.

Ini termasuk membersihkan rumah dengan kerap menggunakan penyedut vakum, menggunakan hamparan lantai nipis bukan permaidani serta tidak membenarkan mainan gebu seperti patung beruang atau kucing di rumah.

Feridah juga cuba memastikan suhu persekitaran rumah terkawal dengan penggunaan kipas dan pendingin udara selepas mendapati anaknya mudah diserang asma pada hari yang terlalu panas.

Beliau juga memberi peluang anak-anaknya bersahabat dengan kanak-kanak penghidap asma lain menerusi komuniti Kelab Asma Kanak-kanak yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti termasuk kem cuti sekolah.

"Bagaimanapun, semasa aktiviti kem seringkali saya pula yang terkena serangan asma ekoran keadaan bilik atau dewan yang tidak cukup bersih, sedangkan kanak-kanak boleh bergembira tanpa masalah," katanya.

Rokok Musuh Pengidap Asma Beliau menjelaskan setiap orang mempunyai pencetus asma yang berbeza, selain suhu dan habuk, pencetus asma yang paling kerap ialah asap dan bau rokok.

Perkara ini turut dipersetujui oleh Dr Norzila sambil menjelaskan bahawa pendedahan terhadap asap rokok basi, nikotin dan lain-lain racun dalam rokok amat merbahaya dan memburukkan lagi keadaan penghidap asma.

"Sedangkan paru-paru mereka yang bukan menghidap asma juga akan mengalami kesan buruk apabila terdedah kepada racun sebegini, apatah lagi penghidap asma yang mempunyai salur pernafasan sensitif.

"Lebih menyusahkan lagi, sisa-sisa rokok itu akan terus kekal dalam bilik yang pernah digunakan oleh perokok seperti hotel dan dewan walaupun telah dibersihkan, dan terus menerus menjadi agen pencetus serangan asma," tegasnya sambil menyeru agar orang ramai lebih prihatin dan tidak sewenang-wenangnya merokok di merata-rata tempat.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan