Bukan Sahaja Industri Kereta Tetapi Sektor Pelancongan Turut Terjejas Di Jepun

Diterbitkan: Jumaat, 10 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEMPA BUMI dan tsunami pada 11 Mac lalu yang dikenali sebagai Gempa Bumi Besar Timur Jepun, berukuran 9.0 pada skala Richter, bukan sahaja memusnahkan wilayah Tohoku di Jepun malah juga sektor pelancongan negara matahari terbit itu.

Ia merupakan gempa bumi paling kuat pernah melanda Jepun.

Selepas kejadian bencana alam itu, timbul pula kebimbangan terhadap ancaman radiasi berikutan kebocoran di loji reaktor kuasa nuklear No. 1 Fukushima di Wilayah Fukushima.

Dengan kerosakan yang dialami banyak reaktor kuasa, adalah dianggarkan bahawa usaha memulihkan pengeluaran elektrik akan mengambil masa bertahun-tahun di wilayah timur Jepun sebelum dapat ditingkatkan ke paras sebelum gempa bumi.

PELANCONG SUSUT

Kawasan Tohoku juga popular sebagai antara kawasan paling menarik di Jepun. Wilayah itu terletak bahagian timur laut Honshu, pulau terbesar di Jepun yang mempunyai enam wilayah.

Kebimbangan terhadap ancaman radiasi selepas bencana itu telah mengurangkan dengan mendadak ketibaan pelancong asing ke Jepun.

Menurut laporan Pertubuhan Pelancongan Negara Jepun, bilangan pelawat asing menurun 62.5 peratus pada April berbanding tempoh yang sama setahun lepas, yang merupakan satu rekod paling rendah berikutan bencana 11 Mac dan krisis nuklear yang berikutnya.

Jumlah ketibaan pelawat susut kepada 295,800, jatuh di bawah paras 300,000 bagi pertama kalinya sejak Mei 2003, apabila pelancongan menerima kesan buruk penularan wabak Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS).

Penurunan keseluruhan Mac ialah 50.3 peratus tetapi jika tempoh itu dihadkan kepada 12 Mac, sehari selepas gempa bumi yang kuat itu, sehingga 31 Mac, penurunan tahun ke tahun melebar kepada 73 peratus.

RADIASI PUNCA KEMEROSOTAN PELANCONG

Yuka Miyazaki, Timbalan Pengarah Bahagian Dasar Perdagangan Biro Dasar Perdagangan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (Meti), Jepun, berkata radiasi berikutan kerosakan loji kuasa nuklear selepas gempa bumi dan tsunami 11 Mac kini hanya hanya terhad kepada kawasan sekitar 30 kilometer radius dari loji di Fukushima, iaitu terletak kira-kira 230 kilometer ke utara Tokyo.

Katanya, kerajaan dan Tokyo Electric Power Company (Tepco) telah mengambil langkah untuk memulihkan reaktor loji bermasalah itu. Tepco merupakan pembekal elektrik terbesar Jepun.

Miyazaki, yang diberikan tugas atau tanggungjawab untuk menjelaskan mengenai keadaan di kawasan Fukushima, bercakap kepada Bernama di pejabatnya di Meti, Tokyo baru-baru ini.

Kerajaan Jepun dan Tepco mengambil daya usaha untuk menghalang penyebaran air radioaktif tercemar, debu, serpihan dan wap, katanya.

KESELAMATAN

Bagi memastikan keselamatan makanan, beliau berkata, Jepun juga mengambil langkah memeriksa radioaktif terhadap makanan setiap hari dan menghalang pengedaran makanan yang gagal menepati nilai peraturan mengikut peruntukan yang disediakan.

Penulis berada di Yokohama dari 15 Mei dan 21 Mei bagi menghadiri Pameran Industri Automotif Malaysia (MAIE) yang diadakan serentak dengan Pameran Kejuruteraan Automotif (AEE). Pameran itu diadakan dari 18 Mei hingga 20 Mei.

Tadashi Mizushima, Wakil Pengarah PNB Management (Japan) Co Ltd, yang turut bersetuju dengan pandangan Miyazaki, berkata keadaan kini terkawal.

Kecuali kawasan sekitar (dalam radius 30 kilometer) dari Fukushima, tempat lain di Jepun adalah selamat, katanya.

BANTU

Pengerusi Toshiba Corp Atsutoshi Nishida, yang mengetuai delegasi Jepun ke Sidang Kemuncak Pengembaraan dan Pelancongan Global selama tiga hari di Amerika Syarikat (AS) pada akhir bulan lepas, telah meminta negara-negara lain supaya mebantu mencergaskan semula industri pelancongannya kerana negara itu "kini selamat dan bebas daripada kebimbangan kesihatan."

"Jepun selamat," katanya, sambil menyatakan bahawa negara itu kini berusaha menarik semula para pelancong.

Pada 16 Mei, Jabatan Negara AS berkata kini selamat bagi rakyatnya untuk mengembara melalui cadangan kawasan zon pemindahan 80 kilometer yang dilumpuhkan oleh loji kuasa nuklear Fukushima No. 1 di laluan kereta api Shinkansen Tohoku dan Lebuh raya Tohoku.

Bagaimanapun, kerajaan AS bertegas menasihati rakyatnya untuk menjauhi zon sekitar loji itu, sambil menyatakan keadaan di loji bermasalah "kekal serius".

"Kerajaan AS percaya adalah selamat bagi rakyatnya untuk menggunakan kereta api dan lebuh raya bagi melalui kawasan itu," kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Keputusan itu berasaskan ukuran yang dilakukan oleh saintis AS, kata jabatan itu, sambil menyatakan laluan pengangkutan itu kini dibuka untuk kegunaan orang ramai.

Pada 25 Mei, Kementerian Luar Malaysia tidak lagi mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia dan menyatakan keadaan di sana sudah bertambah baik.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia tetap dinasihati supaya menangguhkan perjalanan yang tidak perlu ke kawasan di timur laut negara itu yang masih mengalami kesan buruk berikutan gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak ke kawasan dalam lingkungan radius 80 kilometer dari loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi itu.

"(Mereka juga) perlu menuruti zon larangan di wilayah Fukushima yang dikenakan oleh kerajaan Jepun yang ditutup kepada orang ramai," katanya.

Sejak pertengahan April, sesetengah kumpulan pelancongan telah memulakan perjalanan dari China dan Asia Tenggara tetapi Pertubuhan Pelancongan Negara Jepun berkata "kebimbangan terhadap krisis nuklear itu belum berakhir dan mungkin akan berterusan." - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan