suria

Pegawai Perubatan Turut Diskriminasi Pesakit HIV

"PUBLIC FIGURE" ... Jamaliah Sulaiman (kiri) bersama suaminya mengharapkan semua kakitangan perubatan menjadi "public figure" kepada masyarakat. - Foto BERNAMA
"PUBLIC FIGURE" ... Jamaliah Sulaiman (kiri) bersama suaminya mengharapkan semua kakitangan perubatan menjadi "public figure" kepada masyarakat. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: "Eh, engkau ini ada HIV, kau ada bawa sudu? Kau ada bawa cawan? Kau ada bawa mangkuk sendiri?".

Lontaran kenyataan sedemikian mungkin bukan sesuatu yang asing dalam kalangan mereka yang jahil.

Namun, bagaimana pula sekiranya ungkapan "sinis" ini datang daripada seorang pegawai perubatan yang sepatutnya sudah arif akan bagaimana HIV berjangkit?.

Pengalaman mereka dengan HIV menunjukkan terdapat segelintir pegawai perubatan yang menunjukkan diskriminasi atau mengecap golongan ini ketika mendapatkan rawatan sama ada di hospital mahupun klinik.

"Saya pernah disuruh oleh seorang pegawai hospital untuk membawa perkakas sendiri seperti pinggan, cawan ketika berada di wad selepas bersalin," kata Jamaliah Sulaiman kepada Bernama baru-baru ini.

Ibu kepada empat orang anak ini berasa kecil hati apabila dijerkah sedemikian rupa di hadapan pesakit lain yang turut dikelilingi keluarga masing-masing, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang kepada mereka.

Paling menyedihkan apabila seorang pegawai hospital bertindak acuh tidak acuh selepas mengetahui status penyakitnya itu ketika mendapatkan rawatan bagi keracunan makanan yang akhirnya menyebabkan komplikasi buah pinggang kepada beliau.

"Saya boleh saman dia. Tetapi, apabila dia datang dan minta maaf secara peribadi dan mengakui kesilapannya, saya memaafkannya.

Sekiranya pegawai perubatan sendiri tidak boleh menunjukkan teladan baik kepada masyarakat supaya tidak sisihkan mereka yang dijangkiti HIV, apatah lagi masyarakat?," kata Jamaliah yang mendapat HIV daripada arwah suaminya.

KAMI TIDAK MINTA LAYANAN ISTIMEWA

Senario ini merungkai kepada satu kesimpulan iaitu faktor kurangnya kesedaran dan pengetahuan mengenai HIV bukanlah punca utama mengapa stigma dan diskriminasi masih menebal terhadap golongan ini.

Pegawai perubatan sedia maklum bahawa HIV hanya berjangkit melalui perkongsian jarum tercemar, hubungan seks tidak selamat dan daripada ibu kepada anak dan bukannya melalui perkongsian tandas, berpegang tangan, berkongsi perkakas makanan dan minuman.

Namun, segelintir pegawai perubatan masih stigma, masih menunjukkan diskriminasi terhadap golongan ini.

"Saya tidak minta layanan istimewa tetapi kami pun ada hati dan perasaan.

"Mereka ini sebenarnya adalah "public figure" jadi apabila mereka melayan kami sedemikian rupa di hadapan masyarakat, masyarakat akan mengandaikan tidak salah melayan golongan dijangkiti HIV seperti itu," kata Jamaliah.

Berbeza pula layanan diterima daripada seorang rakannya yang hanya bekerja sebagai petani dan tidak mempunyai pendidikan khusus dalam perubatan.

"Bayangkan dia hanya bekerja sebagai seorang petani, tetapi dia tahu HIV hanya boleh dijangkiti melalui tiga cara sahaja.

"Sebenarnya, ia bukan disebabkan faktor pengetahuan atau kesedaran kerana semua itu sudah ada. Tetapi ia berbalik kepada soal hati dan perasaan kasih sesama manusia.

"Bila dua faktor penting itu ada, maka stigma dan diskriminasi boleh dihapuskan," kata Jamaliah.

DISEBABKAN NILA SETITIK ROSAK SUSU SEBELANGA

Jamaliah yang disahkan positif HIV pada tahun 1998, bagaimanapun berkata pengalamannya juga menunjukkan bukan semua kakitangan perubatan bersikap dingin terhadap mereka yang dijangkiti HIV (OHH).

Beliau menceritakan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Dr Kamarul Zaman di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur semasa anak ketiganya disahkan HIV sebaik dilahirkan.

Jamaliah berkata layanan Dr Kamarul ketika merawat anaknya itu sedikit sebanyak memperbaharui harapannya.

"Dia bukan sahaja menjaga kepentingan anak saya, tetapi orang di sekeliling yang rapat dengannya. Baginya, kalau hendak anak itu sihat dia perlu jaga orang di sekelilingnya.

"Ini akan memberi satu gambaran dan contoh kepada masyarakat di luar sana. Lagipun kami bukannya minta simpati cuma sokongan sahaja," katanya.

PERLU HAPUS STIGMA DAN DISKRIMINASI

Jurucakap Persatuan Perubatan HIV Malaysia (MaSHM) Dr Mazliza Zaid dipetik oleh satu laporan akhbar bertarikh 9 Mei lepas sebagai mengakui kewujudan diskriminasi seperti itu di kalangan sebilangan kecil pegawai perubatan.

"Pegawai perubatan perlu menghentikan diskriminasi dan stigma ini dan sebaliknya perlu membantu mereka menjalani hidup lebih baik seperti mereka yang lain," kata Dr Mazliza.

Mengulas perkara itu, Presiden Majlis Aids Malaysia (MAC) Datuk Mohd Zaman Khan berkata memang ada rungutan daripada beberapa OHH mengenai layanan tidak sepatutnya diterima daripada pegawai perubatan.

Namun, ia semakin berkurangan berbanding empat atau lima tahun sebelum ini.

"Kementerian Kesihatan sentiasa menganjurkan kursus bagi menghakis stigma dan diskriminasi dalam kalangan pegawai perubatan ketika merawat OHH.

PROGRAM "IT BEGINS WITH YOU 2011"

Bagi menghapuskan stigma yang wujud ketika berhadapan dengan golongan OHH, pelbagai program atau inisiatif dilakukan sama ada pihak kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Turut mengambil inisiatif itu, MAC Malaysia dengan kerjasama antara (MaSHM) dan MAC menganjurkan program "It Begins With You" (Ia Bermula Dengan Anda).

Program yang bermula pada tahun 2005 itu bertujuan menghapuskan stigma serta nada kerisauan dalam kalangan bakal kakitangan perubatan ketika berhadapan dengan OHH semasa proses rawatan.

"Program ini berbentuk serampang dua mata, selain fokus kepada penuntut perubatan ia turut mendidik masyarakat. Di sebabkan itulah, ia diadakan di tempat awam," kata Mohd Zaman.

Menyertai program itu sejak tahun lepas, pelajar Fakulti Perubatan tahun dua, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhd Khair Mohd Yunus, 21, berkata pendedahan sebegini sememangnya wajar dilakukan.

Bagaimanapun, pelajar berasal dari Kuala Lumpur ini mengharapkan agar program ini diadakan di tempat tumpuan ramai. - BERNAMA

Artikel Lain