suria

Hadiah Istimewa Gawai Bagi Warga Luar Bandar Sarawak

SRI AMAN (Sarawak): Sambutan Gawai tahun ini bagi penghuni Rumah Sumping dan Rumah Meramat pasti lebih meriah kerana hadiah istimewa yang mereka terima, bekalan air bersih dan terjamin di lokasi mereka yang terletak di pedalaman.

Bagi lebih 150 penduduk kedua-dua rumah panjang yang terletak dekat sini, sehingga dua bulan lepas adalah sukar untuk dibayangkan kerana mereka bergantung kepada air hujan semata-mata bagi aktiviti harian - minum, mandi dan basuh - dan bila tiba musim kemarau menyukarkan lagi kehidupan mereka.

Sumping Pagon, 43, Tuai Rumah bagi Rumah Sumping, di Ran Ulu Batu dan 50 penduduknya kini mempunyai alasan baik untuk berasa gembira dan dengan adanya bekalan air bersih persiapan mereka bagi sambutan Hari Gawai bermula lebih awal.

Manakala jiran di Rumah Meramat yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat mereka, juga berkongsi sumber bekalan air graviti, turut gembira dengan hadiah istimewa ini yang membawa kehidupan lebih baik.

Sementara itu, bagi 250 penduduk Rumah Murphy, sebuah lagi rumah panjang di Kampung Selanjan Sebemban Asal juga dekat sini, masalah air yang mereka hadapi sebelum ini juga kini perkara silam.

Tuai Rumahnya Murphy Jaritan, 60, berkata ia adalah hadiah terbaik bagi penduduk kampung itu malahan ia datang tepat pada masa - semasa Gawai tahun ini.

"Saya sangat gembira kerana projek bekalan air graviti banyak membawa manfaat kepada penduduk di sini dan yakin akan menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik. Ini hadiah Gawai yang paling bermakna," katanya.

SATU PERUBAHAN YANG PANTAS Bagaimanapun, Gawai tahun ini sudahpun membawa harapan baru bukan sahaja kepada penduduk tiga buah rumah panjang ini malahan kepada 2,000 orang lagi penduduk luar bandar di Sarawak.

Dan hadiah istimewa ini adalah hasil usaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKKLW), yang berganding dengan Jabatan Kesihatan Sarawak dan Angkatan Tentera Malaysia, dalam melaksanakan Program Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (Bakas).

Bakas adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru yang menggunakan sumber serta kepakaran pelbagai jabatan atau agensi dalam membekalkan air bersih kepada penduduk luar bandar.

Dan memandangkan apa yang dapat ditawarkan oleh Bakas, pada Mei 2010, Sumping memohon bagi bekalan air graviti. IA KINI SEJARAH Dan sejak itu detik perubahan bermula bagi Sumping serta penduduk rumah panjangnya dengan kesemua 14 kediaman di Rumah Sumping kini menikmati bekalan air bersih.

Projek bekalan air graviti yang bernilai kira-kira RM112,000 itu, terdiri daripada empangan mini, sistem penapisan, sistem saluran paip dan tangki tadahan air dengan kerja-kerja pemasangan bermula pada Mac.

"Sambutan Gawai bermula lebih awal memandangkan kerja-kerja pemasangan bekalan air pam graviti siap pada April.

"Saya berasa gembira dan berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peruntukan dan sumber untuk melaksanakan projek ini.

"Sekarang kita tidak perlu bimbang akan bekalan air, walaupun pada musim panas," kata beliau kepada Bernama. PENDUDUK LUAR BANDAR MENJAYAKAN PROJEK Penduduk kedua-dua rumah panjang menjayakan sendiri kemudahan sumber air graviti ini.

Merekalah yang mengangkut bahan binaan merentasi bukit dan lembah yang dilitupi hutan dan mereka juga yang memasang seluruh sistem itu dengan tunjuk ajar dan bantuan pakar.

"Kami berusaha gigih untuk menyiapkan empangan mini, memasang tangki dan saluran paip. Akkhirnya kami menikmati ganjarannya," kata beliau. LEBIH RAMAI DALAM SENARAI MENUNGGU

Ketiga-tiga rumah panjang ini adalah antara 37 yang mendapat manfaat daripada projek bekalan air graviti di bawah program Bakas yang dilaksanakan di Sarawak pada tahun ini.

Setiausaha Bahagian Infrastruktur KKLW Zaniah Ahmad menunjukkan bahawa Kementerian itu telah memperuntukan RM5.2 juta untuk melaksana kesemua projek projek air graviti.

"Sebanyak lapan projek sedang dan akan dilaksanakan di Sri Aman, Samarahan (tujuh), Sarikei (enam), Betong (lima), Kapit (tiga) dan masing-masing dua di Kuching, Miri, Bintulu serta Limbang.

"Kini, sembilan daripada 37 projek bekalan air graviti telah siap," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata pelaksanaan projek bekalan air graviti yang menelan kos antara RM50,000 dan RM250,000, bergantung kepada jarak sumber air, dan bilangan rumah atau pintu (rumah panjang). "Bukan seperti sistem bekalan air konvensional, projek bekalan air graviti adalah sistem yang mudah dan murah untuk dikendalikan, dan dapat mencegah kejadian penyakit bawaan air. Ia cara yang murah untuk membawa manfaat penduduk luar bandar," katanya.

Dengan bekalan air bersih, penduduk luar bandar Sarawak boleh saling mendoakan 'gayu-guru, gerai nyamai' (usia panjang, kesihatan baik dan kemakmuran) semasa Gawai dengan penuh kesyukuran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain