suria

Nasib Kilang Nadir Bumi Lynas Di Pahang Bergantung Pada Hasil Kajian IAEA

KUALA LUMPUR: Masa depan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang kini nampaknya bergantung pada hasil kajian pakar yang dilantik kerajaan untuk menilai semula aspek keselamatan projek itu.

Pada mulanya, Lynas Corporation Ltd of Australia, pemilik kilang itu, merancang untuk menyiapkan pembinaan loji utamanya menjelang September ini.

Bagaimanapun, tarikh yang disasarkan itu kini menjadi persoalan kerana kerajaan akan membuat keputusan tentang masa depan Lynas hanya selepas menerima hasil kajian dan syor panel pakar berkenaan yang dijangka diserahkan kepadanya pada bulan depan.

Syarikat tersebut bercadang memproses bahan mentah (bijih lanthanide) dari Australia Barat untuk dijadikan lanthanides tulen, yang tergolong dalam kumpulan nadir bumi.

Penggunaan nadir bumi amat penting dalam penghasilan barangan berteknologi tinggi, daripada kabel serat optik hinggalah kepada telefon pintar dan kereta elektrik.

Sementara itu, mereka yang mengkritik pembinaan loji itu kini mengalihkan fokus kepada panel penilai itu pula. Sesetengah pengkritik menyalahkan kerajaan kerana meminta Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melantik satu panel pakar untuk membuat penilaian terhadap isu kesihatan dan keselamatan yang menyelubungi pembinaan kilang Lynas itu.

Mereka mendakwa IAEA bersikap "pro-nuklear" dan oleh itu anggota panelnya mungkin mengambil pendirian yang menyebelahi Lynas.

Pandangan tersebut seolah-olah mempertikaikan integriti dan kebebasan pendirian IAEA serta anggota panelnya dan pandangan ini mungkin tidak adil memandangkan panel berkenaan belum lagi menyelesaikan tugasnya serta mengemukakan penemuannya.

Kritikan golongan itu juga mendedahkan kejahilan mereka tentang peranan dan tugas IAEA.

IAEA adalah sebuah pertubuhan di bawah Pertubuhan Bangsa-angsa Bersatu. Ia bekerjasama dengan 151 negara anggota pertubuhan dunia itu dan 71 pertubuhan antara kerajaan dan badan bukan kerajan dari seluruh dunia untuk memupuk penggunaan teknologi nuklear secara aman dan selamat.

Peranan utama IAEA ialah membangunkan serta menetapkan standard keselamatan radiasi dan nuklear untuk diamalkan di seluruh dunia.

Badan itu juga merupakan pihak berkuasa antarabangsa yang diterima baik oleh masyarakat antarabangsa mengenai amalan baik berhubung isu keselamatan nuklear, perlindungan daripada radiasi, pengurusan sisa buangan bahan radioaktif, pengangkutan bahan buangan radioaktif dan keselamatan loji bahan api nuklear.

Sebahagian penting daripada tugas IAEA sekarang ialah memberi nasihat yang bersifat objektif dan bebas dalam usaha mencapai tahap keselamatan yang tinggi.

Apabila kemalangan pertama melibatkan loji nuklear berlaku di Three Mile Island, di Pennsylvania, Amerika Syarikat pada 1979, kumpulan pakar IAEA telah dipanggil untuk membuat penilaian tentang aspek keselamatan kemalangan itu dan memberi nasihat tentang aspek perancangan dan respons kecemasan.

Apabila berlaku kemalangan nuklear paling dahsyat dalam sejarah dunia di Chernobyl, Ukraine, pada 1986, IAEA juga diminta memainkan peranan serupa.

Terbaru, apabila tsunami melanda loji kuasa Fukushima di Jepun, pihak berkuasa negara itu juga meminta bantuan IAEA untuk menanganinya. Barangkali, pengiktirafan paling tinggi terhadap IAEA kerana peranannya dalam memperomosikan penggunaan tenaga nuklear secara selamat adalah dalam bentuk Hadial Nobel Keamanan 2005 yang diterima badan antarabangsa itu.

Selain itu, pengiktirafan juga diberikan kepada bekas ketua pengarahnya Mohamed ElBaradei "kerana usaha mereka menghalang tenaga nuklear daripada digunakan untuk tujuan ketenteraan serta memastikan tenaga nuklear untuk tujuan aman digunakan dengan cara paling selamat".

Kini, misi IAEA terus memberi fokus kepada tiga bidang -- keselamatan, sains dan teknologi dan perlindungan dan pengesahan.

Ia mempromosikan penggunaan tenaga nuklear untuk tujuan aman dan bukan penggunaan nuklear atau teknologi radiasi secara sewenang-wenangnya.

Oleh itu, berdasarkan apa jua ukuran, IAEA ternyata merupakan organisasi teknikal paling cekap untuk melaksanakan tugas menilai semula projek Lynas.

Di Gebeng, panel pakar berkenaan akan menentukan sama ada Lynas mematuhi standard dan amalan baik antarabansga berkaitan nuklear dan radiasi. Ia juga akan memberi pandangan pakar tentang semua isu keselamatan, khususnya, keselamatan radiasi, kepada kerajaan Malaysia.

Panel ini dianggotai empat profesional daripada IAEA dan lima daripada negara yang menganggotai badan itu.

Kesemua mereka merupakan pakar yang diiktiraf dalam disiplin masing-masing dan memiliki pengetahuan pakar tentang isu berkaitan perlindungan daripada radiasi, penilaian tentang keselamatan, pengurusan sisa buangan, pengangkutan serta tindakan pelucutan dan pemulihan.

Maklumat terperinci tentang latar belakang mereka telah diumumkan kepada orang ramai.

Mereka akan melawat Malaysia dari 29 Mei hingga 3 Jun ini dan dalam tempoh itu, anggota panel tersebut bersedia mendengar pandangan daripada orang ramai.

Ini merupakan peluang baik bagi pengkritik projek ini untuk meluahkan pandangan mereka tentang projek berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain