suria

Tekanan Dorong Tahanan Bunuh Diri, Kata Pakar Psikiatri Terkenal

KUALA LUMPUR: Seorang pakar psikiatri terkenal berkata kes bunuh diri lebih banyak berlaku dalam kalangan penghuni tempat tahanan, berbanding mereka yang bebas menjalani kehidupan.

Lazimnya, penghuni penjara yang bertindak menamatkan riwayat hidup masing-masing terdiri daripada mereka yang masih muda, belum berkahwin, menjalani tahanan untuk tempoh yang panjang, menjadi mangsa penderaan dan mengalami gangguan mental, kata pakar psikiatri forensik Australia Prof Dr Paul Mullen.

Dalam laporan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja Kematian Teoh Beng Hock, beliau berkata banduan lelaki dan wanita serta mereka yang ditahan berisiko mencabut nyawa sendiri berbanding orang biasa.

"Beberapa kajian menunjukkan bahawa risiko berlakunya kes bunuh diri paling tinggi dalam tempoh 24 jam seseorang itu ditahan. Mereka yang menghadapi tuduhan membunuh atau kesalahan seksual yang serius, lebih tinggi berhadapan dengan risiko itu," katanya.

Risiko berlakunya kes bunuh diri lebih tinggi jika orang yang ditangkap berkedudukan tinggi dalam masyarakat, katanya dalam laporan itu, yang petikannya dikirim kepada Bernama.

"Perasaan malu dan takut mungkin menjadi punca utama golongan ini membunuh diri," katanya.

Sebagai contoh, kata Dr Mullen, dalam satu gerakan, polis Australia menangkap lebih 100 lelaki kerana disyaki terlibat dengan kes pornografi kanak-kanak melalui Intenet dan apa yang amat mengejutkan ialah kebanyakan mereka yang telah berumah tangga dan memegang jawatan penting ini, cuba membunuh diri.

Pakar perunding psikiatri forensik dari Hospital Permai di Johor Dr Bada'iah Yahya dan pakar perunding psikotari di Jabatan Kesihatan Mental dan Psikiatri Hospital Selayang Dr Nor Hayati Ali pula berkata tulisan akademik berkaitan kes bunuh diri dalam kalangan mereka yang ditahan menunjukkan bahawa faktor perlindungan yang wujud dalam kalangan orang biasa mungkin tidak mempunyai kesan yang sama dengan mereka yang menjalani perintah tahanan.

"Beberapa kajian autoposi psikologi menunjukkan bahawa faktor risiko membunuh diri adalah lebih tinggi dalam kalangan mereka yang mengalami masalah tekanan iaitu pada kadar 30-90 peratus, alkohol 15-56 peratus dan skizofrenia 2-12 peratus.

"Dalam kalangan lelaki yang membunuh diri, kecelaruan pelarasan melibatkan 12-25 peratus dan gangguan tekanan 7-54 peratus.

"Apabila seseorang itu telah membuat keputusan untuk membunuh diri, tiga perasaan mungkin sudah terbentuk dalam dirinya, yang juga disebut sebagai tiga "I" - intolerable (tidak lagi tertahan menanggung azab), inescapable (tidak lagi berupaya melarikan diri), indeterminable (tidak berupaya menghadapi penentuan)," kata mereka dalam laporan kepada suruhanjaya itu.

Malaysia adalah antara segelintir negara yang mencatat kadar rendah (1.8 bagi setiap 100,000 setahun) bagi kes bunuh diri dan kadar ini adalah lebih rendah daripada kes homisid.

Kaum Cina di negara ini mencatat peratusan tertinggi berhubung kes bunuh diri, berbanding kaum lain. Daripada sejumlah 328 kes bunuh diri pada 2009, 47.5 peratus melibatkan masyarakat Cina.

Jumlah kedua tertinggi melibatkan masyarakat India (21.3 peratus), diikuti Melayu (13.4 peratus) dan kumpulan etnik di Sabah/Sarawak (3.4 peratus).

Antara 2007 dan 2009, sebanyak 731 kes bunuh diri telah dicatat di negara ini, manakala 113 pada 2007, 290 pada 2008 dan 328 pada 2009.

Rekod bagi tempoh 2007 hingga 2009 menunjukkan bahawa lelaki lebih ramai membunuh diri berbanding wanita. - BERNAMA

Artikel Lain