suria

Rumah Melayu Lama Amal Konsep Hijau

KUCHING: Tidak seperti kebanyakan kampung, rumah Melayu tradisional Kampung Melayu di Satok, Kuching masih berdiri megah malahan rumah moden yang dibina di situ, turut mencontohi reka bentuk hijau mereka.

Kampung Melayu yang terdiri daripada - Kampung 2 hingga Kampung 6 - berselang seli dengan rumah baru dan lama, dalam pelbagai warna cat, seperti yang dapat dilihat di Jalan Datuk Ajibah Abol, di Kampung No 2.

Masih ada lagi rumah yang bertupangkan kayu asal dan diduduki turun temurun anak cucu penduduk di sini, tetapi ada juga yang diubahsuai keseluruhannya sehinggakan rupa asalnya sudah tiada.

Sesetengah rumah diwarnakan dengan cat warna terang dan moden tetapi masih banyak yang dibiarkan tanpa cat dan cantik dengan warna kayu asli.

Ada rumah yang hanya disapukan salutan minyak khas untuk mengekalkan warna kayu yang asal, cokelat kelabu.

Arkitek Dayang Duriah Abang Mansor berkata dinding luar rumah, sama ada yang bercat mahupun disapukan minyak, perlu diulangi sapuannya di antara 5 hingga 10 tahun sekali.

REKA BENTUK ASLI

Dayang Duriah berpendidikan luar negara dan berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang reka bentuk rumah dan bangunan.

“Walaupun saya dididik di sebuah universiti di Texas, Amerika Syarikat dan didedahkan dengan rekaan moden, saya masih mengkagumi reka bentuk rumah kampung yang asli.

"Rumah kampung didirikan di atas ‘tongkat’ atau tiang kayu dan inilah yang mengalirkan udara di sekeliling rumah terutama di bahagian bawah. Pengaliran udara ini membuatkan rumah itu cepat disejukkan sekiranya cuaca di luar panas.

"Itulah antara ciri utama yang boleh membantu menurunkan suhu di dalam rumah," jelas beliau.

Menurutnya lagi, bumbung rumah kampung zaman dulu diperbuat daripada kayu berlian dan atap sirap yang bercantum rapat dan tidak mudah menyebabkan bumbung bocor.

Angin turut sukar untuk menerbangkannya.

Di Satok, masih ada rumah di kampung-kampung yang menggunakan bumbung genting atau atap sirap.

“Bumbung diperbuat daripada kayu berlian begini terlalu mahal untuk dihasilkan kini. Bagaimanapun ada bahan lain yang boleh digunakan untuk menghasilkan kepingan genting yang menggunakan bahan diprafabrikasi. Antara ciri rumah Melayu unik di Satok ialah mempunyai banyak pintu di sepanjang koridor serambinya. Ada yang mempunyai lima buah pintu di bahagian depan rumah yang lebarnya tidak melebihi 10 meter.

“Pembukaan yang banyak sebegini, menambahkan lagi pengaliran angin yang masuk ke dalam rumah. Lihat reka bentuk tingkapnya yang panjang ke bawah. Terdapat batang-batang kayu yang membentuk bingkai pagar tempat penghuni bersandar.

"Ini satu ciri keselamatan untuk memastikan mereka yang berdiri di tingkap tidak terjatuh ketika bersandar. Orang sekarang tak minat dengan kemudahan ini kerana takut diceroboh," katanya.

KLASIK

Kebanyakan rumah dibina dalam reka bentuk klasik. Ia bersiling tinggi di bahagian depan kerana kelihatan lebih gah dan terasa keunggulannya. Walaupun begitu, pilihan reka bentuk ini mendatangkan masalah sekiranya hujan lebat kerana tempias air hujan akan membasahi bahagian pintu depan rumah itu.

“Rumah kampung yang reka bentuknya ada lubang angin atau jaringan kayu di atas pintu dan tingkap juga menyediakan peluang angin masuk dan menyejukkan bahagian dalam rumah," katanya. Rumah moden jarang ada lubang terbuka. Akibatnya jika bekalan elektrik terputus dan alat pendingin hawa tidak berfungsi, maka panas sangatlah di dalam rumah.

GENERASI BARU

Di sebuah taman perumahan yang berhampiran, Taman Seri Wangi, rumah-rumah teresnya turut mengenengahkan beberapa ciri rumah kampung Melayu untuk memikat pembeli rumah masa kini.

Dayang Duriah melalui syarikat Sim, Odita & Muhammad telah memberikan idea reka bentuk kepada syarikat pembinaan yang membina rumah dua tingkat kira-kira 100 buah di beberapa lorong di kawasan itu.

“Ramai pembeli di sini merupakan generasi muda yang terdedah kepada reka bentuk klasik yang moden dan elegan dan mereka sudah bersedia melabur untuk rumah pertama mereka. Rumah-rumah teres ini mempunyai balkoni yang diperbuat daripada kayu berkerawang yang bersapukan minyak.

"Di hujung bumbung rumah terdapat hiasan kayu berukir dan ada cerucuk pendek yang tajam berbentuk pending dipasang menegak di bahagian tengah bumbung balkoni. Perancangan yang baik pasti akan membuatkan sesuatu kawasan perumahan lebih menawan dan menambat hati mereka yang berkunjung.

“Sebenarnya, rumah-rumah kampung ini semuanya sudah ‘hijau’ sejak azali lagi. Tak perlu buat perkiraan untuk diiktiraf kehijauannya mahupun dianugerahkan taraf ‘Gold’ atau ‘Platinum’ seperti mana bangunan baru yang berkonsep ‘hijau’ hari ini," katanya.

Dayang Duriah sering menasihatkan pelanggannya dan rakan-rakan di syarikat binaan perumahan supaya mengekalkan reka bentuk yang boleh mendatangkan keselesaan kepada penghuninya selain berunsur praktikal.

Ini juga boleh mengurangkan kebergantungan manusia kepada alat pendingin hawa atau peralatan elektrik lain dan sekaligus mengurangkan penggunaan elektrik yang turut menjadi penyumbang kepada indeks pencemaran udara.

Rumah yang tidak direka bentuk dengan baik juga boleh menyebabkan pemanasan global!. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Belon Boleh Kuruskan Badan?

Artikel Berikut

Artikel Lain