suria

Semangat Permainan, Semangat Sebenar Atlet

KUALA LUMPUR: Bayangkan Lionel Messi menerima kad kuning kerana berebut bola secara kasar, Kobe Bryant didenda kerana melanggar peraturan tiga saat bola keranjang atau Lewis Hamilton didenda kerana memecut sebelum perlumbaan F1 bermula.

Dalam sukan, peraturan-peraturan sering dicabuli dan ada kalanya kita hanya menutup mata. Bagaimanapun, ini mungkin bertukar kepada satu budaya dan akhirnya menjejaskan kredibiliti sukan itu sendiri.

Sudah pasti kita mempunyai pengadil, panel hakim dan sehingga menggunakan teknologi video untuk memastikan peraturan permainan, perlawanan atau pertandingan dipatuhi tetapi yang menjadi masalah ialah sikap mereka yang mengambil bahagian dalam acara sukan.

Hati nuraini dan keikhlasan mereka yang menyumbang kepada permainan adil dan menyemarakkan semangat kesukanan.

Bagaimanapun, terdapat sukan yang tidak memerlukan pengadil dengan pemain sendiri yang memikul peranan itu menerusi suara hati dan keikhlasan mereka.

Permainan ini dikenali sebagai Ultimate dan di sini pemain hanya perlu akur kepada semangat permainan (SOTG).

MENGENAI ULTIMATE

Ultimate menyaksikan perlawanan antara dua pasukan 7-pemain yang mengutip mata dengan membaling cakera yang mirip Frisbee kepada rakan pasukan mereka di hujung padang satu lagi dengan ukuran padang adalah 90m x 37m rupanya mirip kepada padang permainan 'American football'.

Para pemain tidak boleh berlari membawa cakera ini, yang diperbuat daripada plastik dengan garis pusatnya 26.7 cm, dan apabila pemain pada satu pasukan membaling cakera ini lawan mereka di bahagian yang satu lagi akan cuba menghalang hantaran itu selain cakera itu juga boleh tersasar jauh.

Secara ringkas, ia adalah kombinasi harmoni sukan hebat yang lain – elemen larian daripada bola sepak, melompat, berpusing, menghantar dan gerak-geri aktif daripada bola keranjang.

Antara ciri menarik dalam permainan ini adalah tiada sesiapa yang mengadilinya dan mana-mana pemain boleh menunjukkan kesalahan yang telah dilakukan, termasuk kesalahan sendiri.

SOTG mengandaikan bahawa tiada pemain yang akan mengingkari dengan sengaja peraturan permainan dan akan sentiasa mengekalkan semangat kesukanan yang tinggi dan menghormati lawan mereka.

Fara Naquiah Ghalam Sani, 23, seorang penuntut sains sukan UiTM berkata, "sementara sukan lain hanya menumpukan pada aspek tertentu, Ultimate mempunyai segala elemen kecergasan daripada semua sukan lain, seperti aksi-reaksi, kelajuan, ketangkasan dan kekuatan otot. Ia semua dalam satu!"

Kini ia dimainkan di 35 negara, permainan ini semakin popular di Asia Tenggara terutama di kalangan pelajar sekolah, siswazah dan dewasa bekerja.

Walaupun ia nampak mustahil, para pemain Ultimate di seluruh dunia mengamalkan SOTG untuk mengawal tindak tanduk mereka di atas dan di luar padang.

Satu petikan daripada www.ultimatehandbook.com menjelaskan SOTG sebagai: "Persaingan dalam perlawanan digalakkan, tetapi bukan dengan mengetepikan rasa saling hormat menghormati antara pemain dan pematuhan kepada peraturan, selain keseronokan bermain."

"SOTG seperti pada Ultimate adalah sesuatu yang anda tidak boleh lihat dalam sukan lain, ia ganjil tetapi unik. Jika ia manusia, ia pasti mempunyai personaliti sendiri," kata Ten Han Nyan, 30, seorang jurutera dan pemain Ultimate.

DENGAN SEMANGAT YANG WAJAR PERSAINGAN TIDAK MENJADI ISU

"Setiap atlet profesional memahami semangat kesukanan dalam perlawanan. SOTG boleh dirasai dengan mudah pada Ultimate oleh kerana sifat permainan itu sendiri," kata Muhammad Nur Najamuddin Ramli, 24, dari Kuching, yang bermain Ultimate sejak enam tahun yang lepas.

"Ia memberi perspektif baru akan hidup bagi saya, di mana semua orang saling bergantung dan toleransi adalah cara terbaik," tambah beliau.

Satu lagi ciri unik SOTG yang terdapat pada Ultimate ialah Kejohanan HAT, di mana para pemain mendaftar secara individu dan terpulang kepada penganjur untuk menempatkan mereka dalam mana-mana pasukan.

Semangat seperti ini jarang boleh ditemui dalam sukan lain dan jika pun ada ia hanya bagi tujuan pertunjukan dan bukan bagi pertandingan sebenar.

Bersama SOTG ciri-ciri dinamik pasukan boleh dicapai dengan mudah, walaupun ia mungkin pertama kali pemain bertemu dan ia juga tidak mengambil kira latar belakang atau tahap kemahiran.

BAIK BAGI SEMUA

Bagi nilai-nilai positif, pelbagai institusi di seluruh dunia telah menerima Ultimate sebagai satu sukan kokurikulum. Satu daripada contoh ialah Singapura, di mana Ultimate diperkenalkan di sekolah dan liga Ultimate tempatan digalakkan.

Norkhadijah Md Isa, 25, dari Melaka berkata: "Ini permainan bagi semua, tetapi bagi wanita ia banyak membantu dalam meningkatkan keyakinan diri dalam berdepan dengan kaum lelaki. SOTG membantu meningkatkan rasa hormat dan tidak mengetepikan para pemain wanita".

Pasukan beliau memenangi Anugerah Semangat sebagai menghargai pasukan-pasukan dengan nilai SOTG yang tinggi semasa pertandingan Terbuka Singapura 2010 baru-baru ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain