Masa Depan Lebih Cerah Bagi Penghuni Rumah Panjang

Diterbitkan: Khamis, 7 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Menteri Perumahan dan Pembanggunan Bandar Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg melakukan simbolik upacara miring ketika majlis pecah tanah bagi pembinaan semula rumah panjang RH Chabu di Bakong, 30 Mac lalu. Turut kelihatan Menteri Muda Kemajuan Tanah dan Menteri Muda Kemajuan Awam (bekalan air) Sylvester Entri Muran (duduk dua kiri). - Foto BERNAMA
Menteri Perumahan dan Pembanggunan Bandar Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg melakukan simbolik upacara miring ketika majlis pecah tanah bagi pembinaan semula rumah panjang RH Chabu di Bakong, 30 Mac lalu. Turut kelihatan Menteri Muda Kemajuan Tanah dan Menteri Muda Kemajuan Awam (bekalan air) Sylvester Entri Muran (duduk dua kiri). - Foto BERNAMA

MIRI: Masih tidak dapat dilupakan kejadian pada dua tahun lepas, apabila Jampok Abun, 63, terdengar jeritan dari luar 'bilik' Rumah Chabu, sebuah rumah panjang yang menempatkan 57 pintu rumah di Bakong, kira-kira 40 km dari sini.

Ketika itu Jampok sedang merehatkan badan lantaran dirinya yang semakin dimamah usia.

Namun secara tiba-tiba seseorang telah menjerit sekuat hati, "Api! Api! Keluar cepat".

Jampok dengan bingkas bangun dan melihat semua penghuni rumah panjang sedang lintang pukang menyelamatkan diri dan harta benda daripada kebakaran yang bermula dari sebuah rumah di bahagian hujung.

Beliau tidak mampu menyelamatkan apa pun ketika itu. "Yang ada hanya seluar pendek sahaja apabila meluru keluar dari rumah panjang," kata Jampok, seorang petani, kepada Bernama apabila mengenang semula peristiwa menyayat hati apabila kebakaran itu memusnahkan rumahnya yang berusia lebih 40 tahun.

Rumah panjang itu, yang didiami oleh lebih 700 orang, musnah dalam sekelip mata.

MENDAPAT PERHATIAN

Kejadian kebakaran di rumah panjang mendapat perhatian di Sarawak memandangkan bila berlaku kebakaran di rumah panjang ia pasti melibatkan beratus-ratus penghuni.

Kebakaran di Rumah Chabu adalah antara kejadian seumpama dan kedudukan rumah panjang di kawasan pedalaman tambah menyulitkan lagi pihak penyelamat dari Jabatan Bomba untuk sampai di tempat kejadian dan pada tepat masanya.

Kebanyakan rumah panjang di negeri ini tidak didaftarkan dan malahan dibina di atas tanah tanpa hak milik. Ini menyebabkan ramai penghuni tidak dapat membeli insurans untuk rumah masing-masing.

Pada setiap kali selepas berlaku kebakaran yang memusnahkan sesebuah rumah panjang, penghuni yang kehilangan tempat tinggal terpaksa bergantung sepenuhnya kepada simpanan wang yang masih ada, simpati orang ramai dan bantuan daripada kerajaan untuk membina semula rumah panjang.

Kini semua itu akan menjadi kenangan kerana kerajaan negeri Sarawak telah melaksanakan satu konsep baru rumah panjang, yang akan memberi manfaat kepada penghuninya.

KONSEP BARU YANG LEBIH MENGUNTUNGKAN

Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, telah menyuarakan cadangan itu pada Julai tahun lepas.

Beliau berkata, di bawah konsep itu, satu daripada ciri unik yang terdapat di dalamnya ialah kebolehupayaan memperoleh hak milik yang selama ini tiada.

Dengan adanya hak milik itu, pemilik boleh menggadai atau membiayai semula rumah panjang mereka.

Perlaksanaan konsep baru tersebut boleh membantu Kerajaan Negeri mendapatkan dana yang lebih daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik termasuk rumah panjang, katanya.

Rumah Chabu, serta Rumah Collin Sait, juga di Bakong telah terpilih sebagai tempat projek perintis di bawah konsep baru rumah panjang.

Jabatan Tanah dan Ukur Miri secara aktif telah terlibat dari peringkat awal lagi untuk melaksanakan konsep itu.

DAPAT PERSETUJUAN RAMAI

Pengawai Penguasa (Supervisor) Tanah dan Ukur Miri, Rozlan Putit memberitahu Bernama bahawa kerja-kerja mengukur tanah untuk kedua-dua rumah panjang itu dijalankan sebaik sahaja menerima persetujuan daripada penduduk di situ.

Sebelum menjalankan kerja ukur, jabatan berkenaan mengadakan satu siri dialog dengan penduduk rumah panjang berkenaan.

"Ini penting kerana kami mahu mendapat persetujuan daripada mereka sebelum memulakannya. Malahan semasa menjalankan kerja ukur itu, kami membuka ruang untuk menerima maklum balas daripada mereka," katanya.

Dialog itu juga secara tidak langsung memberi peluang kepada penghuni berkenaan untuk secara aktif melibatkan diri dengan jabatan dalam menjalankan kerja-kerja ukur untuk rumah panjang dan unit individu.

Rozlan berkata, proses berkenaan dapat disiapkan tanpa banyak masalah berikutan mendapat kerjasama yang daripada penduduk rumah panjang dan ia kini hanya menunggu untuk kelulusan akhir.

Beliau berkata, konsep baru itu juga membenarkan pemilik unit individu memohon untuk tanah yang akan diwartakan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak, yang bermaksud mereka akan dikecualikan daripada membayar sewa atau premium tanah.

MENJAMIN MASA DEPAN PENGHUNI RUMAH PANJANG

Dua tahun selepas kebakaran itu, Jampok yang sedang berehat di dalam rumah sementaranya, dikejutkan sekali lagi oleh suara orang bising di luar - penduduk Rumah Chabu sedang mengalu-alukan kedatangan pegawai dari Jabatan Tanah dan Ukur Miri yang diketuai oleh Pegawai Tanah Mohd Asri Jaya.

Beberapa minit kemudian, tetamu berkenaan berada dalam ruang tamu kecil Jampok dan mengumumkan berita baik bahawa rumah panjang mereka yang telah musnah itu akan dibina semula di bawah konsep baru.

"Sekurang-kurangnya saya masih hidup untuk dapat mendengar berita yang kami akhirnya akan mendapat satu jaminan iaitu pemilikan rumah panjang," kata Jampok, yang kini berusia 65 tahun.

Bruin Lasa, seorang penduduk berusia 57 tahun, juga terharu dan menganggap langkah kerajaan itu menamatkan keresahan yang sekian lama untuk mereka mendapatkan sebuah rumah yang dibina di atas tanah yang mempunyai hak milik.

"Kami mungkin tidak dapat semula semua yang kami miliki, tetapi sekurang-kurangnya kerajaan berusaha untuk memberi jaminan terhadap masa depan kami. Saya menanti semuanya itu," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan