suria

Semua Faktor Diambil Kira, Harga Barang Sentiasa Diawasi

KUALA LUMPUR: 'Sudah habis!' Begitulah tanda yang digantung pada pemicu minyak RON95 di beberapa buah stesen minyak di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Ini kerana pemicu warna kuning itu menjadi tumpuan ramai pemilik kenderaan kerana harganya yang lebih padan dengan kemampuan mereka iaitu RM1.90 seliter berbanding RON97 dengan nilai oktan lebih tinggi, dijual pada harga RM2.50 seliter.

Walaupun sebenarnya tiada kekurangan, bekalan RON95 cepat habis kerana permintaan yang tinggi dan pengisian semula di stesen minyak lambat dilakukan.

Bagaimanapun rakyat Malaysia masih beruntung kerana minyak RON95 bersubsidi.

Kerajaan mengeluarkan hampir 75 sen (setakat 14 Mac 2011) untuk setiap liter RON95 sejak harga minyak dunia naik semula melepasi USD$100 setong.

Menurut sumber di unit analisa perakaunan, Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK), RON97 turut disubsidi sejak seminggu lepas sebanyak 17 sen.

MINYAK MASAK PUN SERUPA

Rak-rak yang pernah dipenuhi berbotol-botol minyak masak pelbagai jenama tanpa putus, didapati kosong di kebanyakan lokasi penghujung tahun lepas.

Situasi yang serupa berlaku, sebenarnya tiada kekurangan bekalan minyak masak, tetapi ada pihak yang cuba mengaut untung dan kelewatan membekalkan semula minyak menjadi punca kekurangan berlaku.

Keadaan sudah pulih seperti sediakala dengan harga minyak masak yang disubsidi sekitar RM13 sen untuk sebotol 5kg.

"Harganya terkawal dan sentiasa dipantau, rakyat tak perlu bimbang. Kesedaran masyarakat terhadap harga barang memang kami alu-alukan kerana aduan yang mereka buat bila berlakunya penyelewengan aspek harga dan bekalan oleh peniaga, membantu kami membuat tangkapan dan rampasan.

Pemberitahuan sebegini banyak kebaikannya," kata Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Penguatkuasa di KPDNKK Iskandar Halim.

KAWALAN HARGA

Tetapi dari segi realiti, tidak semua barang pengguna dikawal harganya oleh kerajaan.

Kawalan harga ke atas transaksi barang keperluan terbahagi kepada dua jenis iaitu yang dikawal sepanjang masa dan yang dikawal pada musim perayaan.

Ia termasuk gula pasir, petrol RON95, gas petroleum cecair atau LPG, tepung gandum, beras dan minyak masak.

Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Tan Lian Hoe yang hadir pada majlis penutup sebuah Forum Kepenggunaan anjuran KPDNKK Wilayah Persekutuan baru-baru ini, mengingatkan pengguna bahawa selain produk di dalam senarai subsidi, selebihnya ditentukan pasaran dan peristiwa dunia.

"Harga barangan seperti kelapa, cili, bawang dan produk makanan lain tidak dikawal dan bergantung kepada pasaran. Ini termasuk fenomena alam iaitu cuaca dan berlakunya bencana, selain itu elemen meningkatnya permintaan daripada bertambahnya populasi dunia.

"Pengguna perlu menangani krisis kenaikan harga dengan matang dan peniaga pula perlu bersikap tidak mengeksploitasi isu kenaikan harga dan menjalankan semua transaksi perniagaan mereka secara beretika," katanya.

Kenyataan yang tidak dapat dinafikan ialah kos kehidupan kini meningkat, dan memberi kesan kepada kuasa membeli serta mengurangkan kualiti hidup.

TIDAK BIMBANG

Keadaan dunia yang tidak menentu terutama yang menjejaskan negara pengeluar bahan mentah dan bahan makanan turut disalahkan menjadi penyumbang kepada peningkatan harga barang di pasaran dunia.

Rakyat Malaysia juga sedar yang perubahan corak cuaca dunia turut memberi kesan terhadap bekalan dan harga barangan perlu seperti bawang dan kentang.

Oleh itu secara semulajadinya ramai yang membuat jangkaan gempa bumi dan bencana tsunami yang melanda Jepun baru-baru ini sudah pasti mendatangkan kesan ke atas barang pengguna dari negara yang terkenal dengan produk berteknologi tinggi itu.

"Harga barangan di negara ini tidak seharusnya naik semata-mata kerana bencana tsunami dan gempa bumi yang melanda negara Jepun baru-baru ini," kata Menteri KPDNKK Datuk Seri Ismail Sabri mengendurkan kebimbangan pengguna.

Katanya kementerian sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan harga barang pengguna terutama yang berkaitan bahan makanan bagi memastikan rakyat tidak dibebani dengan kos kehidupan yang tinggi.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai turut memberikan perhatian kepada keselamatan bahan makanan yang diimport dari Jepun selepas kebocoran yang dilaporkan berlaku di loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi.

"Kementerian Kesihatan akan memastikan makanan yang diimport dari Jepun selamat digunakan, tidak terdedah kepada kesan radiasi akibat kebocoran itu," kata Liow.

Malaysia mengimport lebih 48,000 tan metrik produk makanan dari Jepun setiap tahun, kebanyakannya produk laut, buah-buahan, makanan bijirin dan minuman serta makanan dalam tin.

TINDAKAN PENGUATKUASAAN

Akta Kawalan Harga 1946 menjadi asas penguatkuasaan yang diterima pakai KPDNKK.

Pada tahun 2010, sebanyak 963 kes aduan pengguna disiasat dan rampasan yang dibuat bahagian penguatkuasaan bernilai lebih RM790,000.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2009 dengan rampasan sebanyak RM635,000 daripada 777 kes.

Selain itu, terdapat juga Akta Kawalan Bekalan 1961 di mana lebih 1,300 kes disiasat pada tahun 2010; meningkat sekali ganda berbanding 2009.

Rampasan pula bernilai hampir empat kali ganda berbanding rampasan tahun 2009 dan nilai setinggi RM11 juta yang dicatatkan pada tahun 2010 membuktikan kesungguhan bahagian penguatkuasa KPDNKK mengawal selia perihal harga dan bekalan di negara ini.

Sementara itu Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur menasihatkan kaum wanita, yang sememangnya dikenali dengan kebolehan mengurus perbelanjaan seisi rumah, supaya berusaha untuk beroleh pendapatan yang lebih.

"Kaum wanita perlu mengambil kesempatan daripada usaha kerajaan membantu rakyat menjana perolehan yang lebih untuk kehidupan yang lebih sejahtera. Ada program asas tani, asas niaga, asas khidmat dan asas kerja di bawah NKRA yang mengajak rakyat mempertanggungjawabkan diri secara ekonomi.

"Di kementerian ini, bermacam-macam program dijalankan di peringkat negeri dan kebangsaan untuk membantu wanita berkecimpung di dalam bidang perniagaan," kata Dr Noorul.

Program selama 3 hingga 6 bulan ini membantu masyarakat termasuk ibu tunggal menjana pendapatan untuk memastikan hidup mereka sekeluarga lebih selesa dan sekurang-kurangnya mereka mampu mendapatkan keperluan yang paling asas.

HARGA

Kenaikan harga barang makanan tidak terhad kepada Malaysia sahaja. Kenaikan secara mendadak merupakan fenomena global seperti yang ditunjukkan dalam indeks bulanan harga barang makanan dunia untuk bulan Disember 2010 dan Januari 2011.

Menurut kajian Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB yang diumumkan bulan lepas, indeks harga barang makanan melonjak lebih 3.4 peratus dan merupakan catatan tertinggi sejak indeks ini diperkenal pada tahun 1990.

FAO menjangkakan indeks ini akan terus menunjukkan kadar menaik di dalam bulan-bulan yang terdekat ini.

Tambahan pula, kajian FAO mendapati harga makanan dunia meningkat sebanyak 32 peratus pada setengah tahun pertama 2010 akibat faktor cuaca buruk yang melanda negara pengeluar bahan mentah makanan.

Apapun akhirnya pengguna yang akan menentukan bagaimana mereka akan berdepan dengan kenaikan harga. Bijak berbelanja mengikut bajet dan membeli hanya barang yang perlu akan turut membantu menstabilkan harga.

Dan ini akan turut memastikan perubahan harga barang pada waktu-waktu yang tidak dijangkakan, dapat dihadapi dengan lebih matang dan selesa.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain