Air:Wira Yang Tidak Didendang

Diterbitkan: Selasa, 22 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Macam teh tarik! Begitu gambaran fizikal sesetengah air yang dibekalkan ke loji perawatan air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Sesekali lemparkanlah pandangan kepada sungai yang ada di keliling anda, yang masih setia, walaupun mungkin ada yang dalam keadaan lesu mengalirkan air yang menjadi antara punca utama sumber air mentah loji perawatan air.

Air yang tercemar ini terpaksa dirawat sebelum boleh digunakan dan kos rawatan bukanlah sedikit.

Bukan sahaja berwarna teh tarik tetapi ada juga air sungai yang keruh kelabu, berkelodak hitam malah turut mengeluarkan bau busuk!

Pahit untuk ditelan tetapi itulah hakikatnya. Sungai yang mendapat sumber air dari air hujan sepatutnya mengalirkan air yang jerneh tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Namun pedulikah kebanyakan kita melihat sungai anugerah besar alam yang sering dicanang sebagai nadi utama kehidupan manusia terus menerus dianiayai, dipinggir dan diabai?

Di Selangor umpamanya, dilaporkan daripada 37 batang sungai yang ada, cuma 32 sahaja yang boleh dirawat airnya untuk dibekalkan kepada pengguna sama ada di rumah kediaman atau premis perniagaan yang semakin meningkat bilangannya.

Hari ini sungai tidak ubah sebagai tong sampah besar! Begitu rendahnya masyarakat yang menganggap mereka sudah cukup bertamaddun meletakkan martabat sungai! Tidak cukup tong sampah yang dibekalkan percuma, ada segelintir ahli masyarakat alaf baru mengambil jalan mudah menjadikan sungai sebagai tong sampah mereka dan menimbun sungai dengan pelbagai 'hadiah'.

Di Selangor sahaja, 990 tan sampah dikutip dalam sebulan diikuti Pulau Pinang, 300 tan dan Johor 240 tan.

Sikap yang tidak bertanggungjawab ini, di samping aktiviti pertanian dan perindustrian, bukan sahaja mencemar air sungai tetapi kemusnahan ekosistemnya lambat laun boleh meletakkan sungai itu dalam kumpulan sungai di mana airnya tidak boleh dirawat lagi untuk kegunaan manusia. Kajian menunjukkan ada air sungai yang mengandungi logam berat seperti arsenik, raksa dan plumbum yang memudaratkan bukan sahaja manusia tetapi habitat sungai itu sendiri.

Dalam masa yang sama, sedar atau tidak, sungai yang mereka jadikan sebagai tong sampah itulah yang akan menghasilkan air yang antaranya menjadi sumber minuman mereka sendiri!

Bukan setakat sampah, malah ada juga sehingga tergamak menjadikan sungai sebagai pusara tidak bernesan untuk membuang atau melupuskan zuriat yang tidak diingini!

TIDAK DIDENDANG

Tidak cukup dengan air sungai yang tercemar, air yang sudah dirawat juga tidak dihargai meskipun ia penting untuk kehidupan.

Abdul Halem Mat Som, Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporat, Syabas berpandangan sesetengah masyarakat di negara ini tidak menganggap air sebagai sesuatu yang penting.

Bagi kelompok ini, air adalah satu perkara yang remeh dan tidak lebih daripada satu keperluan yang wajib ada.

"Buka paip mesti ada air, bila tak ada baru mereka akan menjerit, mula membuat bising. Bila ada tak ambil kisah. Sebab itu bil air yang rendah pun kadang-kadang liat nak bayar. Ini antara masalah yang berlaku.

"Kalau di luar bandar, kebanyakan masyarakat di sana takut kalau bekalan air kena potong jika tak bayar bil berbanding mereka yang di bandar.

"Sebab itu kes-kes pemotongan air banyak di bandar termasuk melibatkan golongan pertengahan.

"Mungkin mereka ini membayar bil mengikut keutamaan, bayar bil isi rumah yang mahal dulu, kemudian baru bil air. "Seringkali kita melihat air adalah satu keperluan yang tidak dinilai, bagai wira yang tidak didendang sedangkan air satu keperluan amat penting dalam kehidupan kita," Abdul Halem memberitahu Bernama dalam satu wawancara di pejabatnya di Jalan Pantai Baharu di sini baru-baru ini.

AMAT MURAH

Seperti Abdul Halem, Prof Dr Chan Ngai Weng, Seksyen Geografi, Universiti Sains Malaysia turut beranggapan masyarakat di negara ini tidak memberi penghargaan yang sewajarnya kepada air.

Beliau mempunyai pelbagai sebab mengapa ia berlaku, antaranya bayaran yang begitu murah yang dikenakan untuk bekalan air. Menurut Dr Chan, tarif air untuk pengguna domestik di kebanyakan negeri diberi subsidi yang besar.

"Pengguna domestik malahan tidak membayar pada harga kos. Sebagai contoh, di Pulau Pinang, kos pengeluaran air adalah kira-kira 65 sen satu meter padu tetapi warga Penang hanya membayar 31 sen bagi setiap meter padu air.

"Jelas kerajaan memberi subsidi kepada pengguna domestik pada kadar 34 sen satu meter padu.

"Apabila air murah, orang tidak akan memberi perhatian untuk menjimat atau memulihara air. Sudah tiba masanya untuk menghukum mereka yang membazir air dengan meninggikan kadar tarif," kata Dr Chan yang juga Presiden Water Watch Penang (WWP).

Pertubuhan bukan kerajaan ini ditubuhkan pada November 1997 dengan matlamat utama mewujudkan kesedaran untuk pemuliharaan air dalam kalangan orang ramai.

Dr Chan mengesyorkan untuk 20 meter padu pertama, kadar tarif yang sedia ada dikekalkan tetapi antara 21 hingga 30 meter padu, tarif dinaikkan lima kali sementara antara 31 hingga 40 meter padu, ia perlu dinaikkan 10 kali dan seterusnya.

SALAH ANGGAP

Banyak air di Malaysia! Apa tidaknya, lihatlah bila berlaku banjir! Dr Chan memberitahu Bernama andaian inilah juga menyumbang kepada sikap tidak menghargai air dalam kalangan sesetengah masyarakat negara ini.

"Malahan ada juga ahli politik yang beranggapan negara kita mempunyai air yang berlebihan. Ini andaian yang salah kerana bukan semua negeri mewah dengan air.

"Sesetengah negeri seperti Pulai Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Perlis kekurangan air," kata Dr Chan.

Beliau turut menyentuh ketiadaan pendidikan alam sekitar dalam sistem atau kurikulum sekolah yang mengajar pelajar supaya menghargai alam semula jadi dan air.

"Macam mana hendak melahirkan warga yang baik dan bertanggungjawab yang tidak akan membazir air dengan sewenang-wenangnya? " soal Dr Chan.

KURANGKAN PENGGUNAAN

Bila berlaku kekurangan bekalan air, antara cadangan yang akan dilontarkan ialah membina lebih banyak empangan.

Menurut Dr Chan, cadangan yang sedemikian tidak lagi dapat dilakukan sekarang kerana kebanyakan sungai di negara ini sudah mencapai kapasiti maksimum.

Maksud beliau ialah sekiranya sungai itu mempunyai air untuk pembinaan tiga empangan, kita tidak boleh bina empangan ke-4. "Hampir semua sungai kita mempunyai bilangan empangan maksimum. Jadi di mana kita boleh dapatkan air untuk menambah bekalan?

"Proses air laut seperti Singapura? Tidak, terlalu mahal (kosnya lebih 10 kali ganda daripada apa yang kita bayar sekarang).

Atau rawat air yang dikitar semula seperti Newater Singapura? " soal Dr Chan sambil menambah apa yang disebutnya bukan penyelesaian yang dikehendaki.

Menurut beliau satu-satunya jalan ialah supaya pengguna di negara ini mengurangkan permintaan air.

BANYAK GUNA AIR

Rakyat Malaysia secara umumnya menggunakan terlalu banyak air. Purata penggunaan harian air per kapita di negara ini ialah 300 liter/kapita/sehari berbanding rakyat Singapura 150 liter/kapita/sehari.

Dr Chan berkata beliau sendiri menggunakan antara 130 hingga 150 liter/kapita/sehari. Bil airnya tidak pernah melebihi RM2.50 sebulan.

"Sekiranya setiap rakyat Malaysia berjimat dalam penggunaan air seperti yang saya lakukan, kita sudah tentu dapat menyelesaikan masalah air.

"Pengguna domestik perlu kurangkan penggunaan air. Hotel, premis perniagaan, kilang dan pengguna air yang banyak perlu membina loji kitar semula serta sistem menuai air hujan yang boleh digunakan antaranya untuk mengepam tandas, pencucian umum dan berkebun.

"Sekiranya semua pengguna air mengurangkan hanya 10 hingga 20 peratus daripada permintaan air mereka, Malaysia tidak perlu membina sebarang empangan baru untuk sekurang-kurangnya 10 tahun lagi," kata Dr Chan.- BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan